`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, February 14, 2026

6 ‘doktor’ warga asing antara 18 ditahan imigresen di Pudu

 Operasi dengan kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur itu turut merampas pelbagai ubat tidak ada kelulusan KKM.

ubat dirampas
Antara ubat yang dirampas dalam operasi khas Jabatan Imigresen yang menggempur sembilan lokasi di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin, petang semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
 Kegiatan ‘doktor’ warga asing menawarkan perkhidmatan perubatan tanpa lesen di sebalik premis menjual barangan harian tumpas selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sembilan lokasi dalam operasi khas di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin, Pudu, petang semalam.

Serbuan bermula 4 petang itu dijalankan Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, hasil risikan selama dua minggu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Lokman Effendi Ramli, berkata 18 warga asing berusia 24 hingga 51 tahun berjaya ditahan, termasuk enam individu yang berlagak sebagai ‘doktor’ dan menawarkan rawatan kepada komuniti warga asing.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati premis terbabit berselindung di sebalik perniagaan sah.

“Premis yang diserbu didapati menjalankan perniagaan seperti menjual barangan keperluan harian, kedai kain, kedai makan, kaunter syarikat pelancongan dan kedai gunting rambut di bahagian hadapan, manakala bahagian belakang diubah suai menjadi bilik pemeriksaan serta stor penyimpanan ubat-ubatan tidak berdaftar,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Lokman Effendi berkata kebanyakan pelanggan terdiri daripada warga Bangladesh yang mendapatkan rawatan di premis berkenaan kerana caj yang lebih murah dan mudah untuk berkomunikasi.

Hasil pemeriksaan turut mendapati premis terbabit membekalkan pelbagai jenis ubat yang sepatutnya memerlukan preskripsi doktor pakar.

“Antara ubat yang dirampas ialah ubat bagi penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol selain antibiotik dan ubat tahan sakit. Semua ubat ini tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Siasatan awal mendapati ubat-ubatan itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini dalam kuantiti yang banyak oleh pelancong dari Bangladesh sebelum dihantar ke premis terbabit untuk dijual pada harga antara RM50 dan RM100.

“Semua 18 lelaki (17 warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar) ditahan atas kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, salah guna pas, dan tinggal lebih masa,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.