`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, February 3, 2026

Hubungan PN di Kedah kekal utuh, harmoni, kata Adun

Adun Kulim Wong Chia Zhen dari Gerakan dan Adun Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat dari PAS berkata tiada sebarang konflik di negeri itu.

Adun Kulim Wong Chia Zhen dari Gerakan menegaskan hubungan PN di Kedah kekal harmoni manakala Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat dari PAS berkata kerjasama dalam pentadbiran negeri berjalan baik.
PETALING JAYA:
 Kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN) di peringkat nasional tidak menjejaskan hubungan parti-parti dalam gabungan itu di Kedah yang dipimpin Menteri Besar Sanusi Nor.

Pengerusi Gerakan Kedah, Wong Chia Zhen berkata hubungan parti-parti komponen PN di Kedah kekal harmoni dan tiada sebarang konflik antara mereka.

“Hubungan PN di negeri Kedah kekal harmoni dan tidak ada isu,” kata Adun Kulim itu yang juga exco sumber manusia, masyarakat Cina, India, Siam dan NGO, kepada FMT.

Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat dari PAS pula yang menegaskan hubungan PN di negeri itu kekal kukuh dan terus fokus untuk menjayakan agenda ‘The Greater Kedah’.

“Alhamdulillah, kerjasama dalam pentadbiran negeri, hubungan antara parti-parti dalam PN menerajui kerajaan kekal baik dan tiada sebarang konflik,” katanya yang juga bendahari PAS negeri.

Wong dan Azam berkata demikian ketika ditanya sama ada kemelut kepimpinan PN peringkat pusat, termasuk pelantikan jawatan pengerusi, turut memberi kesan kepada kerjasama gabungan itu di peringkat negeri.

Secara keseluruhan kerajaan PN Kedah diterajui PAS yang memiliki 21 kerusi DUN, diikuti Bersatu dengan 11 kerusi dan Gerakan, satu kerusi.

Kemelut dalam PN bermula apabila PAS menawarkan diri untuk mengetuai gabungan itu selepas Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu meletak jawatan pengerusi berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Isu itu yang berlarutan sejak sebulan lalu dilihat sukar diselesaikan dalam masa terdekat dan makin memuncak apabila pimpinan PAS dan Bersatu saling membuat serangan secara terbuka di media.

Ia termasuk dakwaan oleh bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad yang mendedahkan Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menentang cadangan seorang pemimpin PAS mengambil alih jawatan pengerusi PN.

Terbaharu, PAS menafikan dakwaan Muhyiddin dalam satu surat yang parti itu dan Bersatu bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi.

Menurut Muhyiddin, langkah itu sebahagian usaha penstrukturan semula gabungan itu yang menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala PAS mengetuai jawatankuasa eksekutif. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.