`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Saturday, May 23, 2026

Isu peluru berpandu Norway bukan penamat, tiba masa Malaysia bangun sistem sendiri

 Penganalisis berkata Malaysia masih ada beberapa pilihan untuk memiliki NSM termasuk membangunkan sistem sendiri menerusi pendekatan 'reverse engineering'.

kongsberg
Sebelum ini kerajaan Norway mengesahkan pembatalan lesen eksport sistem NSM ke Malaysia susulan sekatan lebih ketat terhadap teknologi pertahanan sensitif negara itu. (Gambar Kongsberg Defence)
PETALING JAYA:
Kegagalan Malaysia memperoleh peluru berpandu antikapal naval strike missile (NSM) dari Norway tidak seharusnya dilihat sebagai penamat, sebaliknya menjadi titik-tolak untuk negara membangunkan keupayaan pertahanan sendiri, kata penganalisis.

Mohd Roshdi Hassan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, Malaysia masih mempunyai beberapa pilihan termasuk membangunkan sistem sendiri menerusi pendekatan ‘reverse engineering’ atau kejuruteraan balikan.

Katanya, langkah itu wajar dipertimbang memandangkan beberapa kapal pertahanan negara sudah diubah suai bagi disesuaikan dengan sistem NSM dari Norway ini.

“Kita sudah ada ‘casing’ tetapi tidak ada ‘peluru’. Sistem kapal sudah disesuaikan tetapi tidak boleh digunakan sepenuhnya tanpa misil itu,” kata penganalisis pertahanan itu kepada FMT.


Mohd Roshdi Hasan
Mohd Roshdi Hasan.

Beliau berkata, kejuruteraan balikan membolehkan sesuatu sistem dikaji dari segi reka bentuk dan dimensinya sebelum dibangunkan semula menggunakan kemampuan tempatan.

Bagaimanapun, Roshdi mengakui usaha itu memerlukan kepakaran khusus terutama dalam sistem avionik yang menjadi komponen penting teknologi persenjataan moden.

“Cabaran utama ialah mendapatkan pakar benar-benar memahami teknologi itu. Tetapi kita boleh mendapatkan bantuan kepakaran dari negara Turki, selain memanfaatkan bakat tempatan,” katanya.

Pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan itu berkata, pembangunan sistem sedemikian juga boleh dilaksanakan menerusi kerjasama industri melibatkan syarikat tempatan dan rakan luar negara.

Beliau turut menggesa kerajaan melihat insiden itu sebagai pengajaran supaya Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada negara luar dalam aspek pertahanan strategik.

“Apa yang berlaku sekarang sepatutnya menjadi pengajaran. Mungkin sudah tiba masa untuk kita pertimbang membangunkan keupayaan sendiri,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Norway mengesahkan pembatalan lesen eksport sistem NSM ke Malaysia susulan sekatan lebih ketat terhadap teknologi pertahanan sensitif negara itu.

Susulan keputusan itu, Malaysia dilaporkan menghantar notis tuntutan melebihi RM1 bilion sebagai ganti rugi.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, dilaporkan berkata Malaysia sudah membuat bayaran €126 juta (RM583 juta), bersamaan 95% daripada nilai keseluruhan kontrak, sebelum lesen eksport itu dibatalkan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.