`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 17, 2025

Umno ori dan tak ori

 

hishamuddin-aun

Seramai 17 daripada 26 Ahli Parlimen Umno ketika ini dilabel sebagai ‘Umno ori’. Jika berdasarkan andaian itu, ada sembilan lagi yang ‘tidak ori’. Siapa-siapakah mereka agaknya?

Mungkin boleh diandaikan lima daripada mereka yang menganggotai Jemaah Menteri kerajaan Madani — Presiden Umno Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Mohamad Hasan, naib-naib presiden Khaled Nordin dan Johari Ghani serta Ketua Penerangan Azalina Othman tergolong sebagai ‘Umno ori’.

Harus tidak terkecuali juga lima timbalan menteri — Ahmad Maslan, Abdul Rahman Mohamad, Shamsul Anuar Nasarah, Mohamad Alamin dan Noraini Ahmad — yang kesetiaan mereka kepada Zahid selaku presiden Umno dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak boleh diragui.

Ini meninggalkan antara 16 lagi Ahli Parlimen dari Umno sebagai berkemungkinan bukan ‘Umno ori’. Namun, jika diperhatikan daripada senarai yang ada, ia mungkin lebih mudah untuk mencari sebatang jarum dalam longgokan rumput kering berbanding mengenal pasti identiti mereka.

Dalam kalangan Mohd Shahar Abdullah, Mohmed Puzi Sh Ali, Ismail Sabri Yaakob, Jalaluddin Alias, Shamshulkahar Mohd Deli, Adnan Abu Hasan, Mohd Isam Mohd Isa, Hasni Mohammad, Hishammuddin Hussein, Manndzri Nasib, Shahelmey Yahya, Siti Aminah Aching, Suhaimi Nasir, Bung Mokhtar Radin, Andi Muhammad Suryady Bandy, dan Ramli Mohd Nor, barangkali kecuali dua atau tiga, tidak harus ada kecurigaan terhadap mereka.

Pada 11 Jan lalu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) di Lembah Pantai mendakwa 17 daripada 26 Ahli Parlimen Umno yang dilabelnya ‘Umno ori’ mungkin menyokong usaha PN menjatuhkan kerajaan sebelum PRU16.

Dengan menyogokkan pandangan bahawa Bersatu dan PAS tidak boleh dilihat berpecah untuk menarik wakil rakyat lawan — termasuk dari Barisan Nasional (BN) — untuk menyokong PN menjatuhkan kerajaan, beliau percaya 17 Ahli Parlimen ‘Umno ori’ boleh didapatkan sokongan mereka.

Faisal tidak pula menghuraikan bagaimana itu berkemungkinan berlaku sedangkan jika dibandingkan antara kedua-duanya, ia harus lebih masuk akal untuk memancing sokongan Ahli Parlimen Umno yang ‘tidak ori’ jika diandaikan mereka tidak akan kerugian apa-apa dengan melompat.

Namun, rujuk dahulu kenyataan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki pada 29 Nov lalu yang mengingatkan tiada Ahli Parlimen daripada parti itu akan menyokong PN yang dikatakan cuba dipujuk untuk bergabung dengan mereka bagi membentuk kerajaan.

Padanya tiada wakil rakyat Umno akan berpaling tadah menyokong PN — sesuatu yang dianggapnya mustahil — memandangkan mereka telah menandatangani perjanjian sebelum PRU15 berkait dengan akta anti-lompat parti.

Menerusi perjanjian itu, mereka yang ingkar arahan akan keluar Umno secara sukarela sekali gus perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

“Mereka juga tandatangan perjanjian kena bayar bon denda sebanyak RM100 juta kalau ingkar ketetapan parti,” katanya dalam ceramah mega perpaduan Madani PRK Kemaman. Ia sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS Hadi Awang pada 23 Nov bahawa PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin Umno yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan mereka.

“Sebarang pelanggaran menyebabkan mereka wajib membayar RM100 juta kepada parti sebagaimana kes Zuraida (Kamaruddin) lawan PKR di mana Mahkamah Tinggi memutuskan bon RM10 juta yang ditetapkan PKR adalah sah dan wajib dibayar,” ulangi Asyraf Wajdi pada 13 Jan lalu.

Cuma dalam kes Zuraida, Mahkamah Rayuan kemudian mengurangkan perintah bayaran RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi kepada hanya RM100,000 atas pertimbangan jumlah RM10 juta itu sebagai tidak munasabah.

Pada 3 Ogos pula, Zahid mengumumkan Umno sudah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Adun Rembia Muhamad Jailani Khamis untuk pembayaran ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta susulan tindakannya menyertai PAS. Jadi bagaimana Faisal boleh sampai kepada andaiannya itu?

Menyerupai mereka senasib dengannya yang cenderung menghentam Umno apabila dipecat atau digantung parti, Faisal — bekas timbalan ketua Umno Putrajaya — yang dipecat pada 31 Jan 2023 tidak pun menunjukkan perilaku berbeza.

Surat pemecatannya bertarikh 27 Jan menyatakan Faisal yang sebelum ini lantang mengkritik kepemimpinan Umno dikesan melanggar etika ahli Umno berdasarkan perlembagaan parti. Lantaran menyertai Bersatu pada 4 Julai 2023 dan dilantik ketua penerangan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 28 Nov, bukan menghairankan jika beliau ikut menukar kulit untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap parti lamanya.

Atau barangkali Faisal cuba mengaitkannya dengan pendedahan Zahid pada 24 Nov bahawa terdapat usaha memujuk supaya BN keluar daripada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar untuk membentuk kerajaan baharu dengan beliau ditawarkan jawatan perdana menteri. Ia bagaimanapun ditolaknya kerana tidak sanggup mengkhianati rakan dalam kerajaan perpaduan.

Masakan kita mudah lupa apabila Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor pada awal tahun ini mendakwa gabungan itu sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi menerusi apa yang dinamakan ‘Langkah Dubai’ untuk menumbangkan kerajaan.

“Cukup sudah (jumlah SD) semua, tunggu hari sahaja,” katanya sehingga Pejabat Ketua Pembangkang terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing.

Kenyataan media didakwa dikeluarkan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin mendakwa PN merafak syukur kerana usaha menyelamatkan negara mendapat ihsan Agong seperti ditularkan di media sosial ketika itu juga adalah palsu.

Berbalik kepada label 17 daripada 26 Ahli Parlimen Umno sebagai ‘Umno ori’, Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias menolak kenyataan Faisal sebagai tidak berasas kerana semua Ahli Parlimen parti itu bergerak bersama bagi memastikan kestabilan politik demi pembangunan dan kepentingan rakyat.

“Tak ada istilah Umno ori tak ori,” katanya sambil menasihatkan PN supaya menunggu hingga PRU16 yang dijadualkan pada 2027 kerana semua parti boleh bertanding bagi mendapatkan mandat baharu rakyat.

Sehingga itu, baik Hadi, Sanusi mahupun Faisal boleh terus memasang angan-angan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.