`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 15, 2025

Kita orang bermaruah

 

ronasina

Hujung minggu lepas saya sempat beraya di rumah kawan lama. Karim, kini menyewa di sebuah rumah kos rendah lama yang terletak di pinggir pekan. Isterinya, Safura meninggal dunia dua bulan sebelum masuk Ramadan lalu. Kata orang sekeliling, Karim telah dihalau keluar oleh abang iparnya sebaik sahaja Safura meninggal. Selama ini Karim tinggal bersama Safura di sebuah rumah di atas tanah pusaka Safura.

“Memang kalau diikutkan aku nak duduk pekan sebaik menikah dengan Safura tapi Long Jali yang suruh aku duduk di rumah tu,” cerita Karim kepada saya walhal saya tidak membangkitkan apa-apa pun kepadanya. Saya tidak berminat untuk mencampuri hal itu yang mana ia cukup panas di tempat kami beberapa bulan lalu.

Jali, abang sulung Safura yang meminta Karim tinggal di rumah ibu Safura untuk menjaga ibunya sebab adik-beradik lain semuanya bekerja di luar daerah. Kerana tidak mahu duduk sekali bersama ibu dan bapa mentua, Karim pun membaiki rumah kecil yang jaraknya tak sampai 20m dari rumah mentuanya. Rumah lama yang terletak di atas tanah yang sama itu dibersihkannya sehingga selesa untuk didiami. Di situlah dia membesarkan dua anaknya di samping menjaga mentuanya. Karim bekerja di kilang roti manakala Safura sebagai pembantu di sebuah kedai ‘hardware’ di pekan.

“Tak betul cerita Long Jali halau aku tu. Aku masih baik dengan dia,” tegas Karim. “Entah siapa yang buat cerita bohong ni aku pun tak tahu.”

Pulak! Saya berasa pelik. Saya dengar lain tetapi di mulut orang sebenar, ceritanya lain. Memang saya dengar cerita orang, Jali dan adik-beradiknya yang lain dengan tanpa belas kasihan telah mengusir Karim. Buat apa duduk di situ lagi sebab Safura sudah tiada. Karim tiada hak sebab tanah itu bukan milik dia. Kata orang, Karim dengan dua anaknya yang sudah dewasa pun kemas segala barang dan terus pindah rumah di pekan. Itu cerita orang tapi di mulut Karim, Jali tak usir dia. Yang mana satu lebih ‘valid’?

“Bukan sekejap aku duduk situ, Fandi, 26 tahun. Dua anak aku pun dah besar. Ana (anak sulungnya) pun dah bertunang. Adi pun dah kerja sekarang. Kat tanah itulah aku berkebun, menanam petai dan durian. Tanam sayur dan bela ayam.”

Saya kenal Karim sejak kami kanak-kanak. Karim, tua dua tahun daripada saya memang sejak kecil rajin mencari ‘makan’ sendiri. Dia gemar menjaring dan menembak ikan, menolong arwah orang tuanya berkebun. Tanam jagung dan timun. Di tanah mentuanya pun dia berkebun dan menternak.

“Bila Long Jali pencen askar, dia bawa anak bini dia duduk rumah mak mentua aku itu sehinggalah mak mentua aku meninggal. Adik-beradik lain sesekali ada balik. Semuanya tak ada masalah.”

“Habis, macam mana boleh timbul kisah kena halau?” tanya saya yang mula berani untuk menyoal sebab Karim sendiri sudah membuka kisahnya.

“Bukan halau,” bantah Karim. “Aku sendiri yang bagitahu Long Jali aku akan pindah selepas segala urusan Safura selesai.”

Saya sebaya arwah Safura, isteri Karim. Safura tidak sekolah lagi apabila gagal Sijil Rendah Pelajaran tingkatan 3. Tak tahu kenapa, adakah orang tuanya suruh berhenti atau dia sendiri sudah tidak minat bersekolah. Semenjak itu dia terus bekerja di pekan. Ada ketika dia bekerja di restoran, kemudian dia berhenti dan bekerja di pasar. Kemudian bekerja semula di restoran tempat lamanya. Tak lama selepas itu kita akan nampak dia bekerja di kedai itu atau kedai ini. Pendek kata, pusing-pusing mana pun, Safura tetap tidak lari dari pekan. Bertahun-tahun begitulah, janji kerja – janji ada duit bantu suami sekolahkan anak. Sehinggalah, beberapa bulan lalu dia tewas dengan barah payudaranya.

“Mulut orang bukan mulut tempayan, Fandi. Mulut tempayan bolehlah kita tutup. Mulut orang bebas bercakap dan mereka-reka cerita,” sungut Karim sambil ketawa menyindir.

“Bagaimana kuat pun kenangan dengan Safura di rumah itu, bagaimana sentimentalnya kalau diingat kami membesarkan anak-anak; sampai masa apabila Safura dah tiada aku mesti keluar. Itu bukan tanah aku. Aku sentiasa sedar,” kata Karim.

“Kita orang lelaki, Fandi. Ketua keluarga. Mesti bertanggungjawab. Bukan aku menumpang duduk dan tak buat apa-apa selama ini. Aku pastikan tanah sentiasa kemas. Aku memang nak duduk di pekan lepas kahwin tapi aku diminta untuk duduk situ jaga mak. Aku turut sebab aku sayangkan Safura. Sebagai suami aku sentiasa tahu aku bertanggungjawab sediakan tempat tinggal dan segala keperluan keluarga. Aku korban semua itu dan aku tak ada masalah pun.”

Saya memandang keadaan dalam ruang tamu rumah sewaannya. Lengkap segala perabot semua. Tak kurang pun dengan orang lain. Barangkali duduk berdikari sebegini sudah lama diimpikan Karim tetapi demi Safura, dia penuhi permintaan keluarga mentuanya.

“Duduk di pekan tak bolehlah aku bela ayam lagi. Ha! Ha!” kata Karim berlucu. “Aku serahkan ayam aku pada Long Jali. Pokok cili, petai, rambutan dan Musang King semua aku beri dia. Apa ada masalah? Memang bukan tanah aku.”

“Jali cakap apa?” tanya saya.

“Dia faham. Dia memang tak kisah sebenarnya aku terus tinggal situ sebab sejak muda dulu dia nampak macam mana aku dan Safura jaga mak. Jaga tanah dan kemaskan kebun semua. Yang tak berapa setuju aku terus duduk situ adik-beradik lain yang jarang balik. Diorang tak sukalah aku di situ tapi taklah sampai diorang nak halau.”

“Jadi, aku pilih keluar sebelum terjadinya pergaduhan atau pertikaian panjang.”

Saya setuju dengan Karim. Dia tidak mahu masalah. Dia bersedia melepaskan apa yang diusahakan meskipun saya tahu cintanya terhadap pertanian dan penternakan. Dia sedar tanah tempatnya berbudi bukan milik dia. Dengan rela dia beredar.

“Kita orang bermaruah, Fandi. Kita mesti ada harga diri. Kalau sesuatu itu bukan hak kita tak usah kita ceroboh. Jangan sesekali kita ambil hak orang dan mengaku itu hak kita. Itu tak tahu malu namanya. Lepas itu kononnya mengaku menjadi mangsa penganiayaan, dan mencari orang besar untuk berlindung. Tak malu ke?”

Saya tersentak. Tak sangka Karim yang saya nampak sederhana orangnya tahu bercakap tentang hak.

“Buat apa benda baik pun tetapi bukan di tanak milik kita, sampai masa apabila diminta keluar kita mesti keluar. Apatah lagi kalau kita menanam tanpa izin tuan pemilik. Itu namanya ceroboh. Ceroboh tetap ceroboh walaupun konon kita menanam pokok yang baik.”

Kita ada undang-undang. Hormati undang-undang. Jangan halalkan benda yang memang terang-terang salah. Paling bahaya kalau kita dah tahu perbuatan kita salah tapi kita terus menegakkan yang kita ini betul dan kita cari tempat berpaut untuk mengesahkan yang kita ini betul. Kita cari orang berpengaruh untuk membela kita yang sebenarnya jelas salah. Kita tak akan buat begitu kalau kita orang beragama, orang bertamadun yang bermaruah!

Benar! Saya memang benar-benar tersentak dengan kata-kata Karim. Terngiang-ngiang dengan kalimah berbisanya, kita ini orang bermaruah! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.