`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, August 28, 2023

Bila anak kau dah tiada

 

Apakah panggilan kepada ibu dan ayah yang semua anaknya meninggal dunia? Kalau isteri kehilangan suami digelar balu, suami kehilangan isteri kita panggil duda manakala anak yang kehilangan orang tua pula digelar yatim piatu. Siapa boleh jawab?

Kebanyakan kita pasti akan mengakui nikmat paling bahagia dikurniakan tuhan dalam hidup ini ialah ketika kali pertama melihat zuriat kita lahir ke dunia. Ia adalah kebahagiaan hakiki yang tak terungkapkan. Melihat anak membesar hari demi hari adalah detik yang cukup membuat perasaan kita berbunga-bunga. Luar biasa perasaannya. Luar biasa kebahagiaannya. Lalu bagaimana pula perasaannya jika anak-anak kita itu tiba-tiba hilang di mata meninggal dunia?

Begitulah apa dilalui oleh saya. Kedua anak perempuan saya telah meninggal dunia dan hari-hari saya sekarang hanya berdua sahaja bersama isteri. Bangun tidur, pergi berjalan, makan – tiada lagi anak-anak di sisi. Bagaimana kami menempuh hidup hari ini tanpa mereka yang selama ini kami tatangi? Diringkaskan cerita, saya mempunyai dua anak perempuan yang dilahirkan istimewa. Kecederaan sewaktu proses kelahiran menyebabkan kedua-duanya mengalami kecacatan otak (cerebral palsy) dan sekali gus menjadikan kedua mereka hanya terlantar seumur hidup, tidak berupaya menguruskan diri. Si kakak meninggal dunia ketika usianya lagi dua bulan menjejak sebelas tahun.

Pemergian si kakak membuat semangat saya dan isteri terjejas. Meskipun ramai teman mengagumi kami yang dilihat cukup tabah menanganinya tetapi harus diakui tetap ada kesan psikologinya. Setiap pagi sewaktu menghadap cermin untuk memberus gigi saya akan terlihat wajah si kakak pada wajah saya di imbasan cermin tersebut. Ini berlanjutan selama dua tahun saya rasa. Isteri saya langsung menyimpan sepersalinan terakhir pakaian arwah, memasukkannya dalam beg plastik dan disimpan di dalam almari. Pernah seorang kawan kami, pendatang Indonesia yang sesekali datang untuk diupah mengemas rumah telah mengambil bungkusan berisi pakaian tersebut untuk dicuci. Apabila isteri saya nampak, dia marah. Luar biasa marahnya sehingga kami terkejut. Tiada siapa kemudiannya berani menyentuh bungkusan itu termasuk saya.

Kami kemudian berjaya “move on” kerana memikirkan si adik yang juga cerebral palsy harus diberikan tumpuan. Kesihatannya dijaga, makan pakainya mesti dicermati, rawatan serta program pemulihan kami ikuti. Namun, lima tahun selepas si kakak meninggal dunia, si adik pun menyusul. Usianya ketika itu sudahpun 13 tahun. Pemergian si adik telah meninggalkan saya dan isteri “yatim piatu” (?) kerana kami sudah tiada anak lagi. Rutin kami sebagai ayah dan ibu selama 15 tahun direntap terus. Rumah kami jadi sepi dan saya tenggelam punca.

Apa sahaja yang saya lihat berkaitan dengan anak-anak saya akan menarik-narik perasaan pilu saya. Bayangkan apabila pergi ke pasar dan terlihat buah-buah labu tersusun di rak, saya terpaksa berpaling dan berundur. Ini kerana anak-anak saya menyukai gulai labu. Itu belum lagi apabila melintasi tempat yang pernah kami bawa mereka. Bukan itu sahaja, saya sendiri membuat keputusan nekad meninggalkan profesion perguruan setelah lebih 20 tahun mengajar dan memilih bekerja sendiri. Semua ini saya akui adalah kesan psikologi yang kami depani namun kewarasan masih ada, kami sentiasa rasional dan setiap keputusan bukan dibuat secara emosional sebaliknya menuntut persefahaman yang tinggi kami suami isteri. Apa nak jadi, tempuh bersama! Kami pun kemudian mengubah cara berfikir. Ya, cara berfikir kami sudah tidak sama lagi dengan diri kami sebelum ini dan cara berfikir kami juga sangat berlainan dengan kebanyakan orang biasa.

Seseorang bertanya bagaimana kehidupan kami bila tua nanti tanpa anak-anak, tidak sunyikah? Apa persediaan untuk menghadapi hari tersebut? Saya jawab yang kami sudah lama menerima kenyataan bahawa kami sudah tiada anak. Maka kehidupan kami akan kami isi seperti yang disuratkan kepada kami. Perkara pertama mesti terima hakikat yang kami sudah tiada anak. Dari situ kami sedar yang sunyi bukan suatu persoalan lagi. Ada juga orang yang ramai anak tetapi tetap kesunyian di penghujung hayatnya, kan?

“Tak mahu beranak lagi?” tanya mereka lagi. Saya enggan menjawab soalan ini. “Ambillah anak angkat,” usul mereka lagi. Saya jawab, anak-anak saya sudah tiada. Ambillah anak angkat, ulang mereka. Saya jawab lagi, anak-anak saya sudah tiada. Mereka bingung dengan jawaban saya. Seperti Dr Sean Maguire (lakonan Robin Williams) ketika ditanya oleh Will Hunting (Matt Damon) dalam filem Good Will Hunting (arahan Gus Van Sant – 1997) kenapa tak mahu kahwin lagi selepas isterimu meninggal. Maguire menjawab “isterinya sudah mati” berulang kali yang memberi maksud dia tak mahu berkahwin lagi kerana isterinya sudah mati. Bagi Maguire tiada siapa boleh menggantikan tempat isterinya – tempat itu sudah diisi selamanya tanpa perlu diganti. Begitulah juga maksud saya apabila berkata sedemikian.

“Tak mengapa, anak-anak saudara kau ramai!” kata mereka. Kami senyum. Ya, tetapi tak sama dan tetap ada batasnya. Ada yang boleh, ada yang tak boleh kita buatnya untuk menjadi seperti anak sendiri. Saya pun menjawab dengan serangkap pantun:

Anak parang, paranglah jua
Mana nak sama anak tenggiri
Anak orang, oranglah jua
Tak akan sama anak sendiri

Kawan yang bertanya pun kebingungan dan mati akal. Benar, itulah hakikatnya bagi kami. Sukar bagi orang yang tak mengalaminya untuk faham. Ia jadi pelik. Saya dan isteri jadi manusia aneh sebab congak hidup kami sudah berbeza. Kepala kami sudah lain “tune-nya”. Kami tak mahu binasakan jiwa dengan kenangan-kenangan. Ia kami simpan baik-baik, kemudian kami jalan terus. Percayalah Rukun Iman keenam.

“Anak-anak kamu anak istimewa kiriman Allah. Mereka akan menarik kamu berdua ke syurga nanti,” pujuk kawan saya. Barangkali niatnya untuk menenangkan perasaan saya. Saya terima.

Tetapi yang saya hendak tahu apa jawaban soalan awal saya tadi? Apa panggilan untuk kami, ibu bapa yang anak-anaknya sudah mati meninggalkan kami berdua? Kawan saya pun menjawab, “tak ada panggilan atau gelaran untuk itu, bang. Sebab sekali menjadi ibu dan ayah, selamanyalah sebagai ibu dan ayah.”

Saya pegang jawaban kawan saya itu. Saya terima. Terubatlah sedikit hati saya. Amin! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.