PETALING JAYA: Seorang pemimpin Wanita Umno mencadangkan supaya parti itu dijenamakan semula sebagai langkah drastik memulihkannya selepas berdepan prestasi buruk, terkini pada PRN 12 Ogos lalu.
Ketua Penerangan Wanita Umno Rosni Sohar berkata Umno perlu bergerak ikut keadaan semasa dan tidak boleh dilihat terlalu selesa.
“Sudah sampai masanya Umno buat perubahan drastik selain dijenamakan semula.
“Peredaran hari ini sangat cepat dan jika tidak ikut keadaan semasa kita akan ketinggalan,” katanya kepada FMT.
Khamis lalu, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berkata parti itu perlu melakukan tindakan radikal atau luar biasa untuk memulihkan semula imej parti di mata rakyat.
Noraini berpandangan Umno tidak boleh lagi menggunakan kaedah dan strategi sama untuk mendapat hasil yang berbeza dan menukar presiden parti bukan tindakan wajar buat masa ini.
Desakan supaya Presiden Umno Zahid Hamidi bertanggungjawab dan meletak jawatan semakin kedengaran susulan prestasi buruk parti itu pada PRN 12 Ogos lalu.
Pada pilihan raya itu, Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.
Pada PRU15, Umno bawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.
Penganalisis politik Noor Nirwandy Mat Noordin pula berpandangan penjenamaan semula Umno harus memberi keyakinan kepada orang Melayu dan Islam bahawa segala masalah mereka boleh diselesaikan.
“Pemimpin Umno perlu turun ke lapangan dengan mendengar suara masyarakat.
“Ini ambil masa tetapi dengan pendekatan strategik mampu menerajui semua dalam hati masyarakat,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.