`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 17, 2023

Lagu Tekad Perpaduan Penuhi Harapan sebar patriotisme

 


Tekad perpaduan penuhi harapan
cintai Malaysia
demi Malaysia
laungkan bersama
cintai Malaysia
walau berbeza warna
kita semua sama
bersatu kita takkan goyah
negaraku Madani
perpaduan di hati
selamanya 'ku Malaysia.

Setiap bait lirik lagu Tekad Perpaduan Penuhi Harapan yang merupakan lagu tema bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini pasti menyentuh jiwa sesiapa yang mendengarnya, apatah lagi ia berkisar tentang tanah air tercinta.

Bahkan, sekiranya diamati secara mendalam, lirik lagu yang disampaikan dua penyanyi popular, Aina Abdul dan Khai Bahar, itu menterjemah perasaan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, hidup dalam keharmonian, sehati dan sejiwa sekali gus membarakan perasaan cinta kepada negara.

Pencipta dan penulis lirik lagu tersebut, Muhd Affan Mazlan, 23, atau lebih dikenali Affan Mazlan berpendapat kunci utama lagu Tekad Perpaduan Penuhi Harapan adalah mesra pendengar, ceria.

Paling penting ia dapat menerapkan dan membakar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

"Saya paling suka dengan frasa 'cintai Malaysia' kerana walaupun ayatnya ringkas ia membawa maksud yang sangat mendalam. Frasa itu adalah hook kepada keseluruhan lagu.

"Dari segi susunan muzik, ia digubah secara teliti bagi memudahkan sebutan frasa Tekad Perpaduan Penuhi Harapan agar lebih senang disebut ketika dinyanyikan, memandangkan ia satu frasa yang panjang.

"Cabaran terbesar saya adalah frasa tersebut memandangkan ia adalah tema Hari Kebangsaan ke-66 dan ayat itu bukan kebiasaan digunakan di dalam lagu... tapi alhamdulillah, berkat bantuan daripada semua yang terlibat, saya berjaya melakukannya,” katanya kepada Bernama.

Lebih istimewa, lagu itu turut mendapat sentuhan orkestra diterajui konduktor muzik dan penggubah lagu berpengalaman Mokhzani Ismail selain menggunakan suara latar Gemersik Korus.

Affan Mazlan yang meminati bidang muzik sejak kecil berkata lagu patriotik itu dipilih selepas bersaing dengan 13 komposer lain yang turut menghantar demo karya masing-masing kepada Mokhzani untuk dinilai pada Jun lepas.

"Sejujurnya, pada peringkat awal saya tidak kisah sama ada karya dipilih atau tidak, tetapi apabila terpilih untuk disenarai pendek sebagai enam lagu terbaik, saya mula rasa teruja dan beranggapan ada peluang untuk lagu saya memasuki peringkat seterusnya.

"Saya kemudian menggubah semula lagu itu mengikut tema yang diberikan dari segi lirik dan susunan lagu seperti yang diminta.

"Alhamdulillah, hasil usaha keras, lagu itu berjaya disiapkan dalam tempoh sebulan," katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komposisi Muzik dari Universiti Teknologi Mara itu menyifatkan kerjasama dengan Mokhzani sebagai peluang keemasan sementelahan anak bongsu daripada lima beradik itu masih mentah dalam industri hiburan.

"Beliau adalah legenda. Saya gembira dapat bekerjasama dengan individu yang berpengalaman luas dalam bidang muzik bukan sahaja daripada segi teori tetapi juga praktikal.

“Banyak perkara saya belajar umpamanya berkenaan susunan muzik dan penceritaan lagu," katanya yang terlibat dalam industri hiburan sejak 2019.

Bersyukur dengan penerimaan positif daripada kelompok pendengar yang tidak kira usia, Affan Mazlan berharap agar lagu patriotik itu berupaya menjadi malar segar satu hari nanti sepertimana lagu patriotik lain, antaranya Gemuruh dan Standing In The Eyes Of The World.

"Biasanya, apabila membuat lagu yang bertema, ia hanya akan dimainkan secara bermusim. Sebab itu, saya memilih untuk membuat lagu yang mudah dan merdu serta apa yang penting sedap untuk didengar setiap hari," katanya yang meminati artis popular Faizal Tahir.

Klip video lagu Tekad Perpaduan Penuhi Harapan boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Mokhzani Ismail mulai 5 Ogos lepas.

Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.