Pada hujung 1990-an membawa ke 2009, hubungan Malaysia dan Iran berada di puncak. Iran menikmati keistimewaan tersendiri dalam Dasar Luar Malaysia ketika era Dr Mahathir Mohamad, dan Abdullah Badawi meneruskannya. Di tengah Perang Saudara Iran-Iraq, Malaysia berusaha mengimbangi. Sekatan ekonomi yang dikenakan oleh blok Barat terhadap Iran disanggah beria oleh kedua-dua pemimpin tersebut. Mahathir sempat melawat Iran beberapa kali sepanjang pentadbirannya. Abdullah meski sekejap malah melawat Iran sebanyak dua kali pada 2005 dan 2008 dan menjalinkan hubungan akrab dengan pemimpin Republik tersebut. Kedua-dua pemimpin ini dapat dikatakan pandai dalam menguruskan hubungan luar, paling tidak dalam konteks hubungan sesama negara Islam.
Apa yang menarik adalah sepanjang tempoh tersebut, hubungan yang dinyatakan di atas bukan setakat dikecapi antara kepimpinan negara, tetapi juga antara rakyat. Kementerian Pelancongan menjelaskan sekitar 130,000 pelancong Iran melawat negara kita dalam tahun 2011 seraya ada antara mereka memanfaatkan program “My Second Home”. Ketika itu hubungan ekonomi antara kedua negara juga sangat baik, di mana eksport Iran ke Malaysia bernilai RM500 juta. Saudagar Iran juga dikatakan memegang saham atau pelaburan di lebih 2,000 syarikat.
Kedutaan Iran di Malaysia menyatakan terdapat lebih 70,000 warga Iran berada di negara ini sama ada untuk melanjutkan pengajian ataupun bekerja. Saya sendiri beroleh seorang pelajar PhD dari Iran pada waktu itu. Saya masih ingat ramainya profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia menyeliakan saintis muda Iran, dan siswa Iran malah sampai memenuhi dewan kuliah universiti-universiti teknikal kita seperti di Melaka.
Ketika itu Iran turut menikmati sokongan tidak berbelah bahagi dari negara ini khusus dalam hal melibatkan hak memiliki teknologi nuklearnya. Dalam banyak keadaan Iran selalu dibela dan dipertahankan oleh Malaysia. Seperti seharusnya.
Namun demikian kedudukan ini tidak berlanjutan bawah pentadbiran Najib Razak yang kelihatannya tidak meneruskan kepandaian dua pemimpin Malaysia sebelumnya. Memang Presiden Hassan Rouhani ada ke Malaysia pada 2016, tetapi sepanjang pentadbiran Najib, hubungan Malaysia dan Iran meskipun tidak sampai terputus, berada di tahap yang rendah sejak kedua-duanya mulai bersahabat.
Najib memilih untuk menurunkan tahap kemesraan dengan Iran, dan mengakrabi Arab Saudi. Tidak ada masalah apa pun untuk Malaysia bermanja dan memanjai Saudi, apatah lagi Najib ketika itu mendambakan King Salman Center for International Peace di Kuala Lumpur, tetapi Najib yang tidak begitu pandai dari hal hubungan luar itu mengkesampingkan Iran sebagai sebuah kuasa dunia dengan tiada segan silu “menegur” Iran kononnya negara itu suka mengacau jiran-jirannya . Kata Najib, “I am aware that there is a widespread belief here that Iran has contributed largely to the instability in the region. As a country that enjoys and values good relations with countries in the region, Malaysia feels that Iran should and must avoid any action that could be seen as interfering in the internal affairs of its neighbors. This is not only for the sake of regional stability, but also for the unity of the ummah“.
Dalam disiplin hubungan antarabangsa, kata-kata Najib di atas amat mengeruhkan keadaan. Semacam terpaling menasihatkan rumput lalang di kebun orang padahal laman sendiri tidak berjaga. Malaysia ketika itu terbawa-bawa dengan sikap negara-negara Teluk padahal ia bukan sama sekali perlawanan kita, dan tidak ada sebab pun mencampuri. Malah tatkala Malaysia mengada-ada waktu itu, negara sempat membenihkan gejala sektarianisme yang begitu berbahaya. Syukur tiada pertumpahan darah
berlaku.
Masa berlalu dengan pantas. Hari ini Iran dan Saudi kembali rancak berdiplomasi, selain sering seia-sekata dengan Turki. Malaysia ternyata sedar kembali nikmat berkawan lama dahulu lantas tersipu-sipu menghulur tangan kembali. Mujur, yang di seberang tidak terlalu berasa hati.
Sebaik sahaja kerajaan Madani naik, Presiden Iran Seyed Ebrahim Raisi telah melontarkan kata-kata hangat untuk pentadbiran Anwar Ibrahim. Gengsi Anwar di luar memang mendapat perhatian ramai. Ini misalnya tidak berbau dan susah dihidu pada Muhyiddin Yassin atau Ismail Sabri Yaakob. Untuk keadilan, ya mereka tidak pun sempat menunjuk wibawa kerana leka main politik. Itu sebabnya kita memerlukan pentadbiran yang betul-betul stabil, dan bukan sekadar retorika.
Baguslah, atas nama Madani maka awal tahun ini, terdapat usaha meneroka kerjasama dalam membangunkan penyelidikan mengenai pertanian dengan Iran. Hal ini dinyatakan oleh Mohamad Sabu selaku menteri pertanian dan keterjaminan makanan. Kemudian Mei lalu, Malaysia dan Iran berjanji-janji untuk sama-sama sehati sejiwa menentang jenayah siber seperti dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Kehadiran Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir di Tehran minggu ini membawa sinar baharu selepas kemalapan cahaya di zaman Najib itu tadi. Pertemuannya dengan Hossein Amir Abdollahian, rakan sejawatan mengesahkan bakal ada pertukaran lawatan antara pimpinan di peringkat tertinggi.
Antara perbincangan yang dijangka bermanfaat telah diketengahkan adalah soal pertukaran orang tahanan, penerokaan sektor pendidikan, peningkatan kerja dalam bidang teknologi maklumat, dan usaha memulihkan semula penerbangan terus antara Tehran-Kuala Lumpur yang pernah tergendala seketika. Di peringkat penggubal undang-undang, dijangka ada pertukaran antara ahli-ahli Dewan Rakyat dan anggota Majlis Iran tentunya. Ini semua pembelajaran dan pengajaran yang bermanfaat dan menarik.
Malaysia dan Iran juga sama-sama mengutuk penghinaan terhadap kitab suci al-Quran seperti dilakukan secara bersiri di Sweden selain meneguhkan ikrar berhubung kedudukan Palestina. Kehadiran Maszlee Malik di situ juga nampaknya pasti menjanjikan kerjasama erat antara dua pusat penyelidikan yang bergengsi iaitu Institute of Diplomacy and Foreign Relations (IDFR) dengan Institute Of Strategic and International Studies (Isis) Malaysia. Lama sudah Isis yang pejabatnya di luar pintu Universiti Malaya itu hidup segan mati tidak mahu. Moga-moga akan ada kebaikan.
Puncaknya ada panggilan telefon antara Anwar dan Raisi yang nampaknya hangat dan bertentu. Ini diciap sendiri oleh perdana menteri di platform X. Negara kita kembali di tangan orang pandai-pandai.
Susah untuk menahan diri ya ampun. Ternyata Madani bukan sahaja satu harapan dan perpaduan untuk umat Islam di negara ini, nampaknya Madani juga dihulurkan sebagai ikatan silaturahim kepada negara-negara luar dalam paksi serupa. Ini telah ditunjukkan kepada Turki, dan kali ini Iran.
Jika Madani diterapkan dalam bidang hubungan antarabangsa secara abadi saya percaya kefahaman antar-peradaban akan berkembang dan marak. Hal ini penting di tengah-tengah kegilaan Islamofobia, konservatisme agama dan kepercayaan yang merosakkan sehingga menyalakan ekstremisme. Umat penat dengan ketertutupan dalam busa melekit yang sama atau telatah kebudak-budakan pihak tertentu seperti – ketuk-ketuk kepala orang, main pakau takfiri – atau kesombongan dalam ilmu sehingga merendah-rendahkan tokoh sejarah seperti Munshi Abdullah.
Orang mengharap kita unggul kerana Malaysia pernah menjadi pedoman dan rujukan. Orang ingin menghormati kita. Dulu orang hormat. Hilang sekejap. Syukur ada balik. Nampaknya ia sudah kembali. Episod rasuah dan penyelewengan akan terbungkam dalam penjara yang ulangtahunnya genap setahun baru-baru ini. Moga-moga Madani ini terus menguntum dan semerbak. Bagus sekali. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.