Sesetengah orang mungkin melihat Johari Abdul sebagai seorang yang tidak serik-serik. Hanya Februari lalu, speaker Dewan Rakyat itu heboh ditularkan melantik Mohammed Iqbal, anak sulungnya daripada lapan beradik, sebagai pegawai tugas-tugas khas di pejabatnya.
Bukan main riuh-rendah keadaan ketika itu kerana perkara berkenaan terdedah selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan.
Di samping pelantikan yang dibuat Johari itu menjadi satu isu kerana dikaitkan dengan nepotisme, nama bapa Iqbal yang tidak tertera dalam laman web rasmi Parlimen, didakwa sebagai satu cubaan untuk menyembunyikan perkara sebenar.
Dalam mempertahankan pelantikan berkenaan, Johari menolaknya sebagai nepotisme kerana Iqbal, yang berkelulusan ijazah sarjana muda kewangan di Universiti Multimedia (MMU) Melaka, memenuhi kelayakan di samping sudah berkhidmat sebagai pegawai khasnya sejak 2009.
Nepotisme atau pilih keluarga bermaksud melebihkan atau mengutamakan saudara-mara serta rakan-rakan yang ada hubungan dan bukan penilaian objektif bagi keupayaan, meritokrasi atau kesesuaian terhadap pelantikan sesuatu jawatan.
Dalam politik pula, nepotisme adalah tuduhan biasa apabila saudara seorang tokoh yang berkuasa naik ke kuasa yang sama seolah-olah tanpa kelayakan sesuai.
Selain itu, seorang lagi anaknya, Dr Mohammed Taufiq, adalah Ahli Parlimen Sungai Petani yang menang dalam PRU15 pada 2022, mengambil alih daripada Johari yang tidak bertanding mengekalkan kerusi berkenaan.
Dan bagi PRN Kedah 12 Ogos ini, anak keduanya pula, Mohammed Firdaus bertanding merebut kerusi N22 Gurun, yang dahulunya diwakili bapanya.
Lantaran itu, bukanlah menghairankan apabila tuduhan nepotisme sekali lagi dicanangkan di sebalik Firdaus, yang berkelulusan ijazah sarjana muda pengurusan insurans dan risiko dari Universiti Utara Malaysia (UUM), adalah juga ketua Pakatan Harapan (PH) Jerai.
Menepis tuduhan itu sebagai tidak berasas, Firdaus mempertahankan bahawa
pencalonannya untuk merebut kerusi berkenaan adalah atas kepercayaan Anwar selaku pengerusi PH.
Lebih daripada itu, dia bukanlah apa yang boleh ditakrifkan sebagai calon bidan terjun kerana sudah melakukan tugas-tugas di sebalik tabir dengan kerap mengunjungi penduduk setempat untuk meninjau masalah mereka sepanjang lima tahun lalu.
Nepotisme seakan-akan tidak boleh dipisahkan dalam politik Malaysia. Sudah banyak duluan daripada keturunan bekas perdana menteri, menteri mahupun tokoh ternama parti politik yang dituruti ahli keluarga, yang khidmat mereka tidak pun dijejaskan oleh pertalian darah sedemikian.
Malah, tuduhan nepotisme tidak boleh hanya dipersalahkan kepada satu-satu pihak semata-mata, dengan pihak-pihak yang berlawanan turut mengamalkannya.
Cuma, dalam usaha lawan untuk merendah-rendahkan kredibiliti seseorang calon dalam PRN kali ini, tuduhan nepotisme mudah saja digunakan sebagai cubaan untuk mengalihkan sokongan pengundi atas pagar supaya memihak kepada mereka, lebih-lebih lagi jika calon yang bertanding dilihat tidak berada di taraf sama.
Isu nepotisme kembali dipanaskan oleh Menteri Besar Kedah Sanusi Nor dalam majlis santai petang bersama Sanusi dan Baddrol Bakhtiar di Medan Gurun Jaya, Gurun, Khamis lalu dengan menganggap ia tidak bertepatan dan tidak sepatutnya jadi amalan.
Ketawa kecilnya yang diselangi antara hujah seolah-olah memberi sindiran paling tajam di sebalik pengakuan bahawa Firdaus bukan seseorang yang tidak dikenalinya.
“Bapa dia speaker Parlimen, adik jadi Ahli Parlimen Sungai Petani, ni abang nak bertanding di Gurun. Kalau orang lain buat kerja ini, depa akan hentam ini nepotisme. Hangpa kira adik-beradik hangpa saja nak jadi pemimpin. Orang lain tak boleh, hangpa boleh.
“Bukanlah saya nak kata Firdaus Johari ni orang tak baik, dia pun orang baik. Tapi nasib dia lahir sebagai anak Johari Abdul, dia kena sabar sat, bagi pak dia berhenti dulu, lepas tu ganti dia, barulah tak berapa nampak sangat. Ini berangkai semua sekali jadi wakil rakyat. Tak kan kut, tak ada orang lain ka dalam PKR ni?
“Kita berhentilah budaya berhimpun anak-beranak dalam politik ini. Bila hang jadi kerajaan nak menghimpunkan kekuasaan dalam satu famili, itu tak sesuailah bagi saya,” katanya.
Firdaus, dalam menyangkal pemilihannya sebelum ini sebagai amalan nepotisme berkata, pemilihannya dibuat berdasarkan kredibiliti selari dengan kehendak kepimpinan tertinggi PH untuk menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat.
Berdepan pertarungan satu lawan satu dengan bekas pemain bola sepak Kedah, Baddrol, di kerusi DUN Gurun, Firdaus memanfaatkan pentas ceramah jelajah Madani DUN Gurun pada Sabtu, untuk menawarkan formula “politik khidmat bakti” bagi membantu rakyat.
Sesiapa saja yang hadir di majlis berkenaan mahupun menontonnya dalam talian akan melihat keterampilan dan kepetahannya dalam menjanjikan khidmat terbaik, termasuk program TVET Vokasional Madani, dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada anak muda, mewujudkan infrastruktur sukan yang baik dan merealisasikan slogan “Kalih Bagi Sama” seiring dengan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.
Kesudahannya, nepotisme atau tidak, terpulang kepada pengundi untuk membuat pilihan calon mana yang diyakini mereka dapat memberi khidmat terbaik tanpa terpengaruh kepada serangan yang tujuannya hanya untuk merendahkan kewibawaan seorang calon, seolah-olah menumpang nama keluarga.
Dalam mempertahankan Baddrol selaku calon PN yang tidak petah berucap, Sanusi menjawab: “Kita bukan nak cari pendebat, kita nak cari Adun. Wakil rakyat bukan semestinya pandai berucap. Ketar dan gemuruh memang ada, macam saya juga mula-mula dulu. Keperluan kepada kepetahan
bercakap itu bukan kepada semua pemimpin. Kalau semua pandai bercakap, siapa nak buat kerja?” - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.