Reputasi Sarawak sebagai wilayah politik yang stabil tidak dapat dipertikaikan dan ia menjadi model unggul yang harus dinobat. Kestabilan politik ini diperkuatkan lagi oleh masyarakatnya yang pelbagai, di mana tiada kecenderungan yang bersifat perkauman, dan tidak mengenepikan perayaan budaya, adat dan warisan yang kaya.
Sarawak mempunyai posisi politik yang unik, kerana tidak pernah mempunyai Umno dalam lanskap politik negerinya. Kebebasan ini membolehkan masyarakat berbilang kaum berkembang di mana kehendak satu kaum atau satu agama tidak mendapat pentas utama.
Berbilang kaum
Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersifat terbuka tentang kehadiran PKR dan DAP yang juga berbilang kaum. Asas kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan menekankan fabrik berbilang kaum yang amat berlainan dari kenyataan Dr Mahathir Mohamad tidak lama dulu dan sekarang dijadikan kempen utama oleh Perikatan Nasional, terutama PAS.
Tanpa parti yang bersifat keras seperti PAS, teraju kepimpinan Sarawak lebih yakin, mendorong kebebasan sosial, gabungan budaya, muzik, hiburan dan pelancongan, mencipta campuran unik yang menarik pengunjung dan juga pelabur.
Di Semenanjung atau Malaya, PAS sering dilihat memainkan isu kaum dan agama untuk menarik sokongan pengundi mereka. Tetapi agak malang apabila PAS menang tampuk kuasa tetapi keupayaan pentadbiran mereka amat lemah dan terhad.
Mereka tidak mempunyai kecekapan teknikal atau kompetensi pengurusan, untuk memenuhi keperluan asas, apalagi untuk menarik pelaburan asing dan membuka peluang pekerjaan dalam bidang komersial. Kegagalan ini menonjolkan Kelantan sebagai contoh utama.
Kedah dan Terengganu, kalau tersilap pangkah, mungkin akan mengikut jejak langkah yang padah, sama seperti Kelantan.
Infrastruktur moden
Ketiadaan PAS di Sarawak memberi nafas yang segar, meningkatkan daya maju, dan menarik jumlah pelancong tempatan dan luar negara. Di Sarawak, bekalan elektrik dan air yang konsisten, menjadi dua faktor penting dan dijamin untuk menarik pelabur.
Lebuh raya dua hala yang baru dibina, Pan Borneo yang bebas tol sebahagian lagi infrastruktur moden yang akan mengurangkan kos logistik dan meningkatkan aksesibiliti di Sarawak. Tidak lama lagi, Kuching akan mempunyai sistem transit awam versi sendiri.
ART (atau autonomous rapid transit) iaitu sistem tram berlandas di jalan raya sedang dalam pembinaan dan kenderaan yang dikuasai oleh hidrogen akan diuji pada November tahun ini. Kajian untuk mengadakan sistem kereta api juga akan dilaksana. Sarawak sangat fokus untuk bergerak maju seiring dengan beberapa teknologi terkini yang tersedia.
Kestabilan politik tanpa ketegangan agama dan permusuhan kaum harus diketahui dan diakui oleh mereka yang berada di Semenanjung menjelang PRU di enam negeri. Pemimpin politik Sarawak mahukan kedamaian dan keselesaan penduduk, mencipta keadaan sosio-politik yang seimbang, bebas dari ekstremisme, permusuhan, dan ketidakstabilan.
Pihak berkuasa tempatan di Sarawak tidak seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB). Mereka tidak dibebani dengan tanggungjawab berkaitan dengan polisi moral, yang terkait dengan ciri-ciri agama, seperti menguatkuasakan kod pakaian dan sebagainya.
Masa mereka lebih baik dihabiskan untuk memberi tumpuan kepada hal-hal besar yang lebih penting, seperti menjaga kebersihan, peningkatan kemudahan awam, dan berusaha untuk menaikkan taraf hidup yang lebih baik. Malangnya, kerajaan PAS Kelantan melakukan sebaliknya.
Sarawak mempromosikan kekayaan budayanya (seperti Hari Gawai, Rainforest Music Festival & Kuching Food Fest) dan kepelbagaian kaum untuk memacu ekonomi tempatan.
Penguasaan Bahasa Inggeris
Tanpa politik perkauman, kerajaan Sarawak dapat memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang memberikan petunjuk yang nyata kepada rakyat. Sebagai contoh, keputusan mereka untuk berbeza dari Putrajaya tentang isu pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah.
Polisi khusus ini membawa manfaat yang besar kepada penduduk Sarawak dengan kesan positif terhadap kebolehpekerjaan graduan. Berdasarkan pengalaman peribadi, tentang pengambilan pekerja di syarikat saya, saya mendapati penguasaan bahasa Inggeris jauh lebih tinggi dari negeri-negeri di Semenanjung.
Pelabur dan majikan mengambil serius faktor ini dan melihatnya dengan pandangan yang positif. Mereka menghargai jaminan bahawa tenaga kerja mereka lebih berpendidikan, dengan itu membuatkan mereka lebih boleh berdaya saing dan mencapai peningkatan – dua ciri penting untuk menjamin pelaburan jangka panjang.
Isu bahasa ini dirangka oleh cendekiawan, demi memenuhi masa depan Sarawak, persekitaran berbilang kaum yang dinamik, terjamin serta dipupuk untuk memenuhi tenaga kerja tempatan yang berkualiti, berpandangan jauh, bernilai tinggi, dan terbuka.
Ini yang tidak terdapat di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.
Sarawak menjadi contoh yang jauh ke depan untuk pengundi di enam negeri Semenanjung, untuk tidak lagi mengundi PAS pada pilihan raya negeri nanti. Pastinya, pengundi di enam negeri Semenanjung tidak berhajat untuk ketinggalan di belakang Sarawak. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.