`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 19, 2023

Umno kena tumbukan TKO difahami masih pening-pening

 

Seorang menteri Umno mengucapkan semoga berjaya kepada pengundi di Kedah, Kelantan, dan Terengganu kerana mengekalkan kerajaan pembangkang di negeri-negeri berkenaan dalam PRN Sabtu lalu. Padanya, seolah-olah tiada apa yang boleh dilakukan untuk meyakinkan mereka agar mengalih sokongan.

Bunyinya dalam video yang tular itu seperti seorang berhati besar yang akur menerima kekalahan. Sebaliknya, ia rata-rata dilihat ramai sebagai sindiran sinis kepada pengundi yang lebih mahu ditadbir kerajaan Perikatan Nasional (PN) di ketiga-tiga negeri ‘Gelombang Hijau’ itu.

“Bagi sebuah kerajaan (berusia) lapan bulan, untuk dapat anak pun, ia perlukan sembilan bulan,” kata menteri itu lagi, seakan-akan terlalu awal untuk kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dijatuhkan ‘hukuman’ di ketiga-tiga negeri itu.

Ia bukan pun berkisar kepada PAS merampas Kedah, Kelantan dan Terengganu, sebaliknya mengekalkan status quo, cuma dengan jumlah kerusi lebih besar. Jadi, apakah motif ulasan sedemikian? Jauh daripada ia boleh membawa sebarang kebaikan, ia sebaliknya sekadar menambah kemarahan dan kebencian terhadap Umno. Sekali gus ia harus dilihat terlalu angkuh untuk menerima kenyataan.

Pengundi telah pun bersuara dan ia harus didengar sangat lantang. Suka atau tidak, pilihan mereka hendaklah dihormati. Mereka tidak terhutang apa-apa, lebih-lebih lagi kepada Umno. Untuk Umno berasa megah atau angkuh sepatutnya jauh sekali kerana tiada apa pun yang mewajarkannya.

Dalam PRN, Umno selaku parti tunggal yang mewakili Barisan Nasional (BN), langsung tidak menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu di samping cuma menang satu di Kelantan. Selain itu, parti itu menang masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor serta 14 di Negeri Sembilan untuk keseluruhannya meraih hanya 19 kerusi daripada 108 yang ditandinginya atau sekadar 17.6% sebagai bukti mereka ditolak.

Dua kerusi yang dimenanginya di Selangor itu turut rata-rata dianggap mengecewakan di sebalik jangkaan parti itu boleh memenangkan lebih banyak kerusi majoriti Melayu kepada kerajaan negeri diketuai Pakatan Harapan (PH).

Berlawanan dengan ego menteri itu ada banyak pandangan berbeza, antaranya bekas menteri besar Pahang, Adnan Yaakob, yang merumuskan Umno sudah hampir nak bungkus tanpa boleh menyalahkan sebarang pihak lain. Bendahari Umno Selangor Tengku Zafrul Abdul Aziz pula menganggap keputusan PRN sebagai amaran terakhir terhadap kelangsungan parti itu – sependapat dengan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Isham Jalil bahawa Umno perlu melakukan perubahan drastik sekiranya mahu mengembalikan kepercayaan ahli akar umbi serta mengelakkan parti hancur pada PRU16.

Cuma, apabila ditinjau pandangan-pandangan selebihnya, bolehlah disimpulkan bahawa Umno masih belum terlambat untuk diselamatkan sekalipun ada percanggahan di antara ia harus bermula dengan sama ada Zahid Hamidi berundur selaku presiden atau melaksanakan langkah-langkah segera bagi membetulkan keadaan.

Elok juga didengar saranan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim agar Umno tidak menyalahkan orang Melayu dan golongan muda kerana terpengaruh dengan sentimen politik berasaskan kaum dan agama di media sosial. Mereka hendaklah terus disantuni dan diberi penjelasan sebaik-baiknya.

Umpama seorang peninju yang berusaha untuk bangkit sebelum kiraan 10 pengadil selepas direbahkan tumbukan TKO (kalau KO tak mampu bangun lagi), ia boleh difahami jika Umno terkial-kial hendak bangun semula dengan berpaut pada tali dalam keadaan masih-masih pening-pening lalat. Lantaran itu, ramailah di tepi gelanggang yang melatah dan berbalah pendapat.

Di satu pihak, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengambil inisiatif menganjurkan satu perhimpunan khas sayap itu Khamis lalu bagi mencari punca kekalahan dalam PRN dan jalan penyelesaiannya bagi pertimbangan kepimpinan parti untuk dilaksanakan.

Di sebalik perhimpunan khas itu bertujuan baik, mungkin apa yang tidak disenangi ialah kenyataannya bahawa keputusan PRN lalu jelas membuktikan Umno perlu berani untuk berubah dengan mengutamakan suara rakyat, bukannya suara pemimpin.

“Biar kita buat dulu cara kita, tetapi jika cara kita ni tidak langsung didengari, maka kita akan melakukan sesuatu. Ini amaran keras kita berikan kepada (kepimpinan),” katanya.

Hampir senada dengannya, Isham yang kecewa melihat Umno seperti tenggelam punca dan masih teraba-raba, mendesak agar MKT segera bermesyuarat dan mengadakan perhimpunan agung khas secepat mungkin bagi merumuskan strategi parti selanjutnya.

Namun, seperti pandangan menteri pada awal tadi bahawa keputusan PRN masih turut memihak PH-BN yang mengatasi Perikatan Nasional (PN) sebanyak 17,000 daripada segi undi popular atau 0.25% daripada keseluruhan 6.8 juta undi, seorang lagi ahli MKT Razlan Rafii berpendapat Umno tidak pun perlu gelabah dan tidak harus terburu-buru mengambil sebarang tindakan.

Mempertahankan parti masih berada dalam keadaan baik dan terkawal sambil sebarang analisis memerlukan masa untuk data berkaitan dihimpun, beliau mempersoalkan niat sebenar Isham apabila menyatakan demikian secara terbuka.

Di tengah-tengah perselisihan pendapat seperti itu, Zahid dan Mohamad Hasan selaku orang no 1 dan 2 parti terus mengunci mulut daripada menyatakan pendirian mereka. Kedua-duanya dan kepimpinan yang sewaktu dengan mereka seakan-akan tidak peka yang akar umbi semakin resah dengan pimpinan tertinggi parti mendiamkan diri dan tidak memberikan hala tuju yang jelas sewaktu krisis.

Seperti dikatakan Isham, berada dalam sindrom penafian dan melengah-lengahkan masa supaya isu dilupai bukanlah pilihan yang baik untuk Umno dan kelangsungannya.

Umno bukannya tidak mempunyai banyak pilihan – masih banyak yang boleh dilakukan daripada gabungan minda-minda terbaik dalam barisan kepimpinannya – cuma tidak mengambil sebarang langkah proaktif pada ketika parti itu mahu dilihat segera melaksanakan langkah pembaikan bukanlah salah satu opsyen yang ada.

Apa pun tindakan yang bakal diambil – setelah poster dan bendera parti semakin hilang dari pandangan selepas seminggu PRN berlalu – rasanya ia hendaklah bermula dengan sikap merendah diri di pihak Umno sendiri.

Berhentilah menyalahkan orang lain dan bermuafakatlah mencari jalan yang dirasakan terbaik untuk memenangi semula hati pengundi dan elakkanlah menuding jari sesama sendiri hingga boleh membuat saki-baki penyokong yang tinggal turut jelak dengan gelagat pimpinan parti.

“Kita ada masa empat tahun dua bulan lagi dari sekarang hingga tahun 2027 kerana kalah teruk hari ini tidak semestinya kalah lagi selepas ini jika kita sanggup berubah daripada pelbagai sudut,” kata Naib Presiden Johari Abdul Ghani.

Turut dirujuknya ialah perihal PRU 2004 yang menyaksikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang cuma menang satu kerusi, DAP menang 12 manakala PAS sekadar menang tujuh tetapi parti-parti berkenaan berada di kedudukan jauh lebih baik kini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.