Kita boleh maafkan Dr Akmal Saleh jika ketua Pemuda Umno itu berasa ‘kembang’ sejenak ketika ini. Mahunya tidak selepas dua bahan berita kelmarin mengangkatnya hingga boleh membuat susun langkahnya seolah-olah ada spring di tapak kasutnya.
Dari pihak lawan, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal antara lain mensyaratkan penggantinya dalam pemilihan parti itu awal bulan depan hendaklah lantang dan berani menandingi pemimpin pelapis Umno itu.
Wan Fayhsal yang dikenali dengan kelantangannya membawa isu nasional dan rakyat di Parlimen berkata penggantinya perlu berani menandingi seteru mereka termasuk Pemuda Umno yang dipimpin Akmal.
Saya harap (ketua Pemuda baharu) boleh duduk sama tinggi dengan Akmal sebab kami cuba menarik segmen pengundi sama, iaitu anak muda Melayu, jadi perlu orang mempunyai wawasan dan visi melawan kerajaan menindas. Tak cukup sekadar melalak serta tembak rambang sebaliknya mesti ada strategi, menjuarai dan menjadi jurubicara rakyat,
katanya.
Rasanya ia bukan pun sindiran daripada Wan Fayhsal melainkan ia satu pengiktirafan terhadap rakan sejawatannya dalam Umno itu yang tidak sunyi daripada kontroversi – daripada isu stoking tertera kalimah Allah, pemboikotan rangkaian kedai serbaneka KK Mart, ‘memperbodoh’ seorang menteri hingga kepada serangannya ke atas Naib Pengerusi DAP Teresa Kok dalam isu pensijilan halal.
Dari dalam parti sendiri, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li – Ahli Parlimen paling lama berkhidmat dari 1974-2022 — menaruh kepercayaan Adun Merlimau dan ahli Exco kerajaan Melaka itu punya potensi untuk jadi seorang pemimpin hebat.
Membuat perbandingan dengan Pemuda Umno dari era kepimpinan Harun Idris (1971-1976) hingga Khairy Jamaluddin (2008-2018) yang didakwanya hampir tidak wujud dalam parti, Ku Li berkata sudah terlalu lama parti tidak memiliki seorang ketua Pemuda seperti Akmal.
Apakah ini bermaksud Ku Li tidak memandang sama tinggi kepimpinan Pemuda sepanjang tempoh 47 tahun di antara kedua-dua pemimpin berkenaan?
Di antara era Harun dan Khairy, ada tujuh lagi ketua Pemuda — Syed Jaafar Albar (1976-1977), Suhaimi Kamaruddin (1977-1982), Anwar Ibrahim (1982-1987), Najib Razak (1987-1993), Rahim Tamby Chik (1993-1994), Zahid Hamidi (1996-1998) dan Hishamuddin Hussein (1999-2008) – dengan dua daripada mereka kemudian menjadi perdana menteri.
Kita tidak berniat mempersoalkan perbandingan dibuat Ku Li itu. Sebagai orang lama – ahli Umno bermula 1962, keluar parti bagi menubuhkan Semangat 46 selepas 1987 dan menyertai semula Umno pada 1995 – tentunya beliau berhak kepada pandangannya.
Dalam temu bualnya dengan Mingguan Malaysia, Tengku Razaleigh – kini pengerusi Jemaah Penasihat Umno – mempertahankan Akmal di sebalik kelantangannya kerana tujuannya dilihat hanya untuk menaikkan semula semangat Pemuda Umno di samping mendapatkan sokongan terhadap pergerakan itu.
Kerana itulah saya pertahankannya apabila dia bertelagah dengan Teresa Kok dalam isu pensijilan halal. Saya tidak lihat ini melalui kanta perkauman tapi apa yang Akmal katakan selari dengan perjuangan parti,
katanya.
Sebelumnya pada 23 Sept, Ku Li turut membela ketua Pemuda Umno itu yang diungkapkannya tidak perlu memohon maaf berkait isu berkenaan – wujud kebimbangan pengundi Cina dalam PRK Mahkota enggan keluar mengundi – kerana apa yang dilakukannya sejajar dengan perlembagaan dan misi parti.
Dalam pada itu, hujah Ku Li itu juga dilihat berlapik:
Tapi jika anda tanya saya sejauh mana dia akan berjaya dalam politik baik di dalam atau di luar Umno dengan taktiknya itu, hanya Tuhan yang tahu. Akmal masih baru, jadi berikan dia masa. Saya percaya dia punya masa depan yang cerah.
Terserah kepada Akmal untuk menilai pandangan orang lama, kaya pengalaman dan berhikmah seperti Ku Li sama ada untuk khayal dengan pujian memabukkan hingga boleh membuatnya lupa diri atau mengambil iktibar daripada mesej tersirat agar tidak tergelincir.
Apatah lagi beliau sering dilihat mengambil kedudukan ketua Pemuda Umno sebagai ‘lesen’ untuk mengkritik hingga dilihat lantang menghentam tanpa memilih kawan mahupun lawan — ada kalanya menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pimpinan Umno sendiri.
Tiada individu yang boleh berasakan dirinya lebih besar daripada partinya sendiri, apatah lagi dengan kesedaran bahawa keutamaan parti hendaklah sentiasa didahulukan di samping institusi presiden yang menuntut untuk dipertahankan di sebalik slogan
Pemuda Cara Kita
yang dibawanya.
Ambil contoh kenyataan Presiden Umno Zahid pada 8 Okt yang mengingatkan pemimpin Umno agar jangan ‘usik’ komponen kerajaan perpaduan, lebih-lebih lagi kemenangan dalam PRK Mahkota pada 28 Sept – majoriti calon Umno meningkat empat kali ganda – dianggap isyarat rakyat menerima baik model kerajaan perpaduan.
Dalam menagih Umno mengekalkan perpaduan itu, Zahid berkata:
Kita ketepikan perbezaan pandangan ini dan kita mesti berjalan ke hadapan untuk menjalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa sahaja kemungkinan termasuk PRK atau PRU.
Akmal – tidak salahkannya kerana tidak merujuk kepada ingatan Zahid itu – sebaliknya mengalunkan nada berbeza apabila menasihatkan semua pihak supaya tidak mempersoalkan apa yang diperjuangkan Umno, khususnya perkara berkaitan Islam, Melayu dan Raja Melayu.
Sekiranya perkara itu berlaku, tambahnya, Pemuda Umno tidak akan teragak-agak untuk terus bersuara mempertahankan perjuangan parti meskipun terpaksa berdepan pelbagai ancaman.
Kalau takut kena usik, jangan sesekali usik kami dulu. Jangan ingat kamu usik kami, kami (akan) diam membisu saja, orang lain mungkin (begitu) tetapi bukan kami. Ia semudah itu,
katanya menerusi Facebook.
Percanggahan seperti itu yang menimbulkan tanggapan tiadanya keseragaman dan kebersamaan dalam parti yang boleh dipertimbangkan oleh Akmal untuk dielakkan.
Lagipun, Akmal dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Pemuda Umno pada 22 Ogos lalu berpesan-pesan kepada dirinya dan ahli:
(PRK) Nenggiri adalah bukti kita mampu kembali, Nenggiri adalah bukti kita pantang berhenti. Tapi ingat! Jangan sombong, jangan lupa diri. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.