Terdapat perkembangan menarik apabila kaum liberal di negara ini memilih untuk menatang penuh ‘musuh’ mereka, dengan beberapa alasan seperti ‘hak asasi manusia’, menolak gejala kemazhaban atau sektarianisme; atau penggunaan takrif sempit Islam. Ini rentetan daripada polemik mengenai Rang Undang-undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024.
Antara lain kenyataan diberikan adalah; RUU Mufti WP ini ‘akan memupuk sikap tidak bertoleransi dan radikalisme dengan mempromosikan nilai-nilai yang menafikan kemanusiaan serta melemahkan demokrasi; tindakan-tindakan ini merupakan serangan langsung terhadap sistem sekular, yang merupakan jaminan asas kepada Sabah dan Sarawak ketika Malaysia, dan juga Persekutuan Tanah Melayu, ditubuhkan’; dan ‘kesan kumulatif daripada pelanggaran-pelanggaran ini menyerlahkan corak penghakisan terhadap jaminan perlembagaan yang bertujuan melindungi sifat pluralistik dan sekular persekutuan’.
Untuk nota, urusan agama terletak bawah kuasa negeri khususnya buat negeri-negeri yang mempunyai raja dan sultan. Justeru RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 ini akan terhad di Wilayah Persekutuan, yang sedikit lebih kurang sama sahaja dengan pendekatan negeri lain.
Kebimbangan kaum liberal di atas ini adalah kerana mereka merupakan saksi penting kepada ‘birokratisasi Islam sejak tahun 2000-an’, dan kini nampaknya menuju ke arah penginstitusian ‘Asyairah sebagai versi Islam yang diiktiraf oleh negara’. Malah kaum liberal juga dimusuhi oleh pihak berkuasa agama. Bukan sekali mimbar Jumaat misalnya menyelar mereka. Islam liberal ditanggapi sebagai ‘ancaman’, dan diberi sudut pandang yang demikian negatif. Jadi, puak liberal Islam geram dan melihat ini sebagai satu lagi kemerosotan.
Akan tetapi penentangan keras kaum liberal terhadap RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 ini juga menggiring mereka ke satu sudut yang melongokan. Mereka akhirnya alih-alih berada di satu halaman yang sama dengan puak evangelis Islam. Secara mendadak mereka sekufu. Memang berada di ranjang yang sama tidak bermakna akan berkendak, tetapi siapa tahu?
Ini kerana resah kaum liberal dan evangelis Muslim itu kini jadi satu. Keresahan utama puak evangelis Islam adalah apabila kelak hak mereka untuk mencalonkan seorang mufti daripada kalangan mereka di Wilayah Persekutuan ternafikan. Mana-mana evangelis Islam yang mati-mati mempromosi selaku pakar hadis misalnya dan selalu berangan untuk mendiami kerusi empuk mufti di Putrajaya kini tidak tersangka mati andar. Impian mereka direnggut secara paksa dan ganas dengan RUU Mufti Wilayah Persekutuan itu.
Tangis dan lalak puak evangelis Islam pula adalah, tafsiran Islam seperti termuat dalam RUU Mufti Wilayah 2024 yang dicadangkan ini tidak meraikan mazhab mereka yang juga menurut mereka bahagian daripada Islam; dan akhir sekali ia bakal membuka jalan kepada gejala kemazhaban.
Sebenarnya, gejala kemazhaban memang sudah pun ternganga luas sejak dua dekad lamanya. Yang perlu disalahkan adalah kaum evangelis Islam sendiri kerana memang merekalah peneroka jalan tersebut.
Saat penganut Syiah di negara ini ditekan, dinafikan hak mereka, dan tidak dianggap sebagai sebahagian daripada Islam; gejala mazhab di negara ini telah pun bernanah. Ketika pentadbiran Najib Razak, kaum evangelis Islam berpestaan di atas ketakutan warga Malaysia beragama Islam yang bermazhab Syiah. Dalam sedekad ini ada dalam kalangan mereka berhijrah ke luar negara iaitu ke Eropah, Australia dan New Zealand; bahkan ada yang hilang tanpa tanda dikesan (kehilangan paksa) gara-gara pemomokan sektarian yang dilakukan oleh evangelis Islam tersebut; kaum liberal Islam pun nampaknya pada waktu itu tidak pun bersungguh.
Diam mereka dalam banyak keadaan membenarkan evangelis Islam memukul penganut Syiah sehingga terperosok. Prasangka liberal Islam dan evangelis Islam itu tentu sahaja tumbuh daripada akar sama; iaitu kebencian atau prasangka kepada Iran yang sering dianggap punca penjelmaan Syiah di dunia Islam. Akan tetapi meskipun sudah satu halaman tatkala itu, kaum liberal dan evangelis Islam masih belum berciuman mulut.
Akan tetapi kali ini nampaknya lain. Sedar tanpa sedar bantahan kaum liberal itu tumpah dalam kalangan masyarakat bukan Islam pula, menyebabkan mereka ikut berasa khuatir. Juga, lama-kelamaan kaum evangelis Islam beroleh sekutu yang tidak disangka-sangka.
Sebenarnya apa yang dialami oleh evangelis Islam hari ini adalah petaka daripada perbuatan mereka sendiri yang menafikan hak belahan umat Islam yang lain. Kali ini, mereka mendapat bahana daripada apa yang mereka sendiri terokai. Ia padan sekali dengan muka mereka yang pongah itu.
Kaum Islam liberal tidak melihat itu, mereka berasa pandai dan menyerukan sekularisme di mana harapan mereka adalah tiada langsung tafsiran Islam yang mengikat. Impian kaum liberal adalah Islam tidak diinstitusikan dan dengan itu masing-masing umat boleh memilih jalan sendiri. Itu mimpi basah tentunya. Tetapi mustahil akan berlaku. Di situlah nampaknya muara kemustahilan pertemuan kaum evangelis Islam dan liberal ini.
Persenyawaan yang tidak disangka-sangka ini barangkali melahirkan satu produk baharu. Ini kerana kaum evangelis Islam ibarat makhluk yang boleh bermetamorfosis menjadi bermacam-macam. Dalam sejarah kewujudan mereka, kaum evangelis Islam ini boleh mengadaptasi aneka nama. Mereka malah merampas terma-terma murni tertentu lantas dimilikkan. Istilah salafi, reformis, dan kaum muda yang pernah asal suci semuanya sempat ditapau.
Adalah menarik jika dua puak daripada kutub yang berseberangan ini, yakni satu yang ekstrem sempit, dan satu lagi yang ekstrem longgar bertemu bergomol dan beroleh anak. Bentuk keluaran itu pasti langka.
Perbahasan dan wacana mengenai RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 menjadi trivia, dan kini tidak lagi penting. Masing-masing puak datang dengan agenda sendiri. Kerana kehendak nafsu-nafsi itu kini, ada yang sudah berani membelakangkan bahagian paling penting daripada akidah Islam iaitu agar kembali sepenuhnya kepada Allah dan Rasul-Nya.
Alangkah dukacitanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.