`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, October 10, 2024

Kesabaran seorang lelaki bernama Fatah

 

faisal tehrani

Saya tidak dapat membayangkan kesabaran dan kehebatan seorang lelaki bernama Fatah. Saya percaya rakan-rakan di Indonesia akan bersetuju dengan saya. Beliau seorang lelaki Muslim hebat dan berwibawa. Justeru, saya berpandangan tidaklah menghairankan ketulusan, ketenangan dan kepimpinannya menggiurkan ramai, sehingga bukan sedikit yang sanggup merebahkan diri di hadapannya tanpa segan silu.

Meskipun berperanan tidak lama, hanya sekitar tiga tahun, tetapi pengaruhnya amat mendasar dan membekas sehingga ramai beroleh manfaat dari kejujuran dan juga mata sayu dan wajah teduhnya itu.

Terdapat banyak pelajaran yang dapat diambil dari kisah Fatah ini. Saya ingin menghujahkan, umat Islam di negara kita boleh menuai ketelitian Fatah, dan tentu, kesabarannya yang tiada tolok banding.

Sejak masih muda, Fatah beroleh pendidikan mantap. Dua dekad di Adipati Palembang, beliau bersama-sama teman-temannya seperti Raden Paku (Sunan Giri), Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang), dan Raden Kosim (Sunan Drajat) telah menekuni ilmu agama. Setelah beroleh ‘ijazah’, Fatah menjadi ulama dan bermukim di Bintara. Sehingga akhirnya pada tahun 1518, Fatah atau Raden Fatah menjadikan Demak sebuah pusat penyebaran Islam di Jawa.

Yang saya maksudkan dengan kesabaran seorang lelaki bernama Fatah ini ialah ketabahan dan kegigihan beliau menerapkan dakwah Islam penuh sifat toleransi kepada umatnya.

Umum mengetahui betapa sulitnya Islam menembusi tanah Jawa lantaran mengukuhnya agama tradisi yang bercampur baur dengan kepercayaan Hindu-Buddha. Pun, berkat kebolehan Fatah, kerajaan Demak akhirnya menjadi kerajaan Islam pertama di Pulau Jawa yang didirikan pada 1478.

Angkatan perang Demak dibentuk bukan sahaja sebagai penjaga di perbatasan, tetapi juga berperanan menyebarkan cita-cita agama yang awalnya telah diterokai oleh Walisongo. Semua itu malah dilakukan sambil berjuang menentang kuasa Barat, iaitu Portugis. Bersama-sama anaknya, Adipati Unus (Pangeran Sabrang Lor) mereka menggempur pusat ‘Benggali Putih’ itu di Melaka. Meskipun banyak kali tumpas, mereka tetap tabah dan kekal menyondol, lantas menggasak menyusun rancangan untuk mengalahkan Portugis.

Pemposisian Fatah oleh Walisongo sebagai pemuka dan Sultan di Glagahwangi Bintari Demak sekitar tahun 1468 sebenarnya dilakukan secara penuh strategi. Ini dilicinkan oleh fakta Sultan Fatah seangkatan usia dengan Sunan Bonang, Sunan Giri, Sunan Kudus, dan Sunan Kalijaga, iaitu antara wali sembilan yang mengislamkan Jawa ini.

Apa yang kita di alam Melayu harus renungi dan insafi adalah di bawah pemerintahan dan kepimpinan Fatah, Islam yang disemai adalah Islam toleran yang tidak terburu-buru menghukum dan menolak unsur Hindu, Buddha, Animisme, dan lain-lain.

Ada banyak naratif lampau yang menggambarkan Raden Fatah seorang yang kacak dan segak. Riak matanya sayu, dia tidak menyombong dan meskipun penuh semangat dan perisai keperwiraan; tidak pun perlu berpengawal ke sana ke mari agar membolehkan beliau didekati. Ketampanan Fatah, barangkali datangnya daripada ibunya, isteri Prabu Brawijaya V, seorang wanita berketurunan Cina dihadiahkan kepada Ario Damar sebagai Adipati Palembang.

Di bawah Fatah, Demak bukan sahaja menjadi pusat keislaman tanah Jawa, tetapi turut berkembang sebagai bandar niaga Islam, setanding Jepara, Tuban, dan Gresik, yang mana bandar-bandar dagang ini masih berada di bawah pengaruh Majapahit. Demak, bagaimanapun unik sekali kerana di bawah Fatah ia kini bukanlah lagi sekadar sebuah desa dengan Islam yang tumbuh subur. Bahkan Islam itu adalah Islam yang urban sifatnya, atau madani.

Dalam erti kata lain, pembawaan Fatah itu adalah pembawaan Islam Madani yang membolehkan Demak maju lantas memiliki pelabuhan besar yang menjadi markas dan trafik macet buat pelaut, dan pedagang. Demak justeru berjaya bukan sahaja kerana kecerdasan kepimpinan, tetapi kerana kepintaran ekonominya Fatah.

Antara kejayaan besar diterokai Fatah tentulah menanam Islam yang hari ini difahami sebagai Islam penuh empati, berbudaya, dan sarat komunikasi multikultural. Bagi Fatah, Islam yang mendepani dan dibangunkan dari asas multikultural ini adalah Islam yang akan menjadi jambatan yang menghubungkan dua tebing iaitu dapat mempertaut aneka kaum, budaya dan aras kemajuan sosio-ekonomi yang kemudiannya menggoda ramai yang lain di Kepulauan Melayu untuk mendakap agama Islam.

Jika Fatah mengamalkan ‘Islam hukum-hakam’, atau pendekatan halal haram tanpa perenungan maqasid syariah, dan menginstitusikan agama Islam dengan harapan ia boleh menjadi satu mekanisme mengawal cara berfikir umat, saya tidak fikir Jawa dapat diIslamkan.

Islam yang dipupuk Fatah, seorang pemimpin dan ulama itu adalah Islam yang sufistik, meraikan Ahlul Bait Rasulullah, dan antikekerasan serta keesktreman. Untuk Fatah akhlak baik itu penting ditegakkan; beliau mengajarkan umat Jawa untuk mematuhi perjanjian, tidak mengherdik dan menfitnah, muak dengan keronggengangan (mungkin hari ini dinamai sebagai budaya clubbing), berkasih sayang, akur kepada takdir, mementingkan famili, menjaga hubungan, rahmah, tegas dan tidak mengalah memujuk kepada yang mungkar, lantas menjadikan peribadi Fatah sangat raya, atau gah.

Sesuai dengan persahabatannya dengan para Walisongo, dalam tempoh singkat pemerintahannya, Fatah mendirikan Masjid Agung Demak sebagai pusat siasah. Tidak hairan jika pengikut, peminat dan rakyatnya mudah untuk menemui beliau, iaitu di rumah ibadat tersebut. Raden Fatah ikut memperkenalkan ‘Solakantara’ semacam satu konstitusi atau Undang-undang Kerajaan.

Dalam rekod sejarah, Fatah dikenali tidak berkeras dengan penganut agama lain. Bahkan, seni bina Masjid Demak itu sangat halus berseni, diperbuat dari Soko Tatal, atau himpunan serpihan kecil dari sisa kayu yang digergaji atau bekas pahatan. Seni bina Masjid Demak memperlihatkan akulturasi kebudayaan Hindu dengan kebudayaan Islam yang sehingga hari ini demikian melongokan.

Di laman masjid, Sultan Fatah menyediakan gelanggang untuk memainkan gamelan, pentas wayang kulit, bersilihkan cerita-ceriti Sunan Kalijaga menyampaikan ajaran-ajaran Islam bersulamkan seni. Pokoknya Islam Raden Fatah jauh bezanya dari Islam gaya Kelantan yang memusuhi seni budaya. Sebaliknya, Fatah memanfaatkan seni budaya untuk perkembangan Islam. Jarang-jarang dalam sejarah ‘Bani Qaturah Melayu’ ini beroleh seorang Fatah yang juga sultan, saudagar, pahlawan, dan agamawan.

Apabila kita menilai kembali sosok agung bernama Fatah itu kita memahami mengapa Demak berhasil menjadi sebuah negeri yang utuh dan kekal mempertahankan warisan. Kesabaran penguasa seperti Fatah ini mengajak umatnya kepada agama secara beransur-ansur amat penting.

Hari ini susah kita mencari lelaki atau pemimpin sepersis Fatah yang cekal, bertahan demi cinta kepada agama, berakhlak nirmala, dan memiliki wewenang sedemikian ulung. Moga-moga para agamawan, bangsawan, cendekiawan dan pemimpin negara kita dapat mencontohi selembar dari sejarah yang gemilang ini. Ada banyak pelajaran dapat dipelajari daripada seorang Fatah, yakni Raden Fatah.  - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.