`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, October 17, 2024

Nak GST sekali lagi tak?

 

Mohsin Abdullah

Saya tak pandai pasal ekonomi, kewangan, perbankan, juga soal cukai. Tetapi saya tahu cukai perlu dikutip pemerintah untuk membangunkan negara. Ertinya cukai untuk kebaikan. Namun saya tetap tak suka cukai walau apa pun jenisnya. Saya tak suka sesuatu yang saya kena bayar dan cukai adalah antara yang saya kena bayar.

Selain cukai pendapatan yang lazim dipanggil ‘income tax’, yang saya tak suka ialah cukai barang dan perkhidmatan. Goods and services tax. Kalau saya sebut GST pasti semua akan ingat serta-merta. Ramai yang seperti saya tidak gemar malah benci GST. Bagi kami si pembenci GST cukai itu menyusahkan dan membebankan.

Lalu GST adalah antara sebab BN tumbang pada 2018. Satu lagi sebab utama ialah skandal 1MDB. Betul tak?

GST berkuat kuasa mulai 1 April 2015 dan menurut Wikipedia penguatkuasaannya bertujuan ‘mentransformasikan sistem percukaian negara dan merangsang ekonomi yang semakin membangun untuk mencapai status negara maju’.

Bagaimanapun, bagi marhaen dengan adanya GST banyak barangan dibeli dan perkhidmatan yang diperlukan terkait secara langsung dengan caj tambahan. Lalu jangan dinafikan GST yang tidak digemari ramai memberi kesan ketara terhadap keputusan PRU14.

Bukanlah sesuatu yang aneh dan pelik kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad memansuhkan GST setelah menang PRU14. Memansuhkan sesuatu yang dibenci rakyat. Adakah ia langkah populis? Apa pun pendapat yang mengatakan GST adalah baik tidak kedengaran waktu itu. Mungkin tidak disuarakan. Kalau disuarakan pun mungkin ditenggelami dengan gelombang anti-GST.

Baru-baru ini timbul pandangan bahawa sekarang masa sesuai untuk GST dikembalikan bagi memenuhi kantung kerajaan. Menurut yang mengutarakan pendapat sedemikian, ekonomi stabil sekarang dan jangkaan pertubuhan positif untuk tahun depan adalah sebab GST perlu kembali dan Belanjawan 2025 boleh menjadi pentas mengorak langkah.

Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry antara yang mahu lihat GST kembali. Satu lagi badan ialah Socio-Economic Research Centre Malaysia. Seorang pakar ekonomi yang enggan namanya disiarkan beritahu saya GST perlu untuk meningkatkan pendapatan kerajaan dengan cepat.

Ini cara efektif dan sudah dilakukan oleh lebih 100 negara. Dengan pendapatan tinggi kerajaan boleh belanjakan lebih banyak wang untuk golongan miskin, pembangunan luar bandar, membantu golongan miskin bandar, biayai program kesihatan dan pelajaran, dan juga bayar hutang negara yang sudah mencecah RM1.5 trillion,
 katanya.

Pun begitu ada yang berlainan pendapat. Antaranya pakar ekonomi Geoffrey Williams yang dipetik FMT berkata, GST tidak sesuai dalam keadaan ekonomi sekarang. Kata beliau GST sistem cukai yang regresif kerana ia membebankan golongan pendapatan rendah yang membelanjakan sebahagian besar pendapatan ke atas barangan dan perkhidmatan dicukai.

Williams memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana menunjukkan ‘restrain’ berikutan gesaan pelbagai pihak supaya memperkenalkan semula GST. Anwar tempoh hari mengakui ada baiknya GST tetapi pada masa sama percaya golongan miskin tidak seharusnya dibebani dengan sistem cukai sedemikian.

Saya setuju GST adalah sistem cukai yang paling telus dan cekap… tetapi pandangan saya adalah beri sedikit masa beberapa tahun, kita mesti pastikan ambang gaji meningkat kepada minimum RM3,000-RM4,000 kemudian barulah kita boleh selaraskan dasar,
 katanya dipetik media.

Kata pakar ekonomi yang disebut tadi mengapa tangguh kerana ia boleh dilaksanakan selari dengan apa yang kerajaan mahu lakukan iaitu tingkatkan gaji minimum, lawan rasuah, dan cegah ketirisan.

Bagi penulis berpengalaman, P Gunasegaram, apa dikata Anwar menunjukkan beliau tidak faham GST atau tangannya terikat. Apa pendapat anda? Tidak faham atau tangan terikat?

Pada hemat saya berdasarkan kata-kata Anwar, GST tidak akan diperkenalkan semula — not anytime soon. Telus, cekap, dan bagus macam mana pun sistem cukai itu, Anwar sudah lihat bagaimana GST menumbangkan kerajaan Najib Razak dulu.

Kesimpulan kisah ialah soal politik dan menang pilihan raya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.