Bersatu terutama Presidennya Muhyiddin Yassin sebenarnya terhutang jawatan naib presiden kepada Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali sebagai Peja dalam pemilihan parti tu bulan depan. Malah, lebih daripada sekadar memastikan Peja terpilih mengisi antara tiga jawatan naib presiden yang dipertandingkan, beliau selayaknya mendapat undi tertinggi.
Bukan mudah untuk seorang yang menjadi antara pengasas parti Bersatu bersetuju untuk diturunkan pangkat tetapi Peja – bekas menteri dan bekas menteri besar — akur kepada apa yang dipanggil pelan damai atau pelan kompromi demi mendahulukan parti daripada kedudukan peribadi.
Beliau juga dilaporkan mengiktiraf sumbangan Hamzah Zainudin sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) dan ketua pembangkang di Parlimen sebagai pemimpin yang lebih layak mengisi jawatan nombor dua dalam parti.
Selepas melakukan pengorbanan seperti itu, satu-satunya cara untuk Bersatu membalas kesetiaannya ialah meletakkan beliau yang paling kanan antara tiga naib presiden bagi penggal berikut ini. Tapi persoalannya apakah itu yang akan berlaku?
Pada Konvensyen Bersatu 13 Julai lalu, Muhyiddin mengumumkan Hamzah dicadangkan memegang jawatan timbalan presiden manakala Azmin Ali menggantikan Hamzah selaku setiausaha agung menerusi ‘pelan kompromi’ bagi mengelakkan pertembungan jawatan tertinggi – sebelumnya ada spekulasi akan berlaku perebutan antara Peja, Hamzah dan Azmin bagi jawatan nombor dua itu.
Mengikut rundingan, Peja akan berundur setapak untuk bertanding naib presiden bersama dua penyandang, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dalam mengelakkan pertandingan bagi lima jawatan utama seperti mandat diberikan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada Muhyiddin untuk diikhtiarkannya.
Itu bagaimanapun hanya perancangan atas kertas bagi menggambarkan semuanya berjalan dengan harmoni tapi realiti mungkin sebaliknya. Susulan pengumuman itu, ada ahli MPT dan ketua bahagian Bersatu dilaporkan tidak senang dengan cadangan untuk mengelak pertembungan jawatan tertinggi.
Antara mereka, ada yang mendakwa pelan damai itu hanya bertujuan untuk selamatkan ‘anak emas’ dengan mengandaikan Peja dan Radzi akan dapat manfaat besar kerana tidak perlu bersusah-payah memenangi jawatan naib presiden.
Menyanggah pandangan sedemikian, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa tiada ‘pemberontakan’ terhadap pelan kompromi itu — hampir 10 ketua Bersatu negeri didakwanya menyokong rancangan tersebut.
katanya kepada FMT 24 Julai lalu.Sekalipun ada tak setuju, namun apabila majoriti setuju dan keputusan sudah dibuat, maka mereka kena ikut atas semangat mempertahankan kesatuan parti,
Pengumuman Jawatankuasa Pemilihan Bersatu pada 4 Okt menunjukkan pelan damai itu hampir mencapai matlamat sepenuhnya apabila Muhyiddin dan Hamzah disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu dan dua.
Bagaimanapun, selain Peja, Kiandee dan Radzi, tiga calon lain — Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin – turut serta dalam perebutan tiga kerusi naib presiden.
Menepis tanggapan dirinya melanggar arahan parti dan pelan kompromi yang diatur, Rafiq berkata tujuannya hanya ingin menyuburkan proses demokrasi dalam parti di samping menganggap pelan damai Muhyiddin cuma satu cadangan dan bukan berbentuk arahan – satu pandangan yang selari dengan Kiandee selepas pengumuman pelan itu Julai lalu.
Ada juga sesetengah yang mengandaikan Rafiq tampil sebagai proksi Azmin yang jadi ketuanya di Selangor – pemilihan bulan depan didakwa akan menjadi perang proksi antara Hamzah dan Azmin untuk mengembangkan pengaruh mereka dalam parti.
Sebelum ini, Ketua Bersatu Pahang Saifuddin Abdullah turut diuar-uarkan akan ikut serta bertanding naib presiden tapi namanya tiada dalam pencalonan, khabarnya kerana akur dengan hasrat Muhyiddin.
Terbaru, pendedahan Wan Fayhsal semalam mendakwa bahawa Muhyiddin amat sedih dan kecewa dengan pemimpin yang melanggar pelan komprominya membayangkan penentangan terbuka terhadap presiden Bersatu itu.
Tidak sekadar itu, Naib Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan dua jawatan tertinggi parti sebenarnya dibuka untuk direbut pada pemilihan, malah telah ada pencabar menawarkan diri bagi menggantikan Muhyiddin.
katanya.Presiden menang tanpa bertanding tetapi awalnya ada orang nak cabar tapi tak lepas kelayakan (ikut perlembagaan), begitu juga jawatan timbalan menang tanpa bertanding,
Berlatarbelakangkan kekalahan calon Bersatu dalam PRK Nenggiri dan Mahkota, tentunya perkembangan ini bukan diingini oleh Muhyiddin yang berharap barisan kepimpinan partinya selepas pemilihan awal bulan depan dapat meningkatkan sokongan menuju ke PRU16.
Tapi sebelum itu, Muhyiddin perlu membantu Peja – sebelumnya menafikan wujud tekanan dan arahan dari dalam untuknya menyerahkan jawatan timbalan presiden melainkan untuk memantapkan parti –agar pengorbanannya dibalas dengan jawatan naib presiden paling kanan atau apa saja pelan damai atau kompromi akan diingati sebagai pelan yang huru-hara. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.