`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 14, 2024

Pindaan Ordinan Buruh Sabah dilulus selepas 20 tahun

 

DEWAN RAKYAT
Usul pindaan OBS dibahaskan di Dewan Rakyat oleh 10 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebelum diluluskan dengan suara majoriti. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (OBS) (Pindaan) 2024, selepas dipinda buat kali pertama dan terakhir pada 2005.

RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas bacaan kali kedua oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim, dengan usul pindaan itu dibahaskan oleh 10 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Semasa sesi penggulungan, Sim berkata, pindaan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja di Semenanjung Malaysia dan 2.06 juta pekerja Sabah adalah setara serta selari dengan standard perburuhan antarabangsa.

Menurutnya, OBS memberikan perlindungan asas kepada pekerja, khususnya yang tidak berkesatuan dan kurang berkeupayaan untuk berunding dengan majikan, bagi mendapatkan terma dan syarat pekerjaan lebih baik.

Antara perkara utama dalam pindaan itu termasuk waktu bekerja yang dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, peruntukan baharu tentang aturan kerja anjal, peruntukan aduan buruh paksa, penambahan bab baharu 11B tentang gangguan seksual, serta yang berkaitan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja.

Selain itu, tempoh cuti bersalin di Sabah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, manakala cuti paterniti, yang tidak diperuntukkan bawah Ordinan itu sebelum ini, kini diberikan kepada golongan bapa sebanyak tujuh hari.

“Kementerian ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli-ahli Parlimen yang turut serta dalam perbahasan serta menyokong pindaan yang amat penting dan bersejarah ini,” katanya pada sidang media selepas itu,

Menurut Sim, RUU itu dijangka dibentang di Dewan Negara pada awal Disember ini.

OBS hanya dipinda sekali sahaja, iaitu pada 2005, bagi menyelaraskannya dengan peruntukan bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265) berbanding Akta 265 yang telah dipinda 12 kali, termasuk pindaan terkini pada 2022.

Sidang Dewan Rakyat bersambung esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.