`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, October 17, 2024

Talian hayat Sanusi

 

hishamuddin-aun

Arkib bola sepak mencatatkan Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah terpaksa berjalan sejauh 2km pada usia menghampiri 80 tahun disebabkan kesesakan lalu lintas untuk menonton perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perlis di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 30 Jun 2007.

Selaku peminat nombor satu pasukan bola sepak Hijau Kuning, Almarhum yang berjalan kaki kira-kira 45 minit untuk ke stadium, diingati banyak meniupkan semangat kepada Kedah memburu kegemilangan ketika ia tampil selaku antara kuasa besar saingan domestik pada era berkenaan.

Pada 19 Sept lalu pula, kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sony Norde, 35, dilaporkan berjalan 6km dalam hujan untuk ke tempat latihan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Alor Setar, kerana ketiadaan wang gara-gara masalah tunggakan gaji.

Bukan saja kedua-dua keadaan berkenaan jauh berbeza, malah ia turut mengisahkan sejauh mana bola sepak Kedah telah jatuh merudum dalam tempoh 17 tahun itu. Tidak sekadar menang final Piala FA 2007 menerusi sepakan penalti 4-2, skuad Hijau Kuning ketika itu turut ditabalkan juara Liga Super dan Piala Malaysia untuk melengkapkan gelaran ‘treble’ — tiga kejuaraan semusim.

“Anda boleh lihat sendiri saya datang ke padang latihan hari ini dengan berjalan kerana kekurangan duit untuk mengisi petrol kereta saya dan saya akan pulang ke rumah juga dengan cara yang sama walaupun dalam hujan.

Semua sudah tahu isu tunggakan gaji ini begitu perit untuk saya lalui sejak berbulan-bulan lalu dan kini saya masih berkorban untuk kembali hadir dan berlatih bersama pasukan bagi meneruskan perjuangan pasukan dalam saingan Liga Super,
 kata Norde seperti dilapor Berita Harian.

Boleh dibayangkan bukan dia seorang yang mengalami jerih-perih sedemikian. Rakan sepasukannya juga tidak terhindar. Keperluan berhutang untuk meneruskan hidup dan mengikat perut bukan lagi bahan gurauan.

Sedih tapi benar. Namun, keadaan itu tidak hanya terbatas kepada KDA FC yang boleh dipersalahkan kepada kelemahan pengurusan jika ia satu-satunya pasukan yang dibebani masalah kewangan. Sebaliknya, beberapa lagi pasukan besar — Sri Pahang FC, Sabah FC dan Kuala Lumpur City (KLC) FC tidak terkecuali — turut mengalami masalah serupa.

Seorang ketua jurulatih — merayu identitinya tidak didedahkan tapi bukan bersama Kedah — berkongsi bagaimana dia terpaksa mendahulukan wang simpanan sendiri untuk melepaskan sesak beberapa pemain demi mengelakkan kemerosotan prestasi pasukan daripada berlarutan.

Jika tidak dibantu, katanya, pemain tawar hati untuk bermain pada ketika tunggakan gaji mereka sudah meningkat kepada empat bulan sedangkan janji pihak pengurusan untuk melunaskannya pula bertangguh-tangguh dari sebulan ke sebulan.

Gara-garanya prestasi pasukan merudum dan melurut pantas dalam carta liga sambil peminat menggunakan media sosial untuk melepaskan kemarahan dengan hanya ketua jurulatih jadi sasaran mereka.

Tidak ada pemain yang disalahkan, semuanya salah ketua jurulatih. Kalaulah peminat tahu ketua jurulatih juga berkorban. Bukan saja dia sendiri tiada gaji tapi duit simpanannya digunakan untuk bantu pemain-pemain yang sesak wang. Untuk apa? Semua ini untuk pasukan juga,
 keluhnya.

Dalam pada itu, masalah kewangan pasukan dalam liga menyogokkan gambaran lebih besar — ia bukan sangat berkisar kepada pasukan berbelanja membeli pemain melebihi kemampuan, sebaliknya betapa syarikat-syarikat besar semakin tawar hati untuk menghulurkan tajaan ketika saingan liga hanya didominasi sebuah pasukan.

Demi berlaku adil, ia bukan pun salah Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berkelebihan dalam segala-galanya — dana melimpah, pengurusan profesional, infrastruktur terbaik dan himpunan pemain dengan reputasi besar — untuk menghimpun sejumlah 28 trofi sejak 2014, cuma pasukan lain yang gagal untuk merapatkan jurang keupayaan saban tahun.

Lantaran itu timbul persoalan kepada bakal penaja apakah pulangan kepada pelaburan (ROI) yang boleh diharapkan mereka daripada pasukan yang hanya berebut kedudukan naib juara dalam semua pertandingan domestik?

Sesetengah pasukan pula lebih bertuah kerana mendapat suntikan dana daripada kerajaan negeri atau agensi bawahnya tetapi dalam era profesional dengan kelab-kelab perlu berdikari kerana tidak lagi bertanding atas nama pasukan negeri, bantuan diharapkan juga makin berkurangan.

Berbalik kepada KDA FC, pasukan Helang Merah itu boleh dikira masih bernasib baik untuk terus bersaing — selepas dua kali diboikot pemain-pemain senior dan dikatakan pemiliknya Mohd Daud Bakar hanya mampu bertahan dua bulan pada 19 Mei lalu kerana ketiadaan penaja utama.

Selepas berselang lima bulan, KDA FC masih bertahan dengan gaji yang tidak berbayar sehingga menyaksikan pemain memulaukan latihan menjelang perlawanan dengan KLC FC di tempat lawan pada 14 Sept dan sekali lagi sebelum berdepan Terengganu FC di Alor Setar, Sabtu ini.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain, terpaksa menurunkan pemain muda yang baru sahaja menjalani latihan selepas tamat Sukan Malaysia (Sukma) untuk berdepan skuad ibu kota itu yang menyaksikan mereka dibelasah 5-0. Ia masih tunggu dan lihat apakah mereka akan mengulangi langkah serupa ketika menerima kunjungan Terengganu FC.

Dalam keadaan KDA FC sedang kelemasan, pengumuman Menteri Besar Sanusi Nor kelmarin bahawa kerajaan negeri sedia menimbangkan untuk membantu pasukan itu yang disalurkan melalui Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) harus sesuatu yang melegakan dan dinantikan sebagai talian hayat.

KFA akan bantu tapi kami tidak boleh berurusan secara terus dengan sebuah syarikat yang mengurus KDA FC. Kita akan lihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu. Mereka perlu lebih dahulu berhubung dengan KFA,
 kata Sanusi yang juga presiden persatuan itu.

Mengakui kerap menemui Daud sejak dua atau tiga bulan lalu selain bersimpati dengan masalah kewangan kelab, Sanusi belum memberi sebarang komitmen tetapi bantuan menteri besar boleh diyakini agar KDA FC tidak terus tenggelam punca baik di dalam atau luar padang.

Dengan dua bekas pemain — Radhi Mat Din dan Baddrol Bakhtiar diangkatnya sebagai calon dan menang dalam PRN Ogos 2023 — kerajaan negeri memiliki lebih sebab untuk KDA FC dapat diselamatkan.

Dengan aksi liga yang baru memasuki pusingan kedua minggu ini, bantuan dana harus dorongan terbaik untuk skuad Helang Merah meningkat dari kedudukan ke-11 — ketiga terbawah dalam kalangan 13 pasukan — berbanding kegemilangan silam pada 2007 lalu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.