`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 24, 2025

Guru agama mesti jalani latihan perlindungan kanak-kanak, kata aktivis

 

Free Malaysia Today
Jenayah seksual melibatkan agamawan semakin meningkat, menurut polis. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA
Seorang aktivis menggesa guru agama diberi latihan mengenai langkah-langkah perlindungan kanak-kanak, susulan laporan mengatakan kes jenayah seksual membabitkan tokoh agama semakin meningkat.

Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin, menyoal mengapa agamawan dikecualikan daripada latihan sedemikian.

“Sesiapa sahaja yang berhubung dengan kanak-kanak mesti dididik tentang hak dan perlindungan kanak-kanak,” katanya kepada FMT.


Beliau juga mencadangkan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) Kementerian Pendidikan diajar di sekolah agama, dan guru mereka diberi latihan yang sewajarnya supaya mereka menyampaikan maklumat yang betul kepada murid.

Awal bulan ini, Kosmo memetik Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan, sebagai berkata jenayah seksual melibatkan guru agama dan pendakwah selebriti semakin meningkat.

Siti Kamsiah dilapor berkata penjenayah ini sering menggunakan status mereka untuk mendapatkan kepercayaan mangsa sebelum melakukan pengantunan.

Turut dilaporkan, ramai mangsa yang memuja agamawan terbabit dan teragak-agak untuk tampil kerana takut akan tindakan balas, termasuk kehilangan sokongan kewangan daripada pelaku.

Hartini Zainudin
Hartini Zainudin.

Hartini bimbang melihat trend ini, mengatakan ramai yang bersekolah di sekolah agama dan tinggal di rumah kebajikan daripada segmen masyarakat yang rentan, termasuk keluarga miskin dan anak yatim.

Beliau menyeru kesedaran masyarakat berhubung perkara ini ditingkatkan, dan ibu bapa siasat latar belakang guru dan kakitangan sekolah agama sebelum menghantar anak kepada mereka.

Kegagalan sistematik

Hartini berkata, isu yang lebih luas berkisar tentang keperluan pengawalan dan pengawasan yang lebih kukuh ke atas sekolah agama, termasuk pendaftaran wajib dan pemeriksaan berkala.

“Mereka satu-satunya jenis sekolah yang tidak dipantau oleh institusi persekutuan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa negeri masing-masing,” katanya, sambil menambah bahawa kekurangan pengawasan membawa kepada ‘kegagalan sistematik’.

Sementara itu, kumpulan hak wanita, Sisters in Islam (SIS), berkata struktur-struktur dalam institusi pendidikan agama terutama yang tidak formal mesti dikaji untuk memastikan semak dan imbang yang lebih baik.

“Adakah institusi agama melaksanakan pengawasan yang ketat dan memastikan kebertanggungjawaban berhubung salah laku seksual?

“Adakah mereka menjalankan pemeriksaan latar belakang yang menyeluruh dan proses tapisan sebelum memberikan jawatan kepada seseorang?” katanya.

Trend ‘sangat membimbangkan’

SIS kata trend yang ditonjolkan oleh Siti Kamsiah ‘sangat membimbangkan’, terutama apabila masyarakat memberikan kepercayaan penuh kepada agamawan. Ini mewujudkan persekitaran di mana ketidakadilan boleh berkembang dalam senyap.

Ia berkata tinjauan 2022 yang dijalankan bersama dengan Merdeka Center mendedahkan bahawa 87% belia beragama Islam percaya agama adalah penanda paling penting bagi identiti mereka.

Tinjauan itu juga mendapati 72% responden bersetuju bahawa “umat Islam sejati” harus ikut kata-kata pemimpin agama atau ulama dan mematuhinya tanpa soal.

“Ini menyerlahkan bahawa agamawan sangat berpengaruh dalam membentuk pemikiran masyarakat, terutama minda belia, dan masyarakat sering memuja agamawan,” kata SIS.

SIS berkata, untuk mengubah naratif ini, semua pesalah termasuk agamawan perlu dipertanggungjawabkan. Ia menegaskan bahawa menghukum pelaku jenayah bukan menyerang agama, sebaliknya sejajar prinsip keadilan dan kesaksamaan Islam.

Perlindungan mangsa

Hartini menyeru penumpuan pada mewujudkan tatacara operasi standard bagi pelaporan, dan cara terbaik melindungi mangsa. Beliau menegaskan langkah-langkah melindungi mangsa harus sentiasa diutamakan.

“Henti salahkan mangsa. Kita mesti cipta ruang di mana mangsa yang terselamat dipercayai, suara mereka disampaikan, dan pengalaman mereka diingati,” kata SIS. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.