`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, January 11, 2025

Ini bukan pasal adendum

 

Mohsin Abdullah

Biar saya lengkapkan tajuk artikel ini. Ini bukan pasal adendum berkait bekas perdana menteri Najib Razak. Ini mengenai soal tahanan rumah.

‘There is no such thing as house arrest in Malaysia’. Sehingga kini banduan di negara ini tidak boleh memohon untuk tahanan di rumah kerana tiada peruntukan mengenainya dalam sistem perundangan Malaysia.

Akta Penjara 1995 tidak menyatakan sebarang peruntukan khusus bagi tahanan rumah. Akta ini berfungsi untuk menyediakan angka kerja bagi tadbir urus penjara termasuk pemeliharaan keselamatan dan kesejahteraan tahanan serta pemulihan mereka ke pangkuan masyarakat.

Bagaimanapun di bahagian 2 akta berkenaan di bawah tajuk ‘Penubuhan dan Pentadbiran’ ada seksyen 3 berhubung ‘kuasa mengisytiharkan penjara’ dan menurut seksyen itu :

“Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam warta,mengisytiharkan mana mana rumah, bangunan,kepungan atau tempat atau mana mana bahagiannya, sebagai suatu penjara bagi maksud akta ini bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah dan oleh dengan cara yang sama mengisytiharkan bahawa mana mana penjara sedemikian hendaklah terhenti sebagai suatu penjara bagi maksud akta ini.”

‘That’s the closest it gets to house arrest’. Saya bukan pakar perundangan dan adalah tidak wajar buat interpretasi. Cuma yang saya pasti ialah ‘menteri’ yang disebut merujuk menteri dalam negeri.

Saya mengimbau artikel saya tulis untuk portal ini bertarikh 20 Okt 2024 yang diberi tajuk ‘Al kisah peluang kedua dan tahanan rumah’. Mengapa ulang siar? Kerana masih relevan memandang perkembangan masa kini.

Menerusi artikel itu saya sependapat dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim daripada PKR yang hairan dan pelik soal tahanan di rumah ada dalam ucapan Belanjawan 2025 disampaikan pada Jumaat terdahulunya oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku menteri kewangan.

Ucapan belanjawan lazim dan seharusnya menumpu soal ekonomi dan kewangan bukan soal reformasi undang undang atau urusan penjara. Bagaimanapun untuk berlaku adil perlu dinyatakan hanya satu perenggan mengenai tahanan rumah. Selainnya yakni tumpuan meluas diberi terhadap ekonomi dan kewangan.

Bagaimanapun, ia tetap menimbulkan kebimbangan ramai. Bertanya Hassan seperti ditulis dalam artikel saya sama ada ia persiapan awal untuk membina persetujuan awam untuk meminda undang undang bagi meringan hukuman golongan elit tertentu? Dan adakah ia meliputi orang yang sabit kesalahan rasuah dan pecah amanah?

Artikel saya itu turut memetik laporan Bernama berhubung kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bahawa undang-undang baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah akan dibentang di Parlimen pada 2025.

Dan menurut teks ucapan Anwar disebut tadi, tahanan di rumah bagi hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu. Beliau bagaimanapun tidak membaca bahagian itu semasa menyampaikan ucapan belanjawannya.

Saya menulis lagi mengenai isu ini dua hari kemudian yakni 22 Okt 2024. Kali ini Saifuddin dilapor berkata rang undang-undang tahanan rumah antara lain meliputi pesalah kali pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas dan orang kurang upaya juga mereka yang melakukan kesalahan kerana terhimpit kemiskinan. Contoh ibu tunggal curi susu untuk beri kepada anak kelaparan.

Namun, golongan tidak senang akan undang-undang itu tetap tidak senang. Mereka gusar dan bimbang jika yang mendapat ‘manfaat’ golongan elit yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa.

Oktober lalu, saya petik Hassan menyuarakan harapan agar perdana menteri tidak meneruskan ‘agenda yang regresif seperti ini’. Saya percaya Hassan tidak mengubah kata-kata itu.

Menerusi artikel 22 Okt 2024 saya juga bertanya adakah pesalah yang menikmati ‘house arrest’ bebas bergaul dengan sanak saudara dan penghuni jika ditahan di rumah sendiri?

Saya tulis juga kenyataan Saifuddin yang memberitahu bahawa tahanan rumah akan di kawal pegawai penjara. Ada kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu yang layak dipertimbangkan untuk tahanan rumah.

Lalu saya tuju pertanyaan cukupkah pegawai penjara untuk menjaga tahanan rumah? Jika seorang pegawai ditugaskan menjaga seorang pesalah ertinya 20,000 pegawai diperlukan.

Tetapi tidak adil bahkan mustahil untuk seorang pegawai ditugaskan sepanjang hari. Lantas diperlukan dua orang pegawai untuk bertugas sehari. Seorang untuk pagi seorang malam.

Bermakna 40,000 pegawai diperlukan. Dan mereka terpaksa berulang alik ke rumah tahanan di setiap pelosok negara.

Menurut laporan Harian Metro bertarikh 3 Jan 2023, Saifuddin diberitakan berkata kekuatan semasa Jabatan Penjara (sehingga waktu itu) ialah 14,000 di seluruh negara.

Saya masih bertanya soalan yang saya tanya tahun lalu kerana ia perlu ditanya. Sebenarnya banyak lagi yang mesti ditanya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.