
Manakah yang lebih memalukan?
Kejadian seorang pendakwah terkenal di Indonesia yang menghina seorang penjual teh jalanan dalam satu majlis ceramah sehingga videonya tular di media sosial pada November lalu atau seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipukul beramai-ramai di pasar tani Chukai, Kemaman, 17 Jan lalu?
Tidak berbeza bahawa kedua-dua kejadian menarik perhatian ramai, kedua-duanya juga sama-sama memalukan tanpa membeza-bezakan antara seorang kiyai yang patut lebih memuliakan orang lain mahupun peniaga atau pembeli di pasar tani yang harus bersifat lebih mengasihani seseorang yang mengalami tekanan mental.
Baik seorang pendakwah yang tinggi imannya mahupun peniaga atau pelanggan pasar tani yang tergolong antara yang memiliki wang untuk berbelanja, tiada siapa yang terlepas daripada sifat kemanusiaan yang dituntut antara satu sama lain.
Juga seorang penjual teh miskin atau seorang pemegang kad OKU mental tidak selayaknya dihina mahupun diaibkan hanya kerana status sosial dan taraf ekonomi kedua-duanya dilihat rendah pada kaca mata mereka yang berasa lebih tinggi darjat masing-masing.
Video memaparkan Miftah Maulana Habiburrahman atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah menghina seorang penjual teh ais bernama Sunhaji dengan mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ terhadap lelaki berkenaan tular hingga menimbulkan kecaman ramai di Indonesia.
Media republik itu melaporkan perkataan hinaan itu dikeluarkan pendakwah berkenaan ketika berceramah di Magelang, wilayah Jawa Tengah pada 20 Nov lalu.
Susulan insiden itu, Presiden Prabowo Subianto menegur serta mengingatkan pendakwah terbabit supaya jangan mudah menghina golongan bawahan. Bertanggungjawab atas keterlanjurannya itu, Gus Miftah pada 6 Dis meletakkan jawatan sebagai utusan khas presiden — satu kedudukan bertaraf menteri.
Pada 5 Dis lalu, Anwar menjadikan insiden membabitkan Gus Miftah itu sebagai menginsafkan dan memberi pengajaran berguna. Perdana menteri berkata insiden itu menjadi pengajaran besar, terutama kepada golongan berilmu serta yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat supaya bersikap lebih mulia dan tidak mudah menghina golongan bawahan.
Pandangan Anwar itu — supaya rakyat Malaysia mengambil pengajaran agar menjaga akhlak — juga mendapat liputan meluas di Indonesia.
“Di Indonesia, beberapa hari ini riuh rendah di media sosial seorang kiyai dalam dakwahnya menghina seorang penjual teh. Pendakwah dan rakan-rakannya ketawa. Saya lihat ramai yang menonton. Presiden Prabowo beri kenyataan agak keras. Akhirnya dia (pendakwah) berkunjung ke daerah penjaja berkenaan dan mohon maaf.
“Ini satu contoh bahawa keangkuhan, sombong itu bukan saja di kalangan orang yang tak tahu agama tapi orang yang faham agama, yang bicara tentang Islam, akidah dan solat tapi kadang-kadang boleh menghina,” katanya pada perhimpunan bersama kakitangan Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Pada Selasa pula, Anwar berharap kejadian lelaki OKU Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau Abang Paijang dipukul beberapa individu di pasar tani Padang Astaka Chukai dekat Kemaman, Jumaat lalu tidak berulang di samping menuntut rakyat mengambil pengajaran daripadanya.
Sebelum ini, tular di laman sosial sejumlah video memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret beberapa individu selepas lelaki OKU mental itu menunggang motosikal memasuki tapak jualan pasar tani berkenaan lalu terlanggar sebuah gerai hingga menyebabkan makanan jualan terjatuh.
Setakat ini enam lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Apa yang dikhuatiri oleh perdana menteri apabila berlaku kejadian itu adalah ia (seolah-olah) mencerminkan masyarakat kita. Pertamanya, kita hanya melihat orang kena pukul, kemudian yang lebih menyedihkan apabila OKU itu dipukul di khalayak. Jadi kita tak nak itu mencerminkan masyarakat kita.
“Tak sepatutnya berlaku perkara itu. Orang Melayu ini orang yang sabar, jadi apabila jadi macam itu ia menunjukkan bahawa ada masalah kepada masyarakat kita,” kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, selepas melawat mangsa di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Ia satu kemujuran kejadian itu tidak disensasikan di Indonesia. Semakan mendapati ia tiada dilaporkan dalam media republik itu kecuali beberapa komen rakyat negara itu yang ditinggalkan dalam TikTok. Jika dilaporkan dengan meluas sebagai tindak balas terhadap laporan membabitkan Gus Miftah, alangkah malu besarnya kita.
Sambil itu, perdebatan masih berterusan di media sosial khususnya di TikTok, dengan ada yang tampil menolak tanggapan perbuatan segelintir yang memukul Paijang tidak harus disamaratakan sebagai warga Kemaman rata-rata bersikap ganas dan tidak prihatin dengan OKU.
Ia bukan pun menghairankan. Sama seperti penghinaan oleh Gus Miftah — gaya ceramahnya banyak berjenaka kasar dan menjatuhkan maruah orang lain — hingga dianggap melambangkan akhlak kebanyakan pendakwah, perihal ramai di pasar tani Chukai yang sekadar menonton ketika Paijang dipukul dan diseret, dianggap membayangkan sikap sebahagian besar mereka.
“Majoriti netizen tak tahu apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian, mereka hanya tahu apa yang ditonton dalam video. Saya kecik hati melampau-lampau netizen dok kata orang Kemamang ni tak ada hati perut la, sanggup tengok OKU kena pukul. Dok. Saya nak pesan pada netizen jangan sedap-sedap sangat nak kata lebih-lebih kat peniaga pasar tani di Kemamang,” kata pengguna TikTok menggunakan akaun ‘Abang Jaa82’.
Jika masih tidak belajar daripada kejadian berkenaan — seperti pesan Anwar agar sentiasa jaga adab dan akhlak — maka jangan salahkan orang lain memandang serong kepada masyarakat sesebuah tempat di mana berlaku kejadian tidak sepatutnya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.