PN tidak banyak modal dalam PRK Ayer Kuning kecuali terus buruk-burukkan UmDAP agar ditolak pengundi Melayu.

Pilihan raya punya pasal, tiba-tiba Sanusi Nor mengisytiharkan dirinya memiliki darah Cina. Bukan takat hadirin di ceramah mega Perikatan Nasional (PN) di Taman Golf, Bidor pada Khamis malam yang terkejut, malah barisan kepimpinan parti di atas pentas juga tersentak.
Dalam banyak ceramahnya pada PRK sebelum ini, tidak pernah ketua pengarah pilihan raya PAS pusat itu bercerita hal yang sama tapi mungkin kerana undi bukan Melayu dirasakan kurang memihak PN dalam PRK Ayer Kuning esok, maka dakwaan kononnya beliau berdarah Cina dijadikannya modal.
“Lebih 70-80 tahun dulu kita orang Melayu menerima dengan baik kehadiran rakan-rakan kita (pendatang asing) untuk mencari keharmonian dan kedamaian di sini, sama ada mereka datang sendiri atau mereka dibawa oleh penjajah British di lombong dan ladang.
“Tok wan saya mai sendiri. Tok wan saya pun mai dari Tanah Besar China sebelah bapak saya, kahwin dengan tok saya Melayu. Akhirnya tumbuhlah cucu-cucu yang besar dan ‘cengei’. Tok wan saya duduk dalam kampung Melayu aman damai, kahwin dengan Melayu. Dapatlah pak saya, pak saya kahwin dengan emak saya dapatlah saya,” katanya dalam ceramahnya.
Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin yang mengambil giliran berucap selepasnya selaku penceramah terakhir, turut tidak dapat menghindarkan diri daripada mengusik Sanusi.
“Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, saya malam ni baru tahu rupa-rupanya orang Cina di Malaysia ada juga yang hitam seperti YAB Sanusi. Saya baru tahu, nak marah pasal apa (sambil menoleh ke Sanusi). Dia bagitau lepas tu nak marah saya,” katanya ketika memulakan ucapan.
Tetapi cerita Sanusi dengan darah Cinanya bukan bertujuan untuk memikat undi kaum itu, sebaliknya mahu mengelak daripada dituduh rasis kerana niatnya ialah untuk menghentam DAP yang didakwanya perosak perpaduan dan keharmonian kaum yang sekian lama terjalin di negara ini.
Oleh kerana Umno-Barisan Nasional (BN) menjadi rakan DAP dalam kerajaan perpaduan, maka pengundi Ayer Kuning diajaknya supaya menolak calon Umno — parti yang digambarkannya umpama lembu dicucuk hidung dan menurutkan saja kemahuan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.
PRK Ayer Kuning esok menyaksikan pertembungan Abdul Muhaimin Malek (PN), Mohamad Yusri Bakir (BN) dan KS Bawani dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). DUN berkenaan mempunyai 31,897 pengundi berdaftar — Melayu 55.64%, Cina 21.99%, India 14.3% dan kumpulan lain 8.07%.
Sama ada benar berdarah Cina atau cerita rekaannya, Sanusi menggunakannya untuk mempertahankan dirinya: “Saya berkawan dengan orang Cina, saya berkawan dengan orang India, tok wan saya Cina. Pasal apa depa kata kita rasis? Kita tak rasis cuma kita cakap terus terang.
“Yang meniupkan perkauman di negara ni bukan PN, bukan PAS, bukan Bersatu. Yang meniupkan perkauman di negara ni adalah DAP,” katanya.
Menyamakan tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 angkara ketegangan kaum selepas tertubuhnya DAP pada 1963, parti itu yang menang 40 kerusi Parlimen pada PRU15 didakwanya menjadi pendorong kepada pemanasan hubungan antara pelbagai kaum semula.
“Keberanian untuk menanggalkan bulan sabit sebagai lambang kepada agama islam di Jalur Gemilang tiba-tiba meletup. Berturut-turut dalam dua akhbar berbahasa Cina disiarkan (gambar bendera) dibuang bulan sabit itu. Peristiwa ni tak pernah terjadi, (ia) hanya terjadi ketika parti tahun 1963 itu (DAP) ada kuasa di negara ini.
“Kesilapan demi kesilapan terjadi. Nampak macam silap tapi ‘instinct’ (naluri) kita mengatakan ini semua adalah perbuatan yang disengajakan. Untuk hidup aman, tenteram, damai di negara ini, satu formula pertama yang mesti dilaksanakan oleh seluruh rakyat Malaysia adalah kalahkan parti 63 itu dalam politik Malaysia.
“Kena bagi dia nyah dari politik tanah air. Jangan bagi dia menang, jangan bagi dia kuasa. Kena kalahkan DAP. Tapi oleh kerana depa ni dok bergayut, ada orang dapat kuasa, dapat jadi kerajaan, dapat jadi menteri, dapat kerusi empuk kerana bergayut pada 40 kerusi DAP, maka dia pertahankan DAP macam dia pertahan mak bapak dia,” katanya sebagai sindiran kepada Umno.
“Pengundi berilah undi kepada PN dan tolak BN untuk kita tamatkan riwayat politik DAP di negara ini bermula di Ayer Kuning ini,” tambahnya.
Sambil menyokong hujah Sanusi bahawa perpecahan kaum dicetuskan oleh DAP, Hamzah mendakwa Umno pula hari ini mengejar kedudukan jawatan semata-mata dan tentunya tidak rela bergabung dengan DAP kalau benar-benar berpegang kepada perjuangan membela nasib agama, bangsa dan tanah air.
“Masa depan negeri dan negara ini tergantung kepada isyarat kita. Berikan isyarat kepada pemimpin-pemimpin Umno bahawa kita tidak rela negara ini, negeri ini diperkotak-katikkan. Umno bukannya majoriti, Umno adalah minoriti dalam kerajaan yang ada hari ini.
“Sebab itu apa saja yang dibangkitkan oleh rakyat tidak diambil peduli oleh Umno kerana mereka sebenarnya tidak berkuasa. Cuba kita lihat hari ini masalah ladang babi. Lihat apa yang berlaku. Umno langsung tidak mahu mendengar rintihan rakyat Ayer Kuning,” katanya.
Dalam pada sedap mulut kedua-duanya mengata Umno dan DAP, soalan yang boleh ditanya ialah selain menunggang isu babi, apa yang mampu ditawarkan PAS dan Bersatu kepada pengundi Ayer Kuning yang sekadar mahu dibakar sentimen mereka untuk membenci kerajaan perpaduan.
Ilham Centre dalam dapatannya daripada analisis pada PRK ini mendedahkan PN menggunakan isu tempatan seperti pencemaran najis babi tetapi diubahsuai menjadi isu berbaur perkauman yang bertujuan meraih simpati pengundi Melayu.
“Naratif ini, walaupun berisiko tinggi, kelihatan masih berkesan dalam konteks demografi tempatan,” katanya merujuk kepada hanya sebahagian kecil penduduk Melayu yang terjejas oleh kewujudan ladang babi di Ayer Kuning.
Laungan ‘UmDAP mantap’ oleh pemimpin DAP Nga Kor Ming, tambah badan pemikir itu, mungkin memberi kesan negatif kepada kempen BN sambil menambah bahawa BN sendiri mengambil langkah luar biasa dengan tidak membuat sebarang kenyataan balas.
Dalam kesimpulannya, Ilham Centre menjangkakan BN tidak akan menghadapi masalah mengekalkan DUN Ayer Kuning, namun mungkin sukar capai sasaran 18,000 undi seperti dicanangkan oleh Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.
“Jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu (6,812), ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar,” jelasnya.
Ia bukannya PN tidak tahu yang mereka akan kalah seperti sebelum-sebelumnya, cuma mereka enggan membenarkan BN menang mudah dan satu-satunya cara yang gabungan itu tahu untuk menghalang ialah dengan merendah-rendah dan memburukkan lawan — persis orang yang dalam keadaan terdesak. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.