`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 


Saturday, April 26, 2025

Apa yang YB kata ni?

 Adakah YB tuduh polis membantu kerajaan Madani?

Mohsin Abdullah

Pemuda Amanah Kelantan bertanya adakah wakil rakyat PAS bagi kawasan Melor nak tanam kebencian dalam kalangan penyokong partinya terhadap polis? Umno Kelantan pula kata wakil rakyat itu cuba beri gambaran buruk terhadap polis. Pada hemat saya persoalan yang lebih serius ialah adakah YB berkenaan menuduh polis bermain politik untuk membantu kerajaan Madani?

YB yang dimaksudkan ialah Wan Rohimi Wan Daud. Seperti dikata tadi beliau ialah Adun Kelantan bagi kawasan Melor — mewakili PAS. Beberapa hari lalu semasa berucap pada sidang DUN, beliau menyatakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang diumum polis mengenai apa yang berlaku di Kelantan. Jelas Wan Rohimi melihat pendedahan polis memberi imej tidak molek terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS.

Apa yang polis kata? Pada 9 April lalu, dalam satu sidang media Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat memaklumkan jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan menunjukkan trend peningkatan ketara setiap tahun dengan kebanyakan kes melibatkan hubungan suka sama suka. Itu intipati sidang media beliau. Tidak perlu saya ulangi perinciannya.

Pada 21 Mac pula, Polis Kelantan mendedahkan bahawa ramai pengasas produk kosmetik dan pempengaruh terbabit dalam kegiatan edar dadah dan pengubahan wang haram. Kata Yusoff dapatan itu hasil beberapa tangkapan.

Apa pula kata Wan Rohimi di DUN Kelantan 22 April lalu? Menurut laporan Malaysiakini, beliau berkata:

“Saya tertanya-tanya ketua polis ni nak menjual cerita sensasi atau penguatkuasa atau penjawat awam yang mempunyai disiplin tentang data?

“Pada 9 April sumbang mahram, kes rogol, bawah umur… Kelantan lagi. Budak perempuan cari lelaki untuk buat hubungan seks, budak lelaki hamilkan sepupu. Pada 16 April ada lagi kes. Pegawai polis terkejut jumpa video seks anak. Dari bulan Februari, Mac dan bertalu-talu pada April kenyataan memberi gambaran negatif kepada negeri ini.

“Empat hari lepas timbalan ketua polis negara (Ayob Khan Mydin Pitchay) ulangi data yang sama. Kita fikir bakpo (kenapa) yang bersungguh sangat dan mengambil satu cebisan yang kecil untuk memberikan gambaran yang salah (berkenaan isu sosial dan jenayah Kelantan).”

Maaf YB, soal sumbang mahram, seks suka sama suka, edar dadah dan ubah wang haram bukan ‘satu cebisan kecil’ dan apa yang polis dedahkan berdasarkan fakta kes. YB sendiri sebut data. Ertinya bukan gambaran salah.

Wan Rohimi seterusnya dilapor berkata: “Sebab itu saya kata, kalau nak sebut sebut semualah. Apabila kita (PAS) tengok (teliti) baru kita perasan… oh barangkali hari Sabtu ni adalah pilihan raya kecil bagi DUN Ayer Kuning.”

Kata-kata itu seperti saya sebut pada awal penulisan sesuatu yang serius implikasinya dan membimbangkan. Apa makna kata-kata itu? Mesej apa yang beliau mahu sampaikan?

Maaf sekali lagi YB saya tanya adakah YB mahu gambarkan polis sengaja memburuk-burukkan kerajaan negeri yang dipimpin PAS, supaya PAS kalah di Ayer Kuning?

Adakah YB tuduh polis bertindak bagai parti politik membantu kerajaan Madani? Polis aktif politik? Jika iya maka tuduhan itu amat serius. Siasatan wajib dijalankan. Mungkin oleh suruhanjaya diraja. Jika terbukti benar tindakan mesti diambil.

Apa pun oleh kerana Wan Rohimi bercakap dalam DUN beliau boleh bercakap apa sahaja kerana dilindungi kekebalan yang diperuntukkan kepada ahli Dewan. Kekebalan yang sama dinikmati Ahli Parlimen walaupun ada ura-ura tidak lama dulu undang-undang kebal itu wajar dipinda dan Johari Abdul selaku speaker Parlimen dikatakan setuju. Tetapi itu hanya pada peringkat cakap-cakap. Tidak ada apa yang berlaku. Oleh itu Wan Rohimi tetap selamat dilindungi imuniti.

Mungkinkah beliau tersalah cakap atau tertekan emosi? Atau dipengaruhi bahang kempen Ayer Kuning yang jauh di Perak meskipun beliau di Kelantan? Mungkinkah beliau mahu mengakui silap dan mahu mohon maaf kepada polis?

Kata Wan Rohimi menurut laporan Sinar Harian: “Saya menegur penjawat awam. Takkan tidak boleh tegur… sedangkan perdana menteri pun kami tegur — ralik-ralik.”

Baiklah YB jika begitu pendirian YB.

Nota kaki: Ralik atau ralit ialah loghat Kelantan bermaksud mengasyikkan, melekakan, berkhayal, mengelamun. Apa maksudnya dalam konteks kata-kata Rohimi yang ditulis pada perenggan di atas? Maaf ambo tak tau. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.