`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 


Friday, April 18, 2025

Gempa bumi dan kita

 Setelah kita dapat amaran MetMalaysia tahukah kita apa yang mesti dilakukan? Apa yang mesti dibuat? Lari? Ke mana? Seribu macam persoalan.

Mohsin Abdullah

Apabila Myanmar dilanda gempa bumi lewat Mac lalu Thailand turut bergegar. Gegaran juga dirasai di Pulau Pinang meskipun tidak sekuat yang dirasai di Thailand, Bangkok khususnya.

Kita bersyukur semua bangunan termasuk dua jambatan di Pulau Pinang dilapor berada dalam keadaan baik dan tidak terjejas susulan gempa di Myanmar yang berukuran 7.7 magnitud.

Kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow, kebanyakan bangunan dan jambatan dibina dengan struktur reka bentuk yang berupaya menampung gegaran pada skala tertentu lantas keadaan di Pulau Pinang masih selamat dari sebarang bahaya. Itu petikan laporan myMetro siaran 29 Mac lalu yakni sehari selepas gempa di Myanmar.

Komtar atau Kompleks Tun Abdul Razak kata Chow “memang dibina dengan mengambil kira gempa bumi termasuk jambatan-jambatan kita.”

Menurut Wikipedia pembinaan Komtar dijalankan secara berperingkat dan membabitkan lima fasa. Fasa 1 bermula 1974 dan siap 1976. Fasa 5 bermula 2017 dan siap dua tahun kemudian. Menara Komtar dengan ketinggian 231,7 meter merupakan bangunan tertinggi di Asia Tenggara pada 1985 sehingga 1986.

Jambatan Pulau Pinang pula mula dibina pada 1982 dan siap pada 1985. Pembinaan jambatan kedua, yakni Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, bermula 2008 dan siap 2014.

Saya ulangi kata-kata Chow bahawa Komtar dan dua jambatan itu dibina dengan mengambil kira gempa bumi. Bermakna semua pihak yang terlibat dalam pembinaan berpandangan jauh dan memberi tumpuan pada setiap aspek dan sudut, meskipun Pulau Pinang tiada dalam senarai kawasan gempa bumi. Syabas.

Saya kira bangunan di tempat lain yang dibina dengan peralatan lebih canggih daripada zaman lalu juga mengambil kira berlakunya gempa, dengan reka bentuk yang mampu tampung gegaran. Sekurang-kurangnya itulah harapan saya.

Gempa di Myanmar Mac lalu menimbulkan kebimbangan. Portal Scoop baru-baru ini menyiarkan laporan yang memetik beberapa pakar sebagai berkata Sabah merupakan negeri paling berisiko dilanda gempa di negara ini, kerana berdekatan zon seismic yang aktif. Pada 29 Januari lalu satu gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 pada skala Richter berlaku di Ranau.

MetMalaysia menegaskan ia boleh mengeluarkan amaran gempa bumi dalam masa lapan minit kerana operasinya membabitkan 80 seismic sensor di seluruh negara yang berkebolehan mengesan apa-apa aktiviti gempa bumi di Malaysia dan wilayah ini. Di samping itu kata ketua pengarahnya, Mohd Hisham Mohd Anip, seluruh dunia berkongsi data yang diperolehi daripada sensor masing-masing. Kenyataan MetMalaysia amat meyakinkan.

Lalu pertanyaan saya ialah setelah kita dapat amaran MetMalaysia tahukah kita apa yang mesti dilakukan? Apa yang mesti dibuat? Lari? Ke mana? Seribu macam persoalan. Perlu diingat waktu bencana keadaan amat kelam kabut. Kita celaru dan panik.

Mungkin kerajaan boleh mempersiapkan rakyat supaya bersedia menghadapi kemungkinan gempa. Mungkin latihan atau drill khas boleh dilakukan dari semasa ke semasa untuk mengajar orang ramai apa yang mesti dilakukan apabila MetMalaysia keluar amaran. Seperti latihan kebakaran yang pernah diadakan dulu di sekolah dan pejabat. Saya tidak tahu sama ada latihan kebakaran masih diadakan sekarang.

Memandangkan climate change yang mengancam seluruh dunia lalu menyaksikan kejadian yang kita tidak terfikir akan jadi tetapi terjadi dan berlaku dengan ganas, elok kerajaan pertimbangkan latihan sebagai persiapan rakyat.

Sebenarnya persiapan juga untuk kerajaan sendiri. Pak menteri mesti tahu apa yang wajib dilakukan. Pasukan penyelamat mesti tahu cara menyelamat waktu gempa. Pasukan perubatan mesti tahu apa bekalan dan peralatan yang mereka perlukan. Kesimpulannya latihan untuk kebaikan bersama.

Mungkin latihan yang diadakan di negara yang sering dilanda gempa seperti Jepun dan Indonesia boleh dicontohi. Mereka bukan sahaja jalankan latihan untuk orang dewasa tetapi ada juga special drill untuk kanak-kanak di sekolah.

Tiada gunanya dapat amaran tetapi kita tidak tahu memanfaatkannya. Tanpa tahu apa yang mesti dilakukan, apa yang tercetus kelak ialah panik dan kepanikan akan hanya memburukkan keadaan.

Mungkin apa yang diajar ketika latihan tidak perlu kita praktikkan kerana tidak ada gempa yang berlaku tetapi persiapan menghadapi segala kemungkinan bukan kerja sia-sia.

Tentunya kita berdoa Tuhan melindungi negara ini. Kita mohon tidak ada musibah berlaku. Tetapi Tuhan juga mahu hambanya berusaha. Kita tidak mahu sudah terhantuk baru tengadah. Ketika itu semua sudah terlambat. Nauzubillah min zalik. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.