
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata antara faktor lain yang dipertimbangkan termasuk pergerakan tanah di bawah permukaan lokasi kejadian, lapor Bernama.
“Ada yang berpendapat ia berpunca daripada kesilapan manusia semata-mata, namun terdapat juga kemungkinan berlakunya pergerakan tanah di bawah permukaan.
“Tekanan tinggi daripada aliran air serta pelbagai faktor lain juga boleh menjadi penyumbang kepada insiden ini,” katanya di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.
Razarudin berkata, lebih 10 agensi, termasuk Jabatan Bomba serta pasukan forensik, terlibat dalam siasatan di lokasi kejadian.
“Siasatan juga merangkumi aspek geoteknikal, iaitu keadaan tanah di kawasan ‘ground zero’ kerana elemen itu penting dalam keseluruhan siasatan.
“Polis, bomba dan pasukan forensik sedang menjalankan penilaian keselamatan di lokasi tersebut, manakala pihak bomba memastikan semua siasatan forensik dilaksanakan dengan pemantauan keselamatan yang rapi,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu penting bagi menentukan kestabilan tanah di kawasan kejadian sekali gus mengelakkan sebarang risiko berulang seperti kejadian tanah jerlus.
Katanya, aspek keselamatan dan kesejahteraan orang awam di kawasan tersebut sentiasa menjadi keutamaan pihak berkuasa.
Insiden kebakaran saluran gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa lepas menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kementerian Kesihatan memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik, merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata setakat ini daripada 437 rumah yang diperiksa, 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kebakaran pada struktur melebihi 40% manakala 81 rumah lain dikategorikan sebagai separa musnah
Beliau turut memaklumkan 57 rumah turut terbakar tanpa menjejaskan struktur binaan, manakala baki 218 rumah didapati tidak terkesan akibat insiden berkenaan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.