Sama ada merujuk Malaysia atau khusus orang Melayu, bagi saya kata-kata yang ditujukan kepada Xi Jinping menunjukkan kebimbangan, kerisauan, dan keresahan.

Saya mengaku tidak tahu siapa Bill O’Reilly sebelum beliau kata “the Maylays don’t have any money“. Terpaksalah Google. Rupanya “an American conservative commentator, journalist, author and television host“.
Dapat pendidikan di Boston University dan juga Harvard University kata Google tapi dalam ‘No Spin News’ rancangan TV yang dikendalinya, O’Reilly beritahu beliau pernah juga belajar di Cambridge. Kira orang pandailah.
Sekarang O’Reilly berusia 75 tahun (saya muda kalau banding dengannya). Pernah bekerja di beberapa rangkaian televisyen AS termasuk ABC News, CBS News dan Fox News. Pada April 2017 Fox News mengumumkan O’Reilly “tidak akan lagi bersama kami” berikutan laporan beliau bayar jutaan dolar untuk settle dakwaan gangguan seksual yang dibuat terhadapnya oleh enam wanita. Dalam lain perkataan O’Reilly dipecat.
Fox News rangkaian konservatif yang digemari puak kanan AS. Sejak Donald Trump menceburi politik Fox News dilihat pro-Trump dan partinya, Republican. O’Reilly tidak mahu dikaitkan dengan apa-apa ideologi politik seperti konservatif, liberal dan sebagainya tetapi pada 2000 The Daily News di New York melaporkan beliau berdaftar dengan Republican sejak 1994. Bila ditanya beliau mendakwa not aware of it.
Pada 2008 pertubuhan pemantau media AS — Media Matters — beri O’Reilly anugerah ‘Misinformer of the Year’ berdasarkan pelbagai laporannya yang memutar fakta dan tidak betul. Pada pilihan raya 2024 O’Reilly berkata secara terbuka beliau undi Trump.
OK sekarang pasal tuduhannya Melayu tak ada duit. O’Reilly sebenarnya memperlecehkan lawatan Presiden China Xi Jinping ke Vietnam, Malaysia dan Cambodia tempoh hari — kononnya bingung mengapa Xi mahu melawat negara-negara itu.
“Hey President Xi, let me just break it to you, those folks have no money at all. They cannot help you , they are not gonna buy your stuff because they don’t have any money,” begitu kata O’Reilly kan?
Beliau bercakap mengenai lawatan Xi ke Vietnam, Malaysia dan Cambodia, oleh itu bila beliau kata ‘those people‘ dan ‘they‘ bagi saya beliau merujuk ketiga-tiga negara dan warganya.
Adakah beliau percaya apa yang beliau katakan? Orang pandai macam beliau takkan tak ada perangkaan jumlah perdagangan tiga negara Asean itu dengan China, dan juga jumlah yang Amerika sendiri belanja untuk beli produk negara-negara berkenaan dan juga pengeluaran China. Ertinya O’Reily yang mengendalikan rancangan No Spin News menyembunyikan fakta dan memberi naratif tidak lengkap.
O’Reilly juga berkata: “Maybe he is going there to try and sneak in Chinese goods under the Vietnamese label. But that’s gonna be easily exposed“. Adakah beliau benar-benar percaya Xi mahu seludup barangan China ke AS guna label Vietnam?
Jika iya pun takkan beliau tidak tahu Presiden Trump telah (sekarang tangguh) kenakan tarif 46% ke atas Vietnam. Apa untungnya China guna label Vietnam?
Apa pun katanya lagi kepada Xi: “So I don’t know what this is. You know… if China loses the US market. But I still believe there’s gonna be a détente here. Its hosed. Its screwed. Cause the Maylays aren’t gonna buy your stuff, they don’t have any money.”
‘Maylays’ yang disebutnya itu ialah Malays lah. Melayu. Bagi saya O’Reilly bercakap mengenai rakyat Malaysia tetapi bagi beliau warga Malaysia ialah Malays (yang disebutnya Maylays) mengambil kira nama negara Malaysia. Mungkin beliau tidak pernah tahu istilah Malaysian. Tidak mustahil beliau tidak tahu ada pelbagai bangsa di negara ini. Ada warga Amerika yang hanya memandang ke dalam yakni ke negara sendiri dan tidak pandang luar yakni dunia. Mungkin O’Reilly begitu?
Sama ada beliau merujuk rakyat Vietnam, Cambodia dan Malaysia atau khusus orang Melayu, bagi saya kata-kata yang ditujukan kepada Xi menunjukkan kebimbangan, kerisauan, dan keresahan.
O’Reilly yang memulakan setiap rancangannya dengan memberitahu rakyat Amerika supaya stand up for your country kelihatan bimbang, risau dan resah usahasama ekonomi China dengan tiga negara Asean yang dilawatinya akan meminggirkan AS. Dalam lain perkataan Amerika rugi.
Malah sebelum lawatan Xi ke Vietnam, Malaysia dan Cambodia bermula lagi Trump sudah dilapor berkata: “Xi Jinping’s tour of south east Asia is probably intended to screw the US.” - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.