`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, June 6, 2025

Dari ladang ke bandar, karnival korban mudahkan ibadah

 Karnival korban yang berlangsung di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam itu memudahkan masyarakat Islam memilih lembu untuk dikorbankan.

Sebahagian lembu korban yang dijual pada karnival korban diadakan di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam.
PETALING JAYA:
 Setiap kali tibanya musim Hari Raya Aidiladha masyarakat Islam yang mahu mengerjakan ibadah korban pasti akan memilih haiwan ternakan terbaik untuk dikorbankan sebelum disedekahkan kepada mereka yang memerlukan.

Bagi memudahkan urusan itu, sebuah syarikat ladang ternakan di Banting Selangor, Tayyib Ranch menganjurkan karnival korban bagi membolehkan masyarakat Islam terutama sekali di bandar memilih terus haiwan ternakan tanpa perlu ke ladang.

Mohd Sakhedan Sidek
Mohd Sakhedan Sidek.

Pengurus Operasi Tayyib Ranch, Mohd Sakhedan Sidek berkata karnival korban tersebut berlangsung di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam bermula 30 Mei hingga 8 Jun ini.

Katanya, sepanjang karnival itu pihaknya menyediakan kira-kira 700 ekor lembu korban untuk dipilih pengunjung dan setakat ini hampir 500 lembu sudah dijual untuk dikorbankan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 35 ekor adalah lembu daripada baka besar atau dikenali sebagai ‘lembu sado’.

“Kita ada enam jenis baka yang dijual termasuk Limousine, Charolais, Belgian Blue, Angus, Brahman, Friesian Holstein dan baka premium terbaru, Wagyu,” katanya kepada FMT.

Sakhedan berkata lembu korban yang paling mahal yang dibeli adalah baka Brahman seberat lebih satu tan dijual pada harga RM40,000.

Beliau juga berkata permintaan terhadap lembu sado menunjukkan peningkatan lebih 50% berbanding tahun lalu, menunjukkan ramai pengguna mahu haiwan yang lebih berkualiti.

“Lembu sado ini memang baka hibrid yang dikhususkan untuk daging. Dagingnya lebih banyak dan berkualiti tinggi jika dibandingkan dengan lembu tempatan,” katanya.

Tambah beliau, usaha membawa konsep ladang ke bandar ini juga dapat memperkenalkan lebih banyak baka berkualiti kepada pelanggan yang sebelum ini hanya mengenal lembu tempatan.

Menurutnya, selain menjual lembu untuk ibadah korban, karnival itu juga diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah agama, pameran lembu sado, trak makanan, kenduri rakyat dan solat sunat Aidiladha pada hari raya pertama.

Katanya, sebanyak 160 ekor lembu korban akan disembelih pada hari raya pertama dan kedua Aidiladha serta akan diagihkan kepada pengunjung dan penduduk sekitar.

Sementara itu, mengimbas kisah kisah penglibatannya dalam dunia penternakan, Sakhedan berkata dia mula menternak lembu pada usia 16 tahun dengan hanya tiga ekor lembu di belakang rumah.

Tanpa pendidikan formal, ilmu dan kemahiran yang diperoleh Sakhedan adalah hasil tunjuk ajar penternak lain serta pembelajaran kendiri, kini berbekalkan pengalaman lebih 25 tahun, beliau mampu menguruskan ladang ternakan.

“Saya bermula dari bawah, belajar sendiri. Sambil bekerja, saya kumpul modal, bina kandang dan mula jalankan perniagaan sendiri.

“Alhamdulillah, hari ini kami dapat hasilkan karnival korban berskala besar seperti ini,” katanya lagi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.