Hantaran YDP PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad di media sosial baru-baru ini mungkin jejas harapan raih sokongan masyarakat bukan Melayu terutama Cina.

Jika Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS teruja dan bersemangat dengan hasil kaji selidik yang menunjukkan sokongan masyarakat bukan Melayu (terutama Cina) terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin merosot sejak kebelakangan ini, tindakan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh baru-baru ini mungkin mengendurkan rasa itu.
Pada hemat saya, sektor masyarakat Cina yang pada awalnya berura-ura mahu menyokong PN/PAS kini mungkin are having second thoughts kerana tindakan itu rasanya boleh mengingatkan mereka akan apa yang pernah dilempar dan telah dibuat PAS sehingga menghiris perasaan mereka pada masa lalu.
YDP yang dimaksudkan ialah Zaharudin Muhammad. Apa yang beliau lakukan rasanya sudah ramai yang tahu, namun saya ulangi di sini sebagai konteks penulisan. Ringkasnya, beliau telah membuat hantaran satira di Facebook yang mengaitkan pelantikan seorang perdana menteri dari keturunan Cina pada 2058.
Mengiring hantaran itu gambar seorang pegawai tentera, Johnny Lim Eng Seng, yang baru dinaikkan pangkat daripada Mejar Jeneral kepada Leftenan Jeneral. Beliau ialah pegawai tentera berbangsa Cina pertama dinaikkan ke pangkat itu.
Ramai melihat hantaran itu sebagai cubaan mempertikai pelantikan tersebut semata-mata kerana beliau berbangsa Cina. Akibatnya, Zaharudin dan PAS dituduh bersifat perkauman dan bermain politik kebencian. Banyak lagi tuduhan lain yang tidak perlu saya ulangi — lihat sahaja komen dalam ruangan pembaca di portal berita. Besar kemungkinan kemarahan itu datang daripada masyarakat bukan Melayu, khususnya orang Cina.
Lalu itu saya katakan, jika ada ‘inroads’ sedang dibuat PAS atau membuka jalan menambat hati masyarakat Cina, tindakan Zaharudin ini bagai ‘bikin spoil program’. PAS juga sedar akan kesan hantaran Facebook itu terhadap parti, lebih-lebih lagi apabila Zaharudin bukan sekadar YDP, tetapi juga menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Lantas, PAS segera mengambil langkah menjauhi daripada tindakan Zaharuddin. Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dipetik Malayia Gazette bahawa hantaran itu, atau mana-mana catatan seumpamanya, adalah pandangan peribadi ‘individu terbabit’ yang bukan sahaja tidak mewakili, malah bertentangan dengan dasar, ketetapan dan wawasan PAS.
Panjang lebar kenyataan Takiyuddin yang saya tidak cadang mengulanginya. Cuma mahu menyatakan Takiyuddin mengakhiri kenyataannya dengan berkata: “Tahniah daripada PAS buat Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim.” Perlu dinyatakan juga kenyataan Takiyuddin tidak menyebut nama Zaharuddin – sekadar merujuk ‘individu terbabit.
Pada hemat saya, Zaharudin tentu maklum tentang impak hantaran Facebook beliau. Beliau tampil memberikan penjelasan dan penafian selama dua hari berturut-turut, seperti yang disiarkan oleh FMT. Pada 25 Jun, Zaharudin memberitahu bahawa beliau tiada niat menghina pelantikan Lim dan menyifatkan kritikan terhadapnya sebagai ‘spin di luar konteks’.
Semalam, beliau tampil sekali lagi dan FMT menyiarkan tajuk berita ‘Kini Zaharudin dakwa hantaran untuk beri kesedaran berkait MM2H’, merujuk kepada program Malaysia Rumah Keduaku. Beliau mendakwa tujuan utama hantarannya adalah untuk menyedarkan rakyat bahawa peserta MM2H berpotensi memohon kerakyatan dan menuntut hak seperti mengundi.
Beliau mendakwa hujah utamanya untuk beri kesedaran kepada masyarakat bahawa tidak mustahil peserta MM2H memohon kerakyatan dan menuntut hak seperti mengundi. Kesimpulan apa yang beliau kata ialah “jika bangsa asing ini masuk secara terancang sebagaimana Zionis di Palestin maka tidak mustahil pada tahun 2058, PM Malaysia adalah daripada kalangan anak kelahiran bangsa asing itu”. Terpulang sama ada mahu menerima logik beliau atau sebaliknya.
Imbau kembali MM2H atau Malaysia My Second Home yang bermula pada 2002. Ia adalah program anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan dan Jabatan Imigresen Malaysia yang mengizinkan warga asing tinggal di negara ini termaktub beberapa syarat dan peraturan.
Zaharuddin mengambil masa 23 tahun untuk menonjolkan ‘kepincangan’ dan ‘kelemahannya. Apa pun kata Zaharuddin “Ini isi utama, boleh baca balik tulisan yang saya lampirkan tanpa prejudis”.
Bagaimanapun bak kata FMT hantaran beliau maksudkan sudah dipadam. Oleh itu sesiapa yang berminat nak baca semula tiada ‘chance’. Macam mana nak baca kalau dah delete?
Namun beliau menegaskan tindakan itu (memadam hantaran asal) dibuat bukan kerana bimbang implikasi undang undang tetapi ‘tidak sempat memantau tulisan dibuat kelmarin’.
Bagaimana pula dengan gambar pegawai tentera bangsa Cina yang digunakan untuk mengiringi catatan? Dakwa beliau gambar Lim hanya bersifat ‘hiasan’, tidak berniat menghina atau memperlekehkan pemasyhurannya dan tidak ada kaitan dengan penulisannya.
Pelik juga ya?. Dalam banyak-banyak gambar yang boleh dipilih gambar Lim naik pangkat juga digunakan.
Penjelasan panjang lebar dan penafian sudah dibuat. Zaharuddin juga mengancam untuk menyaman sebuah laman sesawang dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim yang beliau dakwa telah ‘memutarbelit’ hantarannya.
Bagi saya untuk beliau dan PAS-the damage has been done. - FMT
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.