Melalui garisan dari pen dan dakwatnya karya Lat telah mencipta jiwa kebangsaan, memupuk rasa sayang budaya dan negara.

Pernah saya bersembang dengan kawan-kawan penggiat dan pengamat seni, siapakah dalam kalangan seniman atau karyawan yang wajar kita angkat sebagai budayawan negara atau tokoh budaya. Bukan biduan atau biduanita negara, tapi budayawan negara! Ia tidak semestinya menjurus ke satu bidang saja namun ia tidaklah salah. Paling penting, bidang yang diceburinya itu memberikan impak kepada masyarakat yang berbudaya.
Kita sudah ada P Ramlee tetapi seharusnya kita harus keluar ke depan lagi dan terus mencari. Lalu macam-macam nama keluar daripada mulut kami. Kebanyakan nama dicadangkan adalah penyanyi, penulis lirik, penggiat filem dan ahli sastera. Ada nama yang saya setuju berdasarkan karya dan sumbangan mereka kepada masyarakat tetapi saya tetap berasa macam tak cukup syarat. Tetapi ketika itu saya tidak ada nama yang hendak diangkat lagi.
Entah kenapa tak lama selepas perbincangan itu, saat duduk-duduk berangan di rumah barulah saya terfikirkan nama kartunis Lat atau Datuk Lat. Meneliti kembali karya beliau melalui daya ingatan saya tanpa mencari mana-mana rujukan, saya fikir ya, memang beliau cukup syarat. Kita sudah lama menatap karya-karya beliau di surat khabar, majalah, papan iklan besar dan koleksi buku yang pernah beliau hasilkan – ternyata hasil kerja beliau begitu memberangsangkan. Mungkin pada anda, apa sangatlah kartun, kan? Sebuah hiburan picisan tak serius. Tetapi mari kita amati karya-karya Lat. Kartun-kartun Lat memang mesra rakyat, sangat berpengaruh dan mampu menggerak minda masyarakat. Elemen Melayu dan Malaysia sangat kuat dalam karya Lat sehingga kita semua boleh menghadamnya dengan senang hati.
Karya Lat mencerminkan realiti rakyat Malaysia dengan budaya hidup baik dari segi politik, ekonomi serta perkembangan zaman. Di tangan Lat, dunia kampung, bandar, jiran berlainan kaum, mak cik penjaja, budak sekolah, hingga ke pegawai pejabat semuanya wujud. Semuanya mendapat tempat yang adil. Tiada siapa ditinggalkan. Wajah-wajah berbagai bangsa sering dimasukkan dalam karyanya tanpa kita berasa pelik dan getik. Ia natural dan tak dibuat-buat dalam menggambarkan suasana kemajmukan Malaysia. Cerita yang dilukis dan dipersembahkan membuat kita semua berasa dekat bagai ada pertautan saudara. Kekuatan Lat bukan pada teknik dan gaya penceritaan semata-mata, tetapi pada pandangan budayanya. Beliau memahami jiwa bangsa sendiri, bukan dalam erti sempit Melayu atau Malaysia yang sarat bermain politik tetapi sebagai himpunan manusia yang hidup bersama, makan dan ketawa bersama.
Siapa tak tahu tentang karya ‘The Kampung Boy’ yang bukan hanya bernostalgia tentang zaman kanak-kanak, tetapi merupakan rakaman zaman dan amalan yang membentuk nilai hidup kita. ‘The Kampung Boy’ bukan setakat kisah Melayu sahaja tetapi tentang kemanusiaan yang bersifat sejagat. ‘The Kampung Boy’ telah diterbitkan oleh Astro dalam bentuk animasi bersiri selama 26 musim dan turut dimainkan juga di beberapa negara luar. Ia juga pernah dipentaskan di panggung teater sebagai teater muzikal. ‘The Kampung Boy’ juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jepun dan Portugis malah telah beberapa kali diulang cetak.
Dalam buku ‘Town Boy’ pula Lat mengisahkan persahabatannya dengan Frankie, kawannya yang berbangsa Cina. Ia menjadi simbol kecil betapa hubungan antara kaum boleh hadir dengan semula jadi tanpa retorik perpaduan yang dipaksa. Lat dan Frankie membesar bersama, berkongsi muzik dan permainan, sesuatu yang sangat manis dalam konteks Malaysia hari ini sehingga kita tertanya-tanya; wujud lagikah suasana sebegini yang turut pernah saya rasakan pada zaman kanak-kanak saya dahulu. Saya teringatkan kawan baik saya sewaktu di sekolah rendah, Ho Seng Wai. Persahabatan yang terjalin sejak budak-budak itu berlanjutan sampai hari ini meskipun kawan saya itu sudah berhijrah ke luar negara. Saya teringatkan Previn dan adiknya Ashvin – yang sering membawa kamera ke sekolah saat cuti penggal hujung tahun hampir tiba. Entah ada lagikah Previn (kini seorang doktor di Cheras) simpan foto-foto kami. Begitu juga siri komik lerang Keluarga Si Mamat di akhbar Berita Minggu; adalah nostalgia dan cita-cita Lat untuk melihat masyarakat Malaysia terus hidup harmoni dan jujur seperti jujurnya persahabatan kanak-kanak.
Seorang karyawan sejati bagi saya tidak cukup dengan hanya hidup berbekalkan nostalgia. Karyawan harus faham semangat zamannya. Mesti tahu politik, isu masyarakat dan perkembangan semasa yang mengelilinginya. Karyawan sejati juga pasti mengikut rapat bidang seni yang berlainan daripada bidangnya seperti muzik, filem dan sastera. Lat membuktikan ini melalui karya-karya satiranya baik melalui komik, juga melalui kartun editorialnya di akhbar. Lat bijak menyinggung isu dalam nada tenang dengan tidak memecahkan sebaliknya kritikan sosial kartunnya seakan mengajak agar kita bersatu dalam pada kita berbeza. Ini dimunculkan melalui karya-karya beliau melalui buku seperti Lots More Lat, Better Lat Than Never, Lat Was Here dan lain-lain. Komik Mat Som menyaksikan pengalaman Lat dalam lingkungan dunia kewartawanan dan dunia sastera di mana dalam komik itu muncul karikatur tokoh-tokoh ternama dalam bidang tersebut yang mana Lat adalah sebahagian daripada kawan mereka. Begitulah pengamatan saya tentang peribadi Lat yang bersifat ‘all-rounder’.
Saya tidak mengenali secara peribadi Mohammad Nor Mohd Khalid (nama sebenar beliau) tetapi pernah mendengar cerita daripada pelukis dan pengasas majalah humor terkenal Gila-Gila, Jaafar Taib tentang serba sedikit keperibadian Lat. Cerita Jaafar, sewaktu mereka sama-sama ke Amerika Syarikat sekitar pertengahan 80-an dulu, Lat cepat mesra dengan orang baru. Dia boleh mendekati seorang ‘mat saleh’ di bilik hotel depan bilik yang mereka inapi. Jaafar mencari ke mana perginya Lat dan tengok-tengok Lat sedang bercerita dengan ‘mat saleh’ tentang muzik atau kalau tak silap saya, Lat bermain gitar bersama ‘mat saleh’ itu. Saya juga pernah melihat sendiri Lat memetik gitar di Rumah Kartun. Fuh! Bukan calang-calang permainan ‘blues’ beliau. Memang serba boleh beliau ini. Dalam program di Rumah Kartun beberapa tahun dahulu, jika ada program menuntut Lat berbicara, saya akan beri tumpuan. Ini kerana ucapannya sentiasa berisi dan mengayakan lagi pengetahuan saya.
Di sinilah saya rasa mengapa karyawan seperti Lat penting hari ini. Malaysia kini berdepan cabaran besar; dengan ketidakpuasan hati pada keserataan kaum yang tak habis-habis, pertikaian tentang identiti nasional yang masih belum menemukan titik penamat serta perbalahan politik yang memecah-belahkan. Dalam keadaan begini, karya Lat patut dirujuk. Lat mengingatkan bahawa kelainan akar budaya bukan untuk menyempitkan, tetapi harus menjadi pemangkin menegakkan kemanusiaan. Lukisannya membuktikan bahawa perbezaan boleh diraikan, dan suntikan humor boleh menjadi jambatan antara kita.
Dalam karyanya, secara semula jadi beliau telah melakukan sesuatu yang tak ramai mampu capai iaitu mencipta kebersamaan melalui seni.
Lat bukan sekadar kartunis legenda. Dia adalah dokumen hidup kepada cita rasa bersama rakyat Malaysia — tentang apa yang kita kongsi bersama dan patut dipegang dengan penuh rasa bangga. Melalui garisan dari pen dan dakwatnya, karya Lat telah mencipta jiwa kebangsaan – memupuk rasa sayang budaya dan sayang negara. Mungkin inilah waktunya kita mengakui dengan jujur, di tengah bunyi bising dunia politik dan kekalutan isu di media sosial, karya Lat perlu kita lihat kembali.
Kita boleh rujuk di Wikipedia pencapaian Lat dan segala penganugerahan yang diberikan kepadanya seperti gelaran Datuk (1994), Tokoh Maal Hijrah (2018), Seniman Diraja (2023) di tanah kelahirannya di Perak, ijazah kehormat kedoktoran dalam bidang seni dari Taylor’s University (2019), malah pembinaan Galeri Lat di Batu Gajah, Perak itu merupakan testimoni yang tepat untuk beliau dinobatkan sebagai budayawan negara. Kalau nak cerita tentang enam nilai teras Malaysia Madani, memang Lat degan segala pencapaian beliau sudah menepati ciri-ciri tersebut.
Mungkin ‘The Kampung Boy’ dan ‘Town Boy’ boleh dibawa masuk ke dalam sekolah untuk diajar dalam mata pelajaran sivik atau tatarakyat. Saya tidak pasti sudah adakah tesis dan kajian dibuat terhadap karya Lat. Jika tiada, ia harus dibuat. Bagi saya, ini adalah permata negara.
Setakat hari ini, belum muncul lagi kartunis seperti Lat. Bidang seni yang lain pun saya harap tidak keterlaluan jika saya rasa pun tak ada. Maksud saya sebuah karya seni yang benar-benar dapat meresap ke seluruh rakyat dengan sendiri tanpa dibuat-buat atau dipaksa-paksa.
Justeru, jika ada lagi perbualan sesama rakan tentang topik siapa tokoh budayawan kita hari ini – saya tidak akan lupa lagi. Tanpa ragu-ragu saya akan mencadangkan Mohammad Nor Mohd Khalid sebagai ikon budaya Malaysia zaman ini. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.