`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, January 1, 2026

Mufti janganlah campur urusan politik

Mufti setiap negeri adalah penjawat awam. Ulasan, kecenderungan dan komentar politik daripada para mufti adalah preseden yang buruk.

faisal tehrani

Susulan kekacauan politik dan kekecohan antara PAS sesama PAS, dan PAS dengan Bersatu di Perlis, mufti negeri tersebut memilih untuk mencebur diri dalam perbalahan duniawi di atas. Beliau kemudian dikecam oleh ahli-ahli PAS kerana mengkritik PAS dan pimpinannya, dan tidak kurang juga yang menyahut dan meraikan kritikan tersebut.

Kebanyakan yang menyukai kritikan mufti Perlis terhadap PAS itu datangnya dari kem Pakatan Harapan tentunya. Mufti Perlis tersebut turut beroleh sokongan moral daripada mufti Wilayah Persekutuan, dengan alasan para mufti perlu ikut bersuara dalam ‘hal-hal tertentu’. Helo, hal-hal tertentu apakah yang boleh disentuh pihak mufti?

Ulasan, kecenderungan dan komentar politik daripada para mufti adalah preseden yang buruk. Mufti setiap negeri adalah penjawat awam, waima mereka itu dilantik oleh ketua agama Islam di negeri masing-masing. Mufti juga tidak seharusnya berpihak, kelihatan berpihak, mencampuri urusan politik kepartian, kerana mufti seharusnya menjadi mufti kepada semua umat Islam mengatasi parti, cara fikir, mazhab, gender, orientasi seksual dan tua muda. Jika nanti ada mufti yang cenderung kepada parti lainnya, adakah penyokong parti tersebut akan kecewa, merana dan kemudian mencari pasal pula dengan beliau?

Mufti Wilayah Persekutuan tidak sewajarnya mengikut jejak langkah Mufti Perlis. Ada banyak sebab untuk saya hujahkan begini. Misalnya Mufti di Perlis itu sendiri sudah terbiasa mengulas hal-hal di luar ‘urusan kerja’.

Asri Zainul Abidin antara mufti yang paling lama berkhidmat. Beliau sering dianggap sebagai tokoh kontroversi dek keberanian menyanggah pandangan mufti-mufti lain, seperti yang terserlah dalam perbahasan berkaitan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam erti kata lain, beliau juga biasa melakukannya dengan sesama mufti.

Para pengkritik kerap melabelkannya sebagai pendukung doktrin Wahhabi — satu tuduhan yang sukar ditolak sepenuhnya memandangkan karya-karya beliau mencerminkan kecenderungan Wahhabi/Salafi, seperti sikap menentang keterikatan kepada mazhab fiqh tertentu, kritikal terhadap hadis palsu, serta kecaman terhadap amalan-amalan tasawuf. Beliau menyifatkan fenomena-fenomena ini sebagai tidak selari dengan Islam yang ‘murni’ dan menyeru umat Islam kembali kepada ajaran yang dianggapnya autentik. Rujukan beliau sering selari dengan tokoh-tokoh yang digemari tradisi Wahhabi/Salafi, khususnya Ibn Taymiyyah (1263–1328) dan Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1292–1350), di samping kecenderungan kepada wacana anti-Syiah.

Bagaimanapun, penting untuk diperhatikan bahawa Asri secara konsisten menafikan dirinya Wahhabi, dan dalam banyak keadaan menggambarkan amalan Islam di Perlis sebagai berteraskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Namun, kefahaman yang lebih mendalam membawa kepada program seperti Konvensyen Sunnah tahunan yang dilancarkan pada tahun 2015 dan dijenamakan semula pada tahun 2025 sebagai Perlis International Sunnah Convention (PISC). Dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dan dibiayai oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, konvensyen ini dipersembahkan sebagai platform untuk mempromosikan ‘ajaran Islam yang autentik’. Ia kerap menampilkan sarjana yang dikaitkan dengan Wahhabisme, yang sebahagiannya memperkenalkan diri sebagai ‘Salafi’ bagi mengurangkan kontroversi, sambil menolak orientasi Islam lain.

Persoalan mengenai identiti Asri dan takrifan kendirinya mencetuskan pelbagai pertikaian yang masih kurang difahami oleh masyarakat umum. Keadaan ini seterusnya membuka ruang kepada perbezaan yang kompleks, termasuk yang terserlah dalam penggubalan undang-undang dan akta perundangan. Sebagai contoh, Asri secara terbuka mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, serta bekas mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah, berhubung RUU Mufti Wilayah Persekutuan. RUU tersebut menerima sokongan semua mufti negeri kecuali mufti Perlis. Ia diperkenalkan atas alasan keselamatan negara, khususnya bagi menghalang pelantikan mufti Wilayah Persekutuan yang orientasi teologinya menyimpang daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Asri juga kerap mencabar atau menjawab tuduhan yang dikemukakan oleh ulama lain dalam pelbagai kontroversi awam. Pertukaran pandangan secara terbuka ini, yang sering berlangsung melalui media, mencetuskan polemik lanjut dalam kalangan masyarakat Islam, terutama di ruang dalam talian. Perbezaan pendapat secara terbuka dengan rakan sejawat di negeri-negeri lain — khususnya melalui kenyataan di media sosial — menimbulkan persoalan kritikal: adakah hal ini mencerminkan ketiadaan platform dialog antara mufti, sehingga perbezaan pandangan terpaksa didedahkan kepada umum dan seterusnya menimbulkan keresahan? Adakah kenyataan-kenyataan ini secara inheren bersifat kontroversi, atau sekadar bertujuan menegaskan perbezaan? Atau adakah perbezaan ini berpunca daripada kerangka teologi yang benar-benar berbeza?

Salah satu faktor yang menyumbang kepada persepsi Asri sebagai tokoh kontroversi ialah kekerapan pendedahan media, sama ada kerana beliau dijemput memberi pandangan mengenai isu politik atau atas inisiatif beliau sendiri. Dalam banyak keadaan, kenyataan beliau mencetuskan pertikaian, khususnya dengan sebahagian ahli politik bukan Islam. Pendiriannya terhadap pelbagai parti politik turut berubah-ubah, namun beliau agak konsisten dalam menolak DAP, sambil menegaskan keutamaan identiti etnik Melayu.

Beliau juga kerap menyatakan pujian terbuka terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan lantaran itu beliau akan dibaca atau ditafsir yang bukan-bukan, khusus oleh mereka yang tidak menggemari PMX.

Seorang mufti seharusnya berjenis damai, tenang, dan mengamankan umat. Politik kepartian berpotensi untuk mencetuskan perkelahian. Mufti yang terjun masuk campur, atau mencari lubang perli-memerli dalam urusan yang diluar fatwa tidak membawa kebaikan kepada masyarakat Islam. Dalam keadaan politik kita panas dan tidak reda suhunya, sikap begini tidak menyumbang apa-apa.

Nasihat saya kepada mufti Wilayah Persekutuan, mufti Perlis tidak memerlukan bekap enta, dan lebih baik menghindari diri dari gelombang dan tenaga negatif daripada sesiapa pun. Moga-moga 2026 umat Islam di Malaysia akan lebih bersatu, meskipun bersatu untuk Melayu itu lucu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.