`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, March 12, 2016

33 Peratus Rakyat Malaysia Syok Sendiri Dan Perasan



Sebanyak 79 peratus rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai kumpulan kelas pertengahan, berbanding 46 peratus berdasarkan pendapatan isi rumah bulanan sebenar, kata Hakuhodo Institute of Life and Living Asean (Hill Asean).

Kumpulan pemikir itu yang ditubuhkan pada 2014 oleh syarikat pengiklanan kedua terbesar Jepun, Hakuhodo Inc, hari ini mengumumkan hasil daripada penyelidikan terbaharunya, di sini. 

Hasil penyelidikannya mendapati sebahagian besar rakyat Malaysia dan Asean mengenal pasti diri mereka sendiri sebagai kumpulan kelas pertengahan tanpa mengambil kira pendapatan sebenar mereka, menunjukkan bahawa pentakrifan semula ‘kelas pertengahan’ mungkin diperlukan.

Pengurus perancangan strategik Hill Asean Ann Liew dalam pembentangannya berkata laporan itu menunjukkan kemunculan "pertengahan tanpa had", satu kumpulan yang bijak mencari cara untuk menjalani hidup mengikut gaya hidup yang mereka hajati dengan menyesuaikan pendapatan dan perbelanjaan tanpa had, tidak terikat dengan tahap pendapatan semasa mereka.



“Mereka berbuat demikian dengan meningkatkan sumber pendapatan mereka dengan bekerja sampingan, manakala masih mengekalkan pekerjaan sepenuh masa, sebagai contoh, seorang pakar kecantikan di Malaysia menggunakan media sosial sebagai platform untuk meningkatkan pendapatan.

“Beliau membeli pakaian dan barangan kecantikan semasa berkunjung ke luar negara dan kemudiannya menjual barangan tersebut di media sosial,” kata Liew pada forum “Sei-Katsu-Sha” Asean di sini hari ini yang menumpukan kepada perspektif baharu mengenai kelas pertengahan Asean.

Golongan "pertengahan tanpa had" ini juga mengawal perbelanjaan mereka, sebagai contoh menyimpan stok kopi bertin apabila terdapat jualan murah dan memperuntukkan perbelanjaan untuk pendapatan masa depan, sebagai contoh melabur dalam generasi akan datang dengan menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa agar mereka kelak boleh bekerja di luar negara pada masa hadapan.

Menurut laporan itu, trend ini merupakan peralihan daripada menjalani kehidupan yang mereka mampu kepada mencari jalan menampung kehidupan yang mereka mahu, katanya. 

Penyelidikan oleh Hill Asean itu adalah berasaskan “sei-katsu-sha”, yang merupakan falsafah bagi mendapat pemahaman mendalam tentang gaya hidup, aspirasi dan impian penduduk di negara-negara Asean.

Penyampai lain pada forum tersebut, pengurus perancangan strategik Hill Asean Daniel Lim Kuo Minh berkata, tidak seperti kelas pertengahan tradisi yang berbelanja secara berhemat, perbelanjaan bagi kelas pertengahan tanpa had dianggap sebagai pelaburan pendahuluan di mana manfaat atau nilai daripadanya tidak sepenting seperti pulangan yang diperoleh dalam mencapai gaya hidup yang dihajatinya.

Ini bermakna strategi pemasaran dan komunikasi generasi seterusnya yang menyasarkan kumpulan ‘pertengahan tanpa had’ perlu menumpukan kepada mereka bentuk dan memaksimumkan pulangan bagi pelaburan, katanya.

Kaji selidik itu memantau pendekatan tingkah laku, pendapatan, perbelanjaan dan gaya hidup berbeza di lima bandar raya Asean — Singapura, Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta dan Ho Chi Minh City. — Bernama 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.