`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 21, 2016

Ada `Hati Membengkak' Lihat Najib Bersama Nik Abduh Dan Tantawi



ADA hati yang pasti `membengkak' apabila melihat kemesraan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan ketua penerangan parti itu, Nasrudin Hassan ketika duduk dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur semalam.

Tetapi itulah ketulusan yang terpancar daripada ketiga-tiga individu itu yang turut disaksikan mereka yang menghadiri Majlis Himpunan 20,000 Huffaz di masjid berkenaan.

Walaupun pihak-pihak yang membengkak hatinya ini barangkali daripada orang-orang dari Parti Amanah Negara (PAN), serpihan Pas, namun mereka harus terima hakikat yang tidak boleh mereka tolak - Pas sendiri bersama UMNO mahu melihat perpaduan umat Melayu terus dipulihara dan diperkukuhkan di negara ini.

Kelibat dua pemimpin Pas dalam majlis bersama Perdana Menteri itu tidak dinafikan bahawa mereka sendiri melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana prihatinnya Najib kepada soal penyuburan syiar Islam di Malaysia.

Bahkan dalam majlis semalam, Perdana Menteri mahu memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini terus subur dan diperkasakan dengan kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).



Malah, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinannya turut menyediakan ruang seluas-luasnya kepada madsarah-madsarah tahfiz yang ada untuk memberi pandangan dan cadangan kepada pembangunan dasar itu.

Amat jelas formula Wasatiyyah atau kesederhanaan yang dipraktikkan oleh Najib diakui berkesan untuk digunakan dalam mengharungi cabaran bukan sahaja sosial dan ekonomi, tetapi juga politik yang kelihatan tidak ada pasang surutnya.

Wasatiyyah merangkumi beberapa elemen tunjang iaitu kesederhanaan, berimbang dan mementingkan kecemerlangan, sekali gus membawa pembangunan kepada masyarakat secara menyeluruh berdasarkan ajaran Islam.

Pendekatan Wasatiyyah yang dipraktiskan Najib menolak sifat taksub, fanatik dan fahaman melampau yang menyebabkan masyarakat menjadi jumud sehingga tidak boleh melihat sesuatu yang dibangkitkan secara umum.

Inilah yang dijadikan asas dalam pentadbiran Najib yang telah membawa Malaysia keluar daripada bermacam kemelut dan cabaran sehingga muncul sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif.

Ia sekali gus menutup pandangan sinis pelbagai pihak yang tidak percaya bahawa negara dengan komposisi masyarakat berbilang kaum ini mampu bertahan untuk pembinaan negara bangsa.

Pastinya ramai tertanya-tanya apakah falsafah, gagasan, prinsip, pegangan mahupun kriteria yang disandar serta diamalkan kita sehingga Malaysia mampu sampai ke tahap hari ini.

Dan ia tidak lain dan tidak bukan bahawa sejak dulu, Malaysia sememangnya sudah pun mengambil pendekatan Wasatiyyah yang dianjurkan dalam ajaran Islam melalui puluhan nas dan dalil yang diulang-ulang dalam al-Quran.

Pendekatan Wasatiyyah merupakan satu prinsip yang dapat menjadi asas kepada sebarang prakarsa, inisiatif mahupun tindakan yang diambil merangkumi semua lapangan.

Sudah tentu amalan Islam yang ditampilkan di Malaysia adalah bersifat sejagat melalui pemahaman hukum-hukum Islam yang jelas tanpa melonggarkan agama hingga ke tahap liberal.

Perkara inilah yang perlu difahami dan dihadami dengan sebaik-baiknya oleh seluruh umat Islam khususnya di Malaysia.

Diyakini, mereka yang bukan Melayu juga mempercayai pentadbiran Najib bila mana kerajaan menolak sebarang bentuk kegiatan bersifat militan yang terang-terang tidak mencerminkan kemurniaan Islam yang sebenar.

Ketandusan pengetahuan tentang Islam, ditambah kedangkalan dan kecetekan ilmu akan menjerumus masyarakat kepada kancah perbuatan yang jauh menyimpang daripada ajaran sebenar yang dibawa Rasulullah SAW berasaskan Al-Quran dan Sunah.

Inilah yang perlu difahami parti-parti pembangkang terutama PAN dalam melihat kemesraan antara Najib dengan Nik Mohamaad Abduh dan Nasrudin di Masjid Wilayah Persekutuan semalam.

Kita barangkali sering mendengar orang memperdebatkan tentang istilah jihad tanpa memahami maksudnya yang mendalam, bahkan telah menyalahtafsirkan pengertian mujahadah itu.

Sebaliknya, perjuangan dan pengorbanan yang diajarkan Islam bukanlah seperti yang sering terjadi termasuklah perbuatan memfitnah dan mengadu-domba yang jelas bukan sahaja ditegah keras di sisi Islam malah berdosa besar.

- klxpress

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.