`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 15, 2023

Akhirnya kita kelahi sesama kita

Mohd Azlan Zainal ialah pengarah operasi Ilham Centre, firma penyelidikan bebas yang pada hemat saya berwibawa kerana dapatan kaji selidik mereka lazimnya tepat. Azlan kerap saya hubungi untuk mendapatkan informasi dan “feedback” mengenai politik tanah air.

Namun, bukan itu yang saya lakukan kali ini. Sebaliknya saya tertarik akan satu “post” beliau di Facebook. Begini bunyinya: “Usai kuliah Maghrib tadi panas sikit dengan soalan politik pasca PRN”. “Post” itu dimuat naik sehari selepas enam PRN 12 Ogos lalu mengenai apa yang terjadi di surau di kawasan kediaman beliau di Negeri Sembilan. Kata Azlan lagi “mengundi sudah selesai tapi tetap rumah siap pahat masih berbunyi”.

Saya tidak menghubungi beliau untuk mendapatkan keterangan lanjut. Cuma menyimpulkan sendiri bahawa jemaah surau bercakap mengenai keputusan pilihan raya di Negeri Sembilan dan lima lagi negeri yang mengadakan “pesta demokrasi”. Bercakap juga mengenai politik secara keseluruhan. Cakap punya cakap sehingga jadi “hot”.

Membaca hantaran FB berkenaan bolehlah dikatakan jemaah (bukan semua tentunya) “berbincang” mengenai berdosa jika tidak undi calon Islam dan pilih parti Islam. Barangkali timbul persoalan jika pemimpin dan kerajaan “Islam” yang dipilih tidak menyempurnakan kebaikan, tidak berlaku adil, tidak menyiapkan kemudahan dan juga bekalan kepada rakyat “adakah itu tidak berdosa?”. Maka terjadilah pertikaman lidah. Mungkin itu yang dimaksudkan Azlan apabila mencatat “usai kuliah Maghrib tadi panas sikit”. Pastinya bukan cuaca panas yang dirujuk.

Tetapi bukan di surau itu sahaja perbalahan politik berlaku membabitkan “orang biasa”. Terutama dalam kalangan orang Melayu. Di majlis kahwin, ketika ngopi atau ngeteh. Di mana dan bila sahaja orang Melayu berkumpul, cerita politik kerap timbul dan disudahi dengan “bertekak”.

Adakah orang Melayu tidak tahu bercakap politik dengan aman? Tidak mahu “setuju untuk tidak setuju”? Lantas mahu pendapatnya sahaja didengar dan diterima?

Imbas kembali malam 12 Ogos semasa semua keputusan PRN sudah diketahui. Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku pengerusi Pakatan Harapan berucap di premis Umno setelah mengikuti keputusan PRN. Antaranya kata beliau “Jadi setelah bertarung bersungguh-sungguh kadang-kadang suhunya agak panas, ini waktunya semua pihak dan semua parti menang atau kalah harus bersilaturahim, menjaga keamanan negara, menumpukan perhatian mengangkat martabat negara serta membela nasib rakyat”.

Individu mahupun badan bukan kerajaan turut menegaskan kini adalah masanya semua pihak memberi tumpuan membangunkan negara dan rakyat. Umpamanya Aliran, gerakan berbilang kaum yang memperjuang soal keadilan, kebebasan dan perpaduan. Ia menggesa kerajaan persekutuan dan semua kerajaan negeri memberi fokus kepada apa yang ia namakan “Agenda Rakyat”.

Sekali lagi imbas kembali malam 12 Ogos setelah keputusan PRN diumumkan. Di Hotel Concorde Shah Alam, Muhyiddin Yassin, pengerusi Perikatan Nasional juga berucap setelah mengikuti keputusan pilihan raya.

Kita tahu PN mengekalkan pemerintahan di Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan bergaya selain memenangi banyak kawasan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang ditadbir PH-BN. Kejayaan itu mendorong Muhyiddin mendesak Anwar dan Zahid Hamidi, presiden Umno letak jawatan.

Sekali lagi gesaan tumpukan agenda rakyat “has fallen on deaf ears”. Sebaiknya suhu politik yang sememangnya panas bukan sahaja kekal tetapi dipanaskan lagi. Lalu bolehkah orang Melayu dipersalahkan amat emosi bila bercakap mengenai politik?

Akibat ucapan Muhyiddin yang disebut tadi, ada pihak berpendapat jika Zahid letak jawatan atau dipaksa letak jawatan, pengganti diidamkan musuh politik PH-BN ialah orang Umno yang tidak menyokong kerajaan perpaduan. Justeru si presiden baru akan tarik keluar Umno daripada kerajaan dan lompat menyokong PN. Jika ini dilakukan kerajaan perpaduan tumbang diganti PN. Muhyiddin jadi PM. Taktik pintu belakang diulang.

Mungkinkah ini yang dimaksudkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang apabila berkata menjelang 12 Ogos kemenangan besar PN pada enam PRN boleh tukar
kerajaan persekutuan? Wallahualam.

Namun, untuk berlaku adil perlu dinyatakan teori di atas mengenai tukar ganti presiden Umno adalah desas-desus politik semata-mata dan bukan sesuatu yang diperkatakan PN. Sekurang-kurangnya tidak secara terbuka. Tetapi bolehlah dijangka PN akan mengorak bermacam langkah untuk mengganggu-gugat kerajaan. Sekali gus boleh menjejaskan kestabilan negara yang ada sekarang.

Ada media pro PN menyiarkan laporan bahawa di Selangor wakil rakyat bukan Melayu membentuk majoriti dalam blok kerajaan. Dilihat sepintas lalu atau sekilas pandang ia laporan berita “biasa” mengenai kedudukan DUN Selangor. Tidak ada salah mahu pun silap laporan itu.

Pun begitu bagi saya ada yang tersurat dan tersirat. Apatah lagi laporan itu ada juga memberi latar belakang kali terakhir DUN Selangor didominasi wakil rakyat bukan Melayu ialah susulan keputusan PRU 1969 yang berlangsung pada pada 10 Mei tahun itu. Apa yang berlaku tiga hari kemudian semua sudah maklum. Terpulang untuk masing-masing membuat interpretasi.

Sebagai penutup izinkan saya menarik perhatian anda terhadap satu laporan FMT siaran 13 Ogos lalu. Menurut laporan itu keputusan PRN tempoh hari mungkin bukan berita baik untuk pelabur. Ia memetik penasihat utama Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia Oh Ei Sun sebagai berkata “penembusan ketara PN terutama di Selangor dan Pulau Pinang akan memberi ‘ketakutan’ kepada pelabur asing dan domestik”. Sedih dan membimbangkan.

Dalam pada itu orang Melayu terus diapi-apikan lantas terus mencakar dan berkelahi dengan orang Melayu yang berbeza pandangan politik demi “mempertahankan agama dan bangsa”. Juga sedih dan membimbangkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.