PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya menyuruh Muhyiddin Yassin ‘memberi tumpuan kepada kes mahkamahnya’, kerana ia memberi persepsi wujud campur tangan dalam sistem perundangan negara, kata penganalisis politik.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata tindak balas itu susulan desakan pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang memintanya meletak jawatan susulan keputusan PRN Sabtu lalu tidak sepatutnya dibuat Anwar.
“Perdana menteri dan menterinya tidak sepatutnya keluarkan kenyataan seperti itu.
“Biarkan SPRM yang keluarkan kenyataan itu atau Jabatan Peguam Negara,” katanya pada program temu bual, Enigma terbitan FMT, malam tadi.
Semalam, Anwar meminta Muhyiddin memberi tumpuan kepada kes mahkamah dihadapinya daripada mendesak beliau meletak jawatan dan menegaskan dirinya mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen untuk menerajui Putrajaya.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata Anwar perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri susulan referendum rakyat hasil keputusan PRN enam negeri yang majoritinya dikuasai gabungan itu.
Selasa lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara mengemukakan rayuan keputusan itu dan Muhyiddin juga berdepan tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Mengulas lanjut, Azmi berkata, Anwar harus mencontohi sikap Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang berdiam diri apabila ditanya dakwaan rasuah yang dihadapinya.
“Kalau ditanya Joe Biden tentang dakwaan yang dihadapinya, dia tak nak jawab. Malah kalau wartawan tanya kes mahkamah anaknya, Hunter Joe Biden, pun dia tak nak jawab.
“Sebab dia tak nak keluarkan persepsi yang dia campur tangan. (Sepatutnya) sama juga (Anwar). Jangan komen, walaupun ia ‘bola tanggung’,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.