SEREMBAN: Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat berkata, bantahan terhadap pencalonannya di Paroi oleh akar umbi setempat sebahagian daripada demokrasi sihat.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, walaupun ahli Amanah berhak menyokong sesiapa saja yang mereka mahu, mereka juga perlu menghormati keputusan pucuk pimpinan parti bagi memastikan disiplin dijaga.
“Pasukan kami bertemu (wakil dari Amanah) Rembau dan Paroi (bahagian). Insya Allah, saya percaya kita akan lebih bersatu,” katanya dalam temubual dengan FMT.
Pencalonan Norwani mendapat tentangan beberapa ketua cawangan parti di Paroi yang mahu beliau digantikan bekas Adun Taufek Abd Ghani.
Tetapi, pada hari penamaan calon, Taufek menyuarakan sokongannya terhadap pencalonan Norwani dan berharap akar umbi parti akan menyokongnya.
Norwani mewakili PH di kerusi Parlimen Jempol pada PRU15, tetapi tewas kepada Shamsul Kahar Deli dari Barisan Nasional dengan majoriti 5,857 undi.
Memandangkan Amanah hanya diperuntukkan dua kerusi – Klawang dan Paroi – untuk bertanding di Negeri Sembilan, katanya, parti itu memutuskan untuk meletakkan calon wanita sejajar keputusan PH-BN meletakkan lebih ramai calon wanita pada PRN 12 Ogos ini.
Norwani mengakui lima calon wanita dipilih dua gabungan itu di Negeri Sembilan masih tidak memenuhi kuota 30% yang disokong sayap Wanita PH-BN, tetapi ia langkah ke arah yang betul.
“Saya amat gembira apabila calon wanita ditampilkan. Amalan ini perlu diteruskan, lebih-lebih lagi memandangkan ‘adat perpatih’ di Negeri Sembilan di mana wanita lebih tinggi kedudukannya. Justeru, penglibatan wanita sebagai calon dalam bidang politik harus digalakkan.”
“Adat perpatih” Negeri Sembilan memberi penekanan untuk mengangkat martabat wanita. Keturunan keluarga dikira melalui ibu dan wanita akan mewarisi harta nenek moyang. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.