`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, August 20, 2023

Cadang guna tema dan logo berbeza, khianati prinsip federalisme

 

Mujibu Abd Muis menyeru kemungkinan guna tema dan logo berbeza di Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu dipertimbang kerana mampu renggang hubungan kerajaan pusat. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Cadangan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari menggunakan tema dan logo berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan di empat negeri diperintah gabungan itu dilihat seolah-olah mengkhianati prinsip federalisme.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Mujibu Abd Muis, berkata itu berkenaan mampu merenggangkan hubungan antara kerajaan pusat dan negeri memandangkan sambutan Hari Kebangsaan bersifat nasional dan diraikan bagi mengenang perjuangan menuntut kemerdekaan negara menerusi penyatuan kaum.

“Federalisme merujuk kepada semangat kerjasama dan hubungan baik antara kerajaan pusat dan negeri yang lazimnya dalam hal-hal keraian dan sambutan bersifat kebangsaan, negara dan negeri akan ikut serta patuh tanpa prejudis.

Ads by Kiosked

“Menggunakan logo dan tema berlainan jelas bermotifkan politik. Ia tidak patut berlaku atas keperluan untuk menghormati semangat berpersekutuan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, sambutan itu sepatutnya dijadikan langkah memupuk perpaduan dan penyatuan, bukannya digunakan sebagai kesempatan untuk berpolitik yang akan memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Justeru Mujibu meminta Fadhli yang juga ketua Pemuda PAS itu mempertimbangkan semula cadangan berkenaan.

Sementara itu, penganalisis politik dan Felo Kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir mempersoalkan niat tindakan tersebut kerana ia seolah-olah menunjukkan rasa tidak hormat kepada prinsip Rukun Negara yang menganjurkan perpaduan lebih erat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, tindakan itu juga mampu merenggangkan hubungan di antara kerajaan persekutuan dan negeri yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak menguntungkan mana-mana pihak.

“Dalam soal sambutan negara ini, kita haruslah seiring sejalan, bukan sahaja orang politik yang terbabit tetapi juga belia dan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih bersekolah, jadi mungkin mereka akan kata kenapa tidak sama? Jadi saya rasa ia akan dapat memberikan kesan negatif kepada negara,” katanya.

Ads by Kiosked

Terdahulu, Fadhli dilaporkan berkata, empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema diumumkan peringkat Persekutuan.

Logo diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.