`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, August 20, 2023

Najib letak jawatan presiden masalah Umno tak selesai, Puad ulas desakan Zahid undur

 

Puad Zarkashi berkata ‘mencari apa yang salah’ lebih penting bukannya mencari ‘siapa salah’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Puad Zarkashi berkata “tuding jari” mencari siapa salah membawa prestasi buruk Umno pada PRN baru-baru ini tidak akan menyelesaikan masalah parti itu.

Bercakap kepada FMT, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu merujuk tindakan Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden Umno pada 2018 selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 kerana didesak berbuat demikian.

Beliau berkata, walaupun senada dengan gesaan bekas naib presiden, Ismail Sabri Yaakob yang mahu parti mendengar pandangan akar umbi, namun Puad tidak bersetuju desakan pengganti Najib, Zahid Hamidi perlu berundur.

“Najib meletak jawatan bila didesak beberapa pimpinan atasan, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah. Bahkan ada di kalangan yang mendesak itu tidak menyumbang kepada kebangkitan parti mahupun menjadi ‘kudis’ tinggalkan parti.

“Apa yang penting ialah mencari apa yang salah, bukan mencari siapa yang salah. Semua kena bertanggungjawab termasuk Ismail,” katanya yang yakin Umno masih boleh bangkit walaupun berdepan kemerosotan sokongan pengundi Melayu.

Hari ini, Ismail yang juga bekas perdana menteri dalam kolum Utusan Malaysia menyeru pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan Umno susulan prestasi teruk pada PRN.

Katanya, kekalahan parti itu menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu kepada Umno “bertambah marak seperti api membakar jerami”, termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

Pada PRN minggu lalu, Umno menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

Sehari selepas PRN, bekas ketua Umno Terengganu Idris Jusoh secara terbuka mendesak Zahid berundur susulan prestasi buruk pada PRN termasuk kalah semua kerusi di negeri itu.

Turut lantang mengkritik Zahid, seorang lagi ahli MKT, Isham Jalil yang menggambarkan dirinya bukan “orang presiden”, namun mendakwa masih menghormati institusi itu.

Katanya, Zahid perlu segera berjumpa akar umbi untuk memperbaiki termasuk menganjurkan perhimpunan agung khas bagi membincangkan hala tuju parti. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.