`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 22, 2023

‘Jika tiada laungan azan, maknanya bekalan air bermasalah’

 


Masalah bekalan air bersih bukan sahaja menghantui penduduk di Kelantan tetapi juga mendatangkan masalah kepada segelintir penduduk di Pahang.

Misalnya, penduduk di Felda Panching Utara, dekat Kuantan telah berdepan dengan masalah ini sejak kira-kira setahun lalu.

Malah, masalah gangguan bekalan air di kawasan itu belum menunjukkan bakal berakhir. 

Penduduk mendakwa aduan juga sudah dibuat kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP). 

Norazian Md Ali, bilal

"Surau kami pun kadang kala terpaksa ditutup, kalau tak ada (bekalan) air, tak bolehlah nak buat solat berjemaah di sini," kata bilal surau As-Sajiddin, Felda Panching Utara, Norazian Md Ali, 52, ketika ditemui petang semalam. 

Norazian berkata, sebelum ini surau berkenaan menerima ramai jemaah setiap kali masuk waktu solat fardu, namun sejak masalah gangguan air berlaku, surau itu tidak lagi boleh mengadakan solat berjemaah seperti sebelumnya. 

"Macam sekarang, dah dua tiga hari kami tak boleh berjemaah di sini, jadi semua perlu ke Masjid Al Huda jika nak solat berjemaah. 

"Jaraknya tidak jauh mana, kira-kira 900 meter dari surau ini. 

"Cuma kalau bekalan air pulih, mudahlah kami nak berkumpul, lagipun kebanyakan peneroka di sini generasi pertama, yang muda semua dah keluar (kerja) di Kuantan atau luar Pahang," katanya lagi. 

Dia turut memberitahu, penduduk sekitar surau itu juga sudah faham jika tidak ada laungan azan dari surau, maknanya bekalan air bermasalah. 

Kamariah Mohamad, penduduk

Bagi Kamariah Mohamad, 67, pula dia berharap perkara itu boleh diatasi segera kerana ia sudah berlanjutan sejak sekian lama. 

"Saya pun kurang sihat, ada masalah (sakit) saraf dan pergerakan terbatas. 

"Sekarang ini harapkan suami (Ampandi  Samsuddin, 71) dan anak-anak untuk sediakan bekalan air. 

"Bekalan kadang-kadang terputus terus seharian , kadang-kadang ada sekejap sebelah petang atau tengah malam. 

"Memang sukar nak buat urusan harian, nak membasuh baju kena tunggu jam 1-2 pagi," katanya. 

Dia turut berkata, masalah itu juga mengakibatkan sukar untuk berkumpul dengan anak cucu terutamanya ketika musim cuti sekolah atau hari raya. 

"Masa hari raya kami terpaksa tutup pintu (rumah), sebab tak ada air nak basuh pinggan gelas jika tetamu datang beraya," katanya lagi. 

Hayati Baharum, penduduk

Seorang penduduk Felda Panching Utara, Hayati Baharum, 52, mengakui masalah itu turut menjejaskan perniagaannya. 

Dia yang sebelum ini mengusahakan nurseri mendakwa terpaksa menghentikan operasi perniagaan itu berikutan masalah gangguan bekalan air. 

"Kita nak jual pokok bunga, anak pokok buah, kenalah pastikan semuanya segar baru ada orang nak beli. 

"Kalau air pun tak ada, macam mana nak siram pokok itu semua, jadi saya fikir baik saya berhenti dulu (berniaga) dan harap pihak berwajib boleh selesaikan masalah ini," katanya. 

Mohd Tarmizi Yahaya, Adun Panching

Dalam pada itu, ahli dewan undangan negeri (Adun) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, permasalahan dihadapi kira-kira 300 penduduk Felda Panching Utara itu akan dibawa kepada pihak berkaitan. 

"Saya dimaklumkan bahawa masalah ini membabitkan tekanan air rendah di sesetengah kawasan di sini. 

"Ada kawasan tinggi mengalami masalah ini dan kawasan rendah pun ada juga gangguan sama. 

"Mereka (penduduk) memaklumkan sudah membuat laporan kepada pihak PAIP, cuma setakat ini, belum ada tindakan susulan dilakukan pihak berkenaan," katanya. 

Mohd Tarmizi berpendapat, isu itu tidak selesai jika PAIP hanya menghantar lori tangki bagi membekalkan air kepada penduduk. 

Katanya, tindakan itu hanyalah untuk penyelesaian jangka pendek dan penduduk mengharapkan penyelesaian yang boleh menjamin bekalan air di situ tidak terganggu. 

"Kalau kita tengok di sini pun, kebanyakan peneroka adalah warga emas, jadi penyelesaian seperti menghantar lori tangki tidak banyak membantu mereka. 

"Kita cuma harap pihak PAIP boleh menjelaskan punca sebenar gangguan dan memberi maklumat mengenai usaha yang sudah atau sedang dilakukan mereka (PAIP) untuk menyelesaikan isu terbabit," katanya.  - Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.