`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, August 13, 2023

JKM Johor Bahru cari waris budak 7 tahun mangsa dera

 

Sebelum ini tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah, dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak disyaki didera ibu kandung dan seorang rakannya.

JOHOR BAHRU: Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru mengesan waris yang layak dan sesuai bagi memberi perlindungan sementara atau tetap kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai didera ibu dan rakannya di Pasir Gudang, Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On, berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu bagi tujuan penilaian bagi memastikan waris tersebut layak menjaga kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata, kanak-kanak itu kini menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas dibawa ke hospital itu, Jumaat.

Ads by Kiosked

“Polis juga telah menahan ibu kandung dan rakan kepada ibu kandung untuk tujuan siasatan.

“Saya difahamkan bahawa kanak-kanak tersebut baru setahun bersama ibunya setelah berpindah daripada datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah dan difahamkan ibu dan bapa mangsa telah bercerai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa adalah anak bongsu daripada dua beradik dan kakaknya berusia sembilan tahun masih tinggal di Pokok Sena bersama datuk dan neneknya.

Khairin-Nisa turut mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Pasukan Pelindung Kanak-Kanak dan polis yang bekerjasama dan pantas bertindak bagi menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

“Terima kasih juga kepada orang awam dan komuniti setempat yang peka dengan keadaan sekeliling dan terus melaporkan ke talian kecemasan.

“Saya menyeru masyarakat untuk terus prihatin dan peka dengan sekeliling bagi menghindari kes penderaan kanak-kanak daripada berulang dengan melaporkan kes penderaan ke balai polis, Pejabat Kebajikan Masyarakat yang terdekat serta ketua-ketua masyarakat dan komuniti,” katanya.

Ads by Kiosked

Selain itu, talian hotline iaitu “Talian Kasih 15999” yang beroperasi 24 jam juga disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memudahkan orang awam melaporkan kejadian penderaan, katanya.

Semalam, Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata ibu mangsa berusia 27 tahun dan rakan perempuannya warga asing berusia 30 tahun ditahan kerana disyaki mendera mangsa di sebuah rumah di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang.

Kamarul Zaman berkata, ibu kanak-kanak itu direman enam hari manakala rakannya direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah, dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.