`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 15, 2023

Naratif vs realiti

 

Hentikanlah membuat naratif. Kembali ke alam nyata. Naratif membawa banyak persepsi tetapi menidakkan realiti. Nampak bijak tetapi cuba berselindung di sebalik kenyataan. Naratif politik cuma banyak andaian untuk pengaruh pengundi memilih calon.

Jadi dah selesai PRN enam negeri. Bertebarlah di muka bumi menjalankan tugas masing-masing. Yang menang jangan bagi alasan lagi untuk tidak membantu rakyat. Yang kalah muhasabah diri, perbaiki kelemahan lalu, jangan asyik menyalahkan orang lain.

Cuma satu calon Gerakan yang menang di Kulim, Wong Chia Zhen. Gerakan kena tengok balik kedudukan mereka dalam arena politik negara. Mereka cuma menang satu daripada 37 kerusi yang ditandingi atau 2.7%. Gerakan memang tak ada pengaruh di Pulau Pinang. Era Koh Tsu Koon sudah berakhir di Tanjung.

Barisan Nasional masih kuat di Negeri Sembilan. Menang 14 kerusi. Keseluruhan 19 daripada 108 kerusi yang dipertandingkan atau 17.6%. Tiada kerusi di Kedah dan Terengganu. Harus tengok semula peranannya mempengaruhi undi Melayu. Keseluruhan kepimpinan harus bertanggungjawab. Apa langkah baharu untuk membetulkan landasan perjuangannya.

DAP kalah cuma satu. 46 daripada 47 calon yang bertanding menang atau 97.9%. Mereka selesa di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Selangor. DAP makin dominan dalam PH. Sejauh mana DAP akan menonjolkan kuasanya dalam membuatkan keputusan gabungan?

PAS semakin kuat. Dahsyat, bak kata Shahidan Kassim. 107 daripada 127 calonnya menang. Terengganu sapu bersih. Kelantan tambah kuat sementara pengundi Kedah menolak calon Umno. 82.7% kemenangan. Contoh PAS dan Bersatu jadi pilihan Melayu menggantikan Umno, PKR, dan Amanah. Strategi memperlekehkan pemimpin PAS sebagai tidak mampu mentadbir negeri gagal, khusus di Kedah.

Peratus kemenangan PKR tidak sampai 50%. Amanah dan Umno tidak banyak membantu PKR menarik masuk undi Melayu. Atau kemungkinan kemasukan Umno ke dalam gabungan PH membuatkan undi Melayu lari ke PN. Contohnya di Kedah pemimpin Umno Mahdzir Khalid dan Amanah Mahfuz Omar ditolak pengundi Melayu Kedah. PKR kena fikir lebih serius bagaimana gabungan ini boleh memberi manfaat kepada PH dalam menghadapi PRU16.

Pencapaian Bersatu lebih baik daripada PKR. Seramai 38 calonnya menang atau 49.4%. Pengundi memilih PN tanpa mengira sangat sama ada ia PAS atau Bersatu. Sepatutnya gabungan ini mendapat lebih banyak kerusi di Negeri Sembilan. Umno-BN masih jadi pilihan Melayu di tanah adat itu sebabnya pengundi tak berapa perasan kehadiran Bersatu. Tugas kali ini memang berat sebab PAS dan Bersatu tidak memegang sebarang kerusi sebelum ini.

Membawa Faizal Azumu aka Peja dari Perak agak janggal untuk berurusan dengan waghih den. Pengundi sebenarnya tidak sempat kenal siapa calon PN. Masa kempen terlalu suntuk untuk berjumpa rakyat. Gerak kerja patut lebih awal.

Waktu untuk buat post-mortem, tetapi elakkan daripada menyalahkan orang lain kerana kalah. Malam tadi ketika himpunan mandat rakyat, Sanusi kata dia akan memantau mereka yang dipilih tidak akan menjadi super kaya kerana jawatan mereka. Jadi YB kena hati-hati, rakyat sedang memerhati. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.