`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 5, 2023

Sanusi laksana ‘seniman agung’ di pentas kempen PN

 

Apa saja yang belum dipersendakan lawan terhadap Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor? Barangkali tiada atau tidak banyak yang tinggal ketika kempen PRN sudah melepasi seminggu.

Di sebalik lawan menggambarkannya sebagai sedang panik berikutan serangan bertalu-talu ke atasnya saban hari, panglima perang Perikatan Nasional (PN) itu tetap meneruskan rutin kempennya seolah-olah tiada yang berubah dan tiada apa yang berlaku.

Mendakwa dirinya memiliki ‘sembilan hayat’, Sanusi menyerlahkan kekentalan menghadapi serangan sedemikian dengan menepisnya sebagai sekadar satu usaha menimbulkan persepsi negatif

terhadapnya tanpa apa-apa yang telah dibuktikan.

Paduan tenaga Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail – dua menteri di pihak kerajaan perpaduan – dalam memastikan serangan berterusan, ia barangkali cuma mencalarkan sedikit imejnya di mata ramai tetapi di Kedah, Sanusi terus menarik perhatian laksana seorang seniman agung.

“Di Kedah, menteri besar PAS diakui oleh penyokongnya sebagai yang paling berani kerana dia dikatakan berani melawan perdana menteri, berani melawan menteri-menteri, dia berani melawan
sultan, tapi tak berani menjawab panggilan telefon polis,” kata Rafizi dalam ceramahnya di Jelajah Madani DUN Lembah Jaya pada Khamis.

“Hari ini, Sanusi menambah temberang lebih besar. Selama seminggu dia kata dia tidak kenal seorang warga China (So Lai Fat) yang sedang dicari pihak berkuasa dalam siasatan mengenai dakwaan mencuri nadir bumi dari Kedah. Setelah Saifuddin menunjukkan gambar dia bersama warga China itu, hari ini dia kona baring, akhirnya dia kata cuma bergambar.”

Dalam jawapan balasnya, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN, berkata apa saja dokumen yang dikemukakan Saifuddin ketika ini bukannya bukti, sebaliknya sekadar hujah untuk
membina naratif ketika kempen.

“Dia bukan tunjuk bukti (tetapi) dia bina naratif, bina persepsi…mana ada bukti (penyelewengan REE). Dia nak bukti (kena) ada kes, ini kes pun tak ada, nak bukti apa,” tambahnya selepas program Santai Petang Menteri Besar dan Baddrol Bakhtiar di Gurun.

Malah, Sanusi berkata beliau sudah jemu untuk melayan soalan Saifuddin berkenaan REE, lantas mahu membiarkan Setiausaha Agung PKR itu menari bersendirian ketika ini.

Umpama seorang peguambela yang tangkas, Sanusi hanya bertujuan menimbulkan keraguan munasabah ke atas apa saja pertuduhan yang dilemparkan terhadapnya sambil membiarkan beban
bukti diadakan oleh pihak pendakwaan. Lagipun, padanya, pentas ceramah bukanlah mahkamah.

Di mahkamah pun, Sanusi selepas didakwa pada 18 Julai lalu atas dua pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politiknya, tetap mendapat sokongan tidak berbelah-bahagi pimpinan PAS.

Majlis Syura Ulama PAS mengekalkannya sebagai calon PRN di sebalik kes mahkamah yang perlu dihadapinya, dengan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Sanusi belum hilang
kelayakan bertanding kerana baru berdepan proses pertuduhan di mahkamah.

“Kita juga tidak meletakkan sebarang syarat kepada beliau sebab apa yang kita lihat, pertuduhan terhadap beliau itu lebih bersifat kepada usaha untuk menggugat (kedudukan) beliau.

“Kita akan lihat bagaimana proses pendakwaan ke atas beliau nanti. Tapi saya nak kata, beliau dianggap menghina Raja, saya berulang kali dengar (ucapan) tak ada disebut pun (penghinaan) institusi diraja Selangor,” katanya.

Malah, apa yang harus membuat Sanusi lebih galak di pentas ceramah ialah kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, pada 5 Julai yang menyifatkannya sebagai anugerah Allah yang dihantar untuk memimpin negeri Kedah.

Aura Menteri Besar itu dikatakan akan membantu dan menarik sokongan rakyat terhadap PN, khususnya di Kedah.

Cuma, teguran Hashim agar beliau menjaga percakapannya dan mengelak mencetuskan kontroversi yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan raja (3R) ketika berada di pentas politik seperti tidak diendahkannya.

Barangkali kepada Sanusi, beliau mendapat lesen besar untuk menggunakan bahasa kesat terhadap lawannya.

Katakanlah apa saja saja terhadapnya, harus benar pendapat yang mengatakan nama Sanusi meniti dari bibir ke bibir di Kedah ketika ini dan baik diri mahupun keperibadiannya tiada cacat-cela pada pandangan penyokong yang sentiasa mengerumuninya di mana saja dalam tempoh kempen PRN ini.

Penyokongnya memanfaatkan sepenuhnya platform TikTok yang perkongsian mereka terhadap video ceramah menteri besar Kedah itu mendapat ratusan ribu tontonan. Populariti Sanusi
dikatakan turut menular selepas kes mahkamahnya itu.

Serangan bertali arus ke atasnya tidak syak lagi membuatkannya lebih popular. Secara tidak langsung, pengundi Melayu – 20 daripada 36 kerusi DUN di Kedah mempunyai lebih 80 peratus pengundi Melayu – lebih bersimpati kepadanya.

Ini berlawanan dengan harapan lawan untuk mencemarkan nama baik Sanusi bagi mengurangkan peluang PN daripada meraih lebih banyak kerusi.

Rafizi di penghujung ceramahnya di DUN Lembah Jaya, menyindir: “Dilaporkan juga bahawa penyokong PN di seluruh negeri Kedah memuji Sanusi sebagai seorang pemimpin yang serba boleh –sangat berkebolehan.

“Saya tengoklah TikTok ingatkan dia boleh cerita benda yang super hebat ke, boleh buat roket ke. Rupa-rupanya Sanusi ni serba berkebolehan kerana selain boleh sumpah-seranah, selain boleh
mengangkat tangan, dia boleh bawa backhoe untuk pasang bendera.”

Kalau pun komennya itu boleh diterima di tempat lain, di Kedah pula ia akan dianggap satu lagi persepsi negatif yang cuba disogokkan lawan.

Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) mendakwa mampu mencipta kejutan dalam PRN Kedah pada 12 Ogos ini berdasarkan sokongan yang diterima sepanjang tempoh kempen.

Pengerusi BN Kedah, Mahdzir Khalid, berkata tinjauan pihaknya mendapati banyak kawasan yang dahulunya sukar dimasuki jentera tetapi kini kehadiran mereka diterima orang ramai.

“Kita bertanding di 15 kerusi BN di seluruh Kedah, saya nampak sambutan baik orang ramai menerima semula parti ini, jentera boleh bergerak di banyak kawasan bagi menemui pengundi.
Setakat ini, kawasan kelabu dah jadi putih, yang hitam dah jadi kelabu,” katanya ketika hadir kempen bersama masyarakat Siam di Kampung Chamdeng, pada petang Khamis.

Kita boleh membayangkan Sanusi mencemik dan kemudian ketawa besar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.