Hari ini, ramai yang berlumba-lumba nak tunjuk pandai, tambah-tambah lagi dalam musim kempen pilihan raya sekarang. Di pentas-pentas ceramah, jauh dan dekat, masing-masing ada hujah dan ada helah untuk saling mengatasi dalam berebutkan sokongan di peti-peti undi beberapa hari lagi.
Parti-parti yang bertanding juga menampilkan barisan penceramah lazimnya pandai-pandai belaka dalam memikat hati pengundi dengan pelbagai janji dan perancangan, dengan seboleh-bolehnya mahukan mereka membuat pilihan bijak.
Rekod perkhidmatan masa lalu dan perancangan masa depan tidak henti-henti diperingatkan dalam kempen saban hari agar pengundi tidak terpedaya dengan sekadar janji manis dan digula-gulakan dengan pelbagai harapan.
Namun, dengan modal perancangan ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup barangkali sudah jemu didengar, serangan peribadi bagi merendah-rendahkan pemimpin tertentu juga bukan lagi menjadi halwa telinga.
Maka, bukan menghairankan jika di sesetengah majlis, tepukan makin berjarak sambil sorakan yang ditagih pengacaranya atau penceramah sendiri, seperti dilakukan dalam keterpaksaan agar tidak dilihat berbeza dengan yang lain.
Jenaka serupa pula yang telah jenuh diulang-ulang sekadar membuat pengundi semakin dahagakan benda-benda baharu, yang berbeza dengan apa yang disogokkan pada malam sebelumnya atau bermalam-malam sebelum itu.
Di sana-sini dilaporkan jumlah kehadiran yang semakin berkurangan di majlis-majlis ceramah dan ini berkisar kepada beberapa sebab, antaranya ramai yang memilih keselesaan di ruang tamu kediaman masing-masing bagi mengikuti siaran langsung dalam talian daripada berpanas, berhujan atau
berkipas bawah khemah.
Apabila ia membabitkan fakta-fakta dan perangkaan, apa saja yang disua pada tempoh awal kempen, selang beberapa hari, akan dirasakan seperti modal lama sambil ramai yang ternanti-nanti ceramah kemuncak atau “grand finale” pihak-pihak yang berlawanan pada malam terakhir sebelum mengundi Sabtu ini.
Dalam kalangan pengundi pula, ramai yang turut mahu berlagak pandai. Mereka memilih untuk tidak mahu menerima bulat-bulat apa saja yang disogok dari pentas-pentas ceramah, dengan masing-masing memiliki penilaian sendiri antara kebenaran, pembohongan atau sekadar angan-angan.
Penceramah pula semakin beria-ia mahu menyampaikan modal kempen yang mereka percaya perlu didengar tetapi jarang sekali butir bicara yang pengundi mahu dengar.
Tergolong dalam perkara yang mahu didengar ini termasuklah “bom atom” yang dinanti untuk diledakkan oleh Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, dan uar-uar kerajaan pusat akan bertukar kalaupun tidak pada hujung bulan ini, pasti selewat-lewatnya November ini.
Itu juga sebenarnya bukan sesuatu yang baharu tetapi dirasakan segar kerana di sebalik ia tidak berkemungkinan terjadi mengikut norma-norma biasa, kononnya ada cara untuk kesudahannya berlaku jua.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan persekutuan akan bertukar sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang besar dalam PRN di enam negeri.
Dalam ceramah di DUN Rantau, Negeri Sembilan, Ahad lalu, timbalan
pengerusi PN itu berkata kemenangan PN sangat penting untuk menukar kerajaan persekutuan.
“PRN enam negeri ini sangat penting untuk menangkan PN. Perlu menang besar. Kalau menang, akan berlaku perubahan kerajaan pusat. Itu maknanya,” katanya dalam ceramah di tapak letak kereta Merchant Square, Bandar Sendayan.
Umum, bagaimanapun tahu bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keputusan PRN di enam negeri Sabtu ini boleh membawa perubahan kepada pentadbiran kerajaan di peringkat pusat.
Di majlis sama, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, mendakwa ada pelbagai cara menukar kerajaan persekutuan walaupun Akta Anti-Lompat Parti sudah dikuatkuasakan.
“Ada proses undang-undang yang boleh diambil untuk tukar sesebuah kerajaan, begitu juga dengan kerajaan negeri,” kata Peja yang juga pengerusi PN Negeri Sembilan.
Susulan itu, berbagai edisi buku Perlembagaan Persekutuan dirujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, untuk mengesahkan dakwaan itu tetapi tidak ditemui.
“Saya dah dengar banyaklah orang cakap, saya rasa pelik macam mana keputusan (PRN) boleh mengubah kerajaan pusat. Saya dah buka Perlembagaan banyak kali, saya baca tiada pula (peruntukan)…mungkin undang-undang lain yang dia baca,” katanya.
Ramai lagi yang tampil untuk menidakkan kemungkinan itu, termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.
“Hadi kata kalau menang besar di lima atau enam negeri, mereka boleh tubuhkan kerajaan pusat yang baru. Kamu faham ke Perlembagaan Malaysia? Yang menentukan ialah Ahli Parlimen. Ahli Parlimen ini dua pertiga sokong kerajaan perpaduan.
“Tapi salahkah PAS nak meroyan? Tak salah. Meroyanlah banyak mana pun. Tapi saya nak tanya kamu nak perintah buat apa? Masa kamu perintah tengok Kelantan. Masa kamu perintah persekutuan tiga tahun, kamu buat apa? (Masalah) air (di Kelantan) tak selesai,” kata Perdana
Menteri Anwar Ibrahim dalam Jelajah Perpaduan Madani di Kelantan.
Bukanlah salah penceramah jika janji mereka yang tidak berkemungkinan juga dipercayai melainkan pengundi yang harus membuat pertimbangan kerana untuk tergolong sebagai tidak cerdik itu adalah satu pilihan, bukannya paksaan.
Mari kita berpura-pura untuk menjadi pengundi bodoh dan hanya bertukar cerdik ketika salah satu jari sudah dicelup dakwat hitam kekal nanti. Selagi kita berpura-pura bodoh, maka kita tidak boleh diperbodohkan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.