`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 25, 2023

Umat Islam perlu jadi model segala aspek, kata menteri

 

Mohd Na’im Mokhtar berucap pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu menjadi model peranan bagi semua manusia dalam segala aspek kehidupan bermula daripada keperibadian mulia, integriti, rohani dan duniawi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata ini kerana umat Islam sejati memiliki keperibadian seimbang dan tidak terlalu ekstrem.

“Dia adalah pendukung amalan belas kasihan, amat bertimbang rasa, sentiasa menghulurkan bantuan dan sering menguatkan antara satu sama lain serta menggalakkan kerjasama dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan aluan pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Na’im juga berkata, memupuk perpaduan dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama bukan mudah namun ia adalah tanggungjawab mesti dilaksana dengan penuh beramanah.

Beliau berkata, al-Quran telah membentangkan pelbagai formula Rabbani untuk memperkukuh kesatuan dan perpaduan dalam konteks bernegara.

“Konsep Malaysia Madani digarap dan dijadikan sebagai pelantar untuk masyarakat terus mengorak langkah memperkukuh rasa kebersamaan dan saling berukhuwah.

“Pelan Transformasi al-Falah turut dibangunkan sebagai inisiatif untuk bersama-sama mendukung dan merealisasikan gagasan Malaysia Madani,” katanya.

Justeru, Na’im berkata program penghayatan al-Quran seperti majlis tilawah dan hafazan di peringkat antarabangsa yang sudah memasuki edisi ke-63 akan sentiasa diangkat menjadi acara rasmi di peringkat negara.

MTHQA bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani” anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berlangsung selama enam hari bermula 19 Ogos lalu membabitkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran dan hafazan al-Quran 30 juzuk. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.