Mungkin ramai teruja Sanusi Nor mendakwa memiliki “sembilan hayat”. Andainya panglima perang Perikatan Nasional (PN) itu benar demikian, apa kurangnya Zahid Hamidi. Presiden Umno itu harus mempunyai lebih beberapa hayat lagi.
Semalam, Zahid mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan teruk Umno dalam PRN enam negeri. Tidak sekadar itu, beliau berikrar untuk meneruskan usaha mengubah nasib parti itu sebagai menamatkan tanda tanya kedudukannya selepas tiga hari membisu.
Sabtu lalu, Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi DUN – sekadar 17.6% jumlah kerusi ditandinginya. Ini lebih rendah daripada pencapaian 26 daripada 120 kawasan Parlimen ditandinginya dalam PRU15 November lalu.
Umno hanya menang masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang serta satu kerusi di Kelantan. Sedikit yang menyelamatkan parti itu daripada aib lebih besar ialah ia menang 14 daripada 17 kerusi ditandinginya di Negeri Sembilan.
Daripada tunduk kepada desakan untuk berundur – sesuatu yang beliau pernah lalui sebelum ini – Zahid mahu bertanggungjawab. Tapi ia tidak bermaksud beliau sedia melepaskan jawatan, sebaliknya bertegas mahu membetulkan keadaan.
Dalam pada itu, ia adalah pilihan Zahid untuk kekal sebagai presiden tanpa ada sesiapa yang boleh melucutkan jawatannya. Tambahan pula barisan kepimpinan Umno sendiri di peringkat majlis tertinggi, perhubungan negeri mahupun bahagian memilih untuk berdiam diri.
Di sebalik beberapa penganalisis – antaranya Ahmad Fauzi Hamid dari Universiti Sains Malaysia dan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara – awalnya mencadangkan agar beliau mengambil langkah terhormat dengan berundur, ada pula yang mempertahankannya, termasuk Felo Kanan Majlis Profesor Kebangsaan, Jeniri Amir.
Rata-rata kalangan kepimpinan atasan dan pertengahan Umno pula memilih untuk mengangguk saja seperti pendirian 147 daripada 191 ketua bahagian Umno yang menyokong tiadanya pertandingan untuk jawatan nombor 1 dan nombor 2 sebelum ini.
Pendirian Zahid untuk bertahan itu bukan pun baru. Beliau mengambil pendekatan sama ketika diasak teruk supaya meletak jawatan selepas pencapaian buruk Umno dalam PRU15. Lapan bulan kemudian, beliau masih kekal hanya untuk menghadapi tekanan serupa selepas PRN berkenaan.
Ia sekadar mengeyakan ramalan peneraju podcast Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin dan Shahril Suffian Hamdan, dalam episod khas pasca PRN kelmarin yang mendapat 272,000 tontonan. Kedua-duanya sepakat ia akan menjadi urusan seperti biasa dan tiada apa yang berubah berkaitan Umno selepas kekalahan teruknya itu.
“Saya dah cakap sebelum ni pun, tak ada apa-apa yang akan berlaku. Masalahnya lapisan pemimpin (Umno) yang melindungi presiden sekarang didominasi oleh sida-sida politik,” kata Khairy, yang menjelaskan “sida” bermaksud kepada pengawal keselamatan istana yang telah dikembiri atau
sudah dihilangkan jantannya.
“Pada saya, tempoh 24-48 jam adalah kritikal. Tidak ada suara-suara yang mendesak dari dalam Umno (kecuali bekas menteri besar Terengganu Idris Jusoh yang tidak lagi dalam arus perdana). Kalau dia (Zahid) boleh lepas dalam tempoh 24-48 jam ini, maka tidak akan ada apa-apa. Dia akan pakai hujah-hujah yang sama, yang dikitar semula, yang kita dah dengar,” kata Shahril pula.
Sudah tentu juga Keluar Sekejap, yang didakwa sebagai podcast terulung di Malaysia ketika ini, sering dilihat sebagai ruang untuk membelasah Umno. Khairy dan Shahril pula mungkin masih menaruh rasa sakit hati selepas kedua-duanya disingkirkan daripada parti pasca PRU15 lalu.
Namun, dalam tempoh kempen PRN selama dua minggu, podcast itu juga menampilkan Sanusi, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, dan calon PN kerusi DUN Hulu Kelang Azmin Ali sebagai antara tetamunya.
“Mungkin saya nampak terlalu taasub. Masa kita kalah PRU yang lepas, dia (Zahid) sebut sebab (perdana menteri ketika itu) Ismail Sabri Yaakob tak bubar Parlimen dengan cepat selepas PRN (Melaka dan Johor). Juga sebab ‘geng broker’ Hishammuddin (Hussein). Inilah semua yang menyebabkan kekalahan pada PRU yang lepas.
“Tapi dah tak ada lagi, Ismail bukan lagi PM, ‘geng broker’ sama ada dah dipecat atau digantung. Anda (Zahid) sudah ketiadaan alasan, jadi apa lagi?
“Mungkin ramai yang kata saya masih sakit hati pasal benda ni…bukan, bukan, bukan. Sebab saya nak tengok macam mana Umno dapat pulihkan keadaan,” tambah Khairy.
Shahril menyalahkan kepimpinan Umno, termasuk di peringkat negeri dan bahagian kerana sikap membisu mereka dan enggan menegur presiden sebagai membenarkan parti itu jatuh hingga ia ditolak pengundi Melayu. Ramai yang protes dengan tidak keluar mengundi atau memberi undi mereka kepada PN.
Penganalisis data PRN, Ong Kian Ming, yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi, merumuskan kenaikan sokongan begitu padat kepada PN, terutama dalam kalangan pengundi Melayu, hingga lebih daripada 50% telah pindah daripada BN-Umno kepada PN.
“Sampai bila nak salahkan Zahid? Ini tanggungjawab bersama kepimpinan Umno, bukannya akar umbi. Saya nampak (keadaan ini) akan kekal dan berulang sebab ramai yang nak jadi calon, sama ada dalam pilihan raya kecil atau PRU16 selepas ini, jadi semua tak beranilah (untuk bersuara). Jadi, itulah yang buatkan bukan saja timbalan presiden tapi seluruh barisan pimpinan, saya fikir ada rasa takut,” katanya.
Zahid, yang seperti Sanusi sebelum ini mendakwa memiliki “sembilan hayat” ketika menahan serangan bertalu-talu ke atasnya sepanjang kempen PRN, harus mahu menunjukkan dirinya juga tidak mudah goyah.
“Saya sedar mengenai desakan (untuk beliau letak jawatan). Apa yang boleh saya janjikan ialah saya, dengan bantuan kepimpinan parti, akan melakukan lebih lagi untuk mengembalikan keyakinan orang ramai.
“Kami akan memperhalusi pendekatan dan strategi kami. Kami akan memperkenalkan langkah-langkah baru agar kami dapat memenangi hati dan minda pengundi-pengundi semula,” kata Zahid seperti dipetik sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
Bukan setakat penyokong Umno, yang menunjukkan dalam PRN mereka boleh kalih jika tidak berpuas hati, Zahid harus akur beliau tidak akan terlepas daripada pandangan pengkritik yang tentunya tidak mudah dipuaskan hati mereka.
Ia bukan sangat bersandar kepada apa yang dijanjikannya tapi lebih kepada kepimpinannya untuk mengangkat kembali martabat Umno sebagai wadah orang Melayu yang diyakini ketika parti itu dilihat semakin tidak relevan kini.
“Orang Melayu melihat disebabkan oleh kelangsungan politik dan kuasa, Umno rela mengorbankan prinsip-prinsipnya. Itu membuat ahli Umno dan orang Melayu memprotes dengan sama ada tidak keluar ke pusat pengundian atau mengundi PN,” kata Jeniri.
Kita tidak tahu apa reaksi ramai terhadap pendirian Zahid untuk terus bertahan sebagai presiden Umno. Andai mereka merelakan atas tiada pilihan lain manakala bekas ahli Umno akan berbuat bising seketika sebelum lambat-laun senyap juga kerana “tidak kuasa”, ia akan menjadi cabaran yang bukan enteng buat Zahid.
Tapi itu adalah pilihannya sendiri kerana harus ada sesuatu lebih besar yang hendak dipertahankannya. Kalaupun dibenarkan, tidak akan ada peluang atau tuah kali ketiga. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.