`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, October 19, 2024

Adik Zahid masuk PAS, kenapa Umno harus kalut

 

hishamuddin-aun

Sambil Ahmad Zahid Hamidi mengunci mulut, juak-juaknya pula sibuk memperkecilkan tindakan adik presiden Umno itu, Abdul Hakim Hamidi, menyeberang ke parti lawan, PAS, sebagai ahli seumur hidup beberapa hari lalu.

Zahid mungkin melihat sikap membisu yang anggun (elegant silence) adalah pendekatan terbaik pada waktu ini sambil membiarkan isu itu lenyap dengan sendirinya jika tiada ulasan susulan yang bertali arus daripada pihak lawan seterusnya.

Lagipun, sebarang jawapan daripada pengerusi Barisan Nasional (BN) dan timbalan perdana menteri hanya akan mengundang serangan balas, lebih-lebih lagi ia membabitkan ahli keluarga.

Namun, berbanding Zahid yang masih mampu berdiam diri, ada dalam kalangan panglima perangnya yang tidak mampu menahan kesabaran, apatah lagi jika penyertaan Hakim dalam PAS dilihat dieksploitasi oleh parti gabungan Perikatan Nasional (PN) itu untuk ‘menganjing’ Umno.

Realitinya PAS tidak pun berbuat seperti itu. Kalau setakat membuat rakaman video majlis menyerahkan borang keahlian dan kemudian menyebarkannya, parti lain pun melakukan yang sama — Umno-BN tidak terkecuali malah kerap membesar-besarkannya lagi.

Selama ini pun, perpindahan ahli dari Umno ke PAS dan sebaliknya bukan perkara luar biasa termasuk ada yang membabitkan pemimpin ‘besar’ kedua-dua pihak. Cuma tindakan Hakim itu mungkin dilihat menyalahi waktu dan keadaan.

Dalam pada Zahid sebelumnya menguar-uarkan bahawa kemenangan dalam PRK Nenggiri pada 17 Ogos dan PRK Mahkota pada 28 Sep menjadi petunjuk bahawa orang Melayu sudah kembali menyokong Umno-Barisan Nasional (BN), alih-alih adik sendiri membuat kejutan dengan menyertai PAS.

Selain itu, rakaman video menunjukkan Hakim menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden Hadi Awang di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pada Selasa membayangkan penyertaannya diraikan sebagai tidak dipandang kecil oleh parti itu.

Sebaliknya, dengan merendah-rendahkan Hakim, Umno sebenarnya terdesak melakukan kawalan kerosakan (damage control) kepada parti, lebih-lebih lagi presidennya.

Mendakwa perjuangan Umno diketuai Zahid semakin lemah dalam menjaga hak Melayu dan Islam dengan tegas, Hakim berkata keputusannya meninggalkan Umno kerana ingin kembali kepada perjuangan keluarganya yang mana bapanya, Hamidi Abdul Fatah, sebelum ini seorang aktivis PAS.

Umno yang dulu menjaga hak Melayu dan agama Islam dengan tegas kini semakin lemah. Kekuatan Melayu semakin terhakis dan agama Islam sering kali dipermainkan individu-individu tertentu. Umno sudah tidak lagi seperti zaman saya. Kepercayaan saya pada perjuangan asal Umno mula pudar,
 katanya.

Penyertaan adik kepada Presiden Umno, Abdul Hakim Hamidi dalam parti PAS tidak memberi ‘kudis’ kepada UMNO,
 kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi pula sambil menegaskan parti itu akan berjalan terus dan tidak hairan dengan tindakan Hakim itu.

Abdul Hakim bukan ‘heavyweight’ dalam Umno dan PAS tidak perlu bersikap lebih sudu dari kuah. Parti lain santai sahaja apabila terima orang baharu. Tidak ada apa dalam PAS baik manis iman, survival politik atau perjuangan Islam. Di bawah Zahid, Umno punyai ‘bargaining power’ sendiri,
 tambahnya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Kenyataan Puad itu ditempelak Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang menyindir bahawa tiada pihak dari parti itu yang menyebut Umno ‘berkudis’ dengan perpindahan Hakim.

“Kenapa Mohd Puad Zarkashi kalut sangat menafikan ‘berkudisnya’ Umno bila Abdul Hakim Hamidi sertai PAS? Biarkan sahajalah.

Jadi tak payahlah ‘mengkudiskan’ sesiapa. Senyap dan buat kerja. Boleh jadi itulah modul pembelajaran yang dipelajari oleh Datuk di sekolah perkaderan di China,
 katanya merujuk lawatan Puad bersama delegasi BN ke Sekolah Jawatankuasa Parti Perbandaran Parti Komunis China (PKC) di Beijing bulan lalu.

Berbeza dengan Puad, Ahli MKT Lokman Noor Adam yang menawarkan sedikit pencerahan melalui sesi live hariannya di media sosial beranggapan tindakan Hakim menyertai PAS selain menjadi lumrah dalam politik turut membawa konotasi positif buat Zahid.

“Mesti ada sebablah kenapa Hakim ni kecewa. Saya pun boleh agak mungkin dia mintak tolong dengan abang dia tapi tak dapat

Tapi Alhamdulillah kerana ini menunjukkan presiden Umno tidak menyalahgunakan kedudukan dia untuk kayakan adik-beradik dia. Ini satu benda yang sangat positif bila mana adik dia kecewa dan sertai PAS,
 katanya.

Lokman turut beranggapan perpindahan Hakim ke PAS mungkin tidak lama dan tidak boleh ditolak kemungkinan beliau mungkin berpatah balik ke pangkuan Umno jika dapat dipujuk oleh abangnya.

“Saya anggap isu adik Zahid ni sesuatu yang normal dan tidak ada apa yang mengejutkan.

“Saya ada dengar kawan-kawan yang rapat dengan Hakim ni dia ‘frust’ abang dia tak tolong apa semua sekali. Bagi saya, memang tindakan Hakim ni menjejaskan nama baik keluarga, menjejaskan nama baik abang dia.

“Tapi kalau orang boleh berfikir secara rasional, eh baguslah Zahid ni, jauh lebih baik (daripada sesetengah pemimpin pembangkang) sehingga adik dia pun kecewa.

Tetapi kita ni manusia kena ada pendirian, takkan lah kerana kecewa tak dapat projek kita keluar parti masuk PAS. Bagi saya bagus jugalah, sekurang-kurangnya orang tahu Zahid tak salah guna kuasa,
 katanya.

Seperti disahkan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki, yang juga Yang Dipertua PAS Bagan Datuk, Hakim baru menghantar borang dan permohonannya menyertai PAS belum diluluskan lagi.

Makna mudahnya apa saja berkemungkinan tanpa perlu pimpinan Umno seperti Puad harus kalut dengannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.