`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, October 19, 2024

Lambaian buat Pak Jokowi

 

Mohsin Abdullah

Aprianti ialah antara jutaan penghuni kota raya Jakarta. Beliau tinggal di Menteng Dalam yang pernah didiami Barack Obama apabila ibunya menikahi seorang warga Indonesia. Menteng Dalam ada kelas atasan, ada orang kelas pertengahan, ada orang berpendapatan rendah. Ya, ada orang miskin. Begitulah keadaannya dari dulu.

Aprianti mengambil upah mengurut atau dalam Bahasa Indonesia ‘pijat‘ untuk menyara hidup. Wanita berusia 43 tahun itu ada pelanggan tetap termasuk orang Malaysia kerana she’s a good masseuse. Purata pendapatannya RM2,000 setiap bulan. Suaminya buat pelbagai pekerjaan. A handyman. Dua anak mereka bekerja sebagai barista di kafe kopi yang tumbuh bagai cendawan di Jakarta. Dua lagi anak masih bersekolah.

Aprianti penyokong Presiden Jokowi. Bagi beliau, Jokowi pemimpin bagus yang menolong orang susah dan membawa pembangunan kepada Indonesia. Dia sering bercakap dengan bangga lebuh raya yang menghubungkan Jakarta dengan Bandung yang dibina pada zaman pemerintahan Jokowi. Pastinya dia turut bangga dengan adanya kereta api laju Jakarta-Bandung atau Whoosh yang serba moden serba canggih. Saya tak pasti sama ada dia pernah menaiki Whoosh – singkatan untuk ‘Waktu Hemat, Operasi Optimal, Sistem Hebat’.

Apa pun ada berjuta rakyat Indonesia seperti Aprianti yang menyanjungi Jokowi. Beliau antara pemimpin yang dipandang tinggi dunia, malah di Malaysia ramai yang kagum dengan Jokowi. Rakyat Malaysia bukan beragama Islam memuji beliau kerana sifatnya yang toleran terhadap agama lain walaupun beliau orang Islam. Mereka tabik hormat setiap kali Jokowi membuka ucapannya dengan memberi salam cara Islam, Kristian, Buddha, dan Hindu. Sekali gus.

Jokowi atau Joko Widodo (nama asal Mulyono) memegang jawatan presiden Indonesia ketujuh setelah menewaskan Prabowo Subianto pada pilihan raya 2014. Beliau disanjung kerana presiden pertama yang bukan daripada kumpulan elit atau tentera. Beliau daripada keluarga miskin. Rakyat miskin serta-merta boleh relate dengan beliau.

Jokowi beri keutamaan pada membantu golongan miskin di samping memberi penekanan pada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur. Dasarnya diterima baik dan rata-rata rakyat senang dengan gaya dan cara hidupnya yang sederhana. Beliau pernah menaiki pesawat komersil untuk menghadiri upacara graduation anaknya di Singapura.

Namun keadaan berubah pada penggal keduanya selepas berjaya mempertahankan jawatan pada 2019 dengan menewaskan Prabowo sekali lagi.

Pelbagai kepincangan dan tuduhan dilemparkan. Ramai penyokong tegar termasuk dalam kalangan wartawan dan budayawan masyhur mula tawar hati. Namun yang paling ketara ialah pada pengujung pemerintahannya.

Mengikut perlembagaan Indonesia, presiden hanya boleh menduduki jawatan selama dua penggal sahaja. Jokowi akur meski pun ada dalam kalangan orangnya berharap beliau boleh melakukan sesuatu untuk kekal presiden.

Pun begitu Jokowi dilihat menyusun strategi untuk mewujudkan dinasti. Paling ketara beliau dilihat campur tangan untuk ‘menghalalkan’ aturan serta undang-undang pilihan raya bagi membolehkan anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka, bertanding pada pilihan raya 14 April lalu.

Jika mengikut peraturan asal, Gibran tidak layak bertanding kerana masih muda yakni 37 tahun pada hal usia calon patut sekurang-kurangnya 40 tahun. Apa yang terjadi Gibran dibolehkan bertanding.

Jokowi dikatakan memberi sokongan secara terang kepada gandingan Prabowo-Gibran pada pilihan raya April lalu. Pasangan ini menang. Esok Prabowo akan angkat sumpah sebagai presiden kelapan. Gibran adalah wakil presiden atau dalam istilah kita timbalan presiden.

Ogos lalu Jokowi dikatakan sekali lagi cuba ubah peraturan di mahkamah perlembagaan bagi membolehkan anak bongsunya, Kaesang Pangarep, bertanding pada pemilihan bulan depan bagi jawatan gabenor Jakarta atau Solo. Percubaannya gagal berikutan demonstrasi besar-besaran rakyat di seluruh Indonesia.

Namun abang ipar Kaedang iaitu Bobby Nasution akan tetap bertanding jawatan gabenor Medan. Sebenarnya banyak lagi kisah anggota keluarga Jokowi yang ditempatkan di posisi strategik. Tidak perlu saya huraikan di sini.

Memetik opini atau opinion piece majalah berita terkenal Indonesia, Tempo (keluaran 7-13 Oktober 2024), minggu-minggu akhir pemerintahan Jokowi dilihat melakukan hal-hal yang tak sepatutnya dibuat seorang presiden yang bakal bersara.

Menerusi beberapa tindakan di saat akhir, menurut Tempo, Jokowi dilihat seolah cuba ‘mengamankan’ pemerintahan baharu di bawah Prabowo, yang akan berganding dengan anaknya, Gibran.

“Penghormatan Jokowi kepada presiden terpilih (Prabowo) harus ditunjukkan jika tak ingin dicap sebagai penghidap post-power syndrome,” kata Tempo, dalam rencana bertajuk menarik, ‘Sindrom Takut Pensiun’.

Di jalan-jalan utama Jakarta terpasang banner mengucapkan terima kasih kepada Jokowi. Saya rasa ucapan diiringi harapan ‘selamat bersara’ walaupun tidak tertera. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.