PETALING JAYA: Seorang lelaki parah dipercayai ditembak berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Jalan Wong King Huo 21, Sibu, Sarawak, petang tadi.
Menurut maklumat tular di laman sosial, kejadian disedari orang ramai apabila terdengar bunyi seperti tayar meletup di kawasan berkenaan dan kemudian mendapati seorang lelaki berusia 40-an terbaring di bahu jalan.
Turut tular gambar sebuah pacuan empat roda yang mempunyai kesan tembakan pada cermin hadapan bahagian pemandu dan mangsa dikatakan dihantar ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan, lapor Bernama.
Ketua Polis Sibu, Zulkipli Suhaili, dalam kenyataan ringkas mengesahkan kejadian.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira 2.20 petang dan masih menjalankan siasatan.
“Mangsa masih menerima rawatan di hospital,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.