
Anda tahu apabila berasa malas ketika mengikat tali kasut untuk ke pejabat tiap hari, itu tandanya anda semakin tawar hati dengan pekerjaan yang anda ada. Tak tahulah kalau-kalau Hamidin Mohd Amin ada berasa yang sama ketika mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kongresnya pada 15 Februari depan.
Tapi berdasarkan huraiannya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu, ia bukan satu keputusan mengejut dibuatnya, sebaliknya sudah difikirkan masak-masak termasuk berunding dengan keluarga.
Adakah sidang media mengumumkan pendiriannya itu satu berita besar? Hakikat bahawa Astro Arena membawakannya secara langsung melalui segmen Nadi Khas pada jam 12 tengah hari menunjukkan ia lebih daripada liputan biasa kerana ia terkelas sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu.
Selama berhari-hari sebelumnya, pelbagai spekulasi dibuat media mengenai Hamidin — presiden FAM ketujuh selama dua penggal sejak 2018 dan rakyat biasa pertama memegang jawatan itu dalam tempoh lebih 30 tahun — sama ada akan umum mempertahankan jawatan atau berundur.
“Bukan kerana desakan atau tekanan sesiapa,” katanya menafikan ia berkait dengan tekanan penyokong atau sebarang bentuk tekanan ke atasnya supaya berbuat demikian.
“Dah enam tahun setengah (menjadi presiden), saya rasa sudah cukup dan berikan ruang untuk individu lain memimpin persatuan yang besar ini, sekali gus membawanya ke arah yang lebih baik. Ini keputusan saya selepas berbincang dengan keluarga, tiada apa pun yang pelik,” tambahnya.
Sepanjang sidang medianya, Hamidin, genap 59 tahun pada 24 Disember ini, dilihat mengawal sepenuhnya keadaan. Tiada kegemuruhan ditunjukkannya dan tiada keterpaksaan menjawab setiap satu soalan dilontarkan — petanda beliau sudah dapat mengagak semuanya dan memilih untuk menjawab sebahagian dan meninggalkan sebahagian lagi untuk dijawabnya di lain waktu.
Dari permulaan lagi, pertanyaannya mengenai seorang wartawan Harian Metro yang tidak dilihatnya di bilik sidang media selain menyapa wartawan dengan nama pertama mereka, menunjukkan mereka bukan asing kepadanya — lantas memenangi permainan psikologi agar mereka tidak bertanya lebih daripada sepatutnya.
Jangan main-main dengan ‘orang lama’ yang bukan baru berdepan dengan wakil media buat sebulan atau dua. Sebaliknya, seperti dituturkannya, beliau sudah 40 tahun berhadapan dengan media.
Sayang sekali tiada soalan-soalan ‘cepumas’ daripada pelbagai isu yang boleh membuat Hamidin tampil mempertahankan dirinya. Kesudahannya, ia hanya satu sidang media yang ‘sendu’ berbanding seperti meletakkan Hamidin di kandang orang kena tuduh (OKT) sambil disoal barisan peguam hebat.
Pada 23 November lalu, pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa, menyifatkan Hamidin sebagai individu yang sudah tidak relevan untuk menerajui badan induk itu dan bola sepak negara akan rosak jika beliau terus menerajuinya. Kata pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu di laman X, Hamidin sudah lama dipecat jika bertugas di badan korporat biasa.
“Pendapat saya, Hamidin tidak boleh kekal untuk penggal ketiga. Saya rasa dia akan merosakkan bola sepak tanah air. Maafkan saya tetapi dia akan terus menghalang,” katanya sambil menambah seorang pemimpin yang ikhlas perlu beri ruang kepada generasi baharu jika mereka tidak dapat memberikan khidmat terbaik.
Menyokong pandangan itu, Zulakbal Abd Karim dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata Hamidin semakin kurang popular gara-gara prestasi skuad Harimau Malaya dan skuad Bawah 23 Tahun negara kurang memuaskan.
“Liga Malaysia juga semakin dilihat tenat apabila banyak kelab dilaporkan gagal membayar gaji pemain. Hamidin dilihat tidak melakukan apa-apa usaha untuk mengatasi isu tersebut,” katanya.
Kritikan paling lantang hadir daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menilai beberapa individu dalam kepimpinan FAM tidak menjalankan tugas dengan baik hingga menyebabkan sukan itu tidak maju di negara ini.
Membandingkan bola sepak Malaysia dengan Indonesia selain turut memberikan contoh Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir, yang berjaya meningkatkan mutu bola sepak negara jiran itu, TMJ berkata kepimpinan FAM tidak mempunyai visi, komitmen, pengetahuan dan keinginan untuk memajukan bola sepak negara.
Tunku Ismail turut membidas ahli gabungan FAM yang tetap mengundi individu-individu tersebut dalam kongres pemilihan badan induk itu: “Tetapi yang mengundi adalah ahli gabungan, pasukan dan persatuan juga. Itu pasal bola sepak Malaysia bermasalah.”
Dalam mempertahankan Hamidin pada 27 November, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, berpendapat bola sepak Malaysia masih berada di landasan yang baik selari dengan program F:30 badan induk itu.
“Tiada keperluan mendesak bagi presiden FAM melepaskan jawatannya. Arena bola sepak negara masih menunjukkan perkembangan positif di bawah pimpinan Tan Sri Hamidin,” ujarnya.
Kesimpulan mungkin sudah boleh dibuat bahawa apabila Hamidin berundur secara rasmi pada 15 Februari depan, Noor Azman juga boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Wisma FAM.
Sekali lagi sayangnya soalan berkaitan hujah-hujah ini tidak ditanya dalam sidang media semalam yang tidak memberi peluang kepada Hamidin menawarkan jawapan sebab-sebab sebenar mahu berundur daripada menimbulkan lebih banyak persoalan dan spekulasi.
Namun, meminjam kata-kata Zulakbal seperti dipetik Harian Metro dalam laporannya pada 12 September 2023, kejayaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa turut didorong oleh ketokohan dan pandangan jauh Hamidin. Tambahnya, keberanian Hamidin memperkenalkan program naturalisasi pada 2018 sebaik dipilih selaku presiden buat kali pertama sudah membuahkan hasil.
“Kalau dulu tak ada naturalisasi, saya tak fikir Kim Pan-gon akan berjaya. Kita kena akui fakta kejayaan hari ini juga dibantu sumbangan pemain naturalisasi seperti Paulo Josue, Endrick dos Santos dan beberapa pemain warisan lain,” katanya.
Di bawah kepimpinan Hamidin, Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia 2024 selepas 42 tahun, menjuarai Pestabola Merdeka selepas 11 tahun, September lalu, di samping menyaksikan ranking Malaysia berubah dari 171 ke 132.
Barangkali lebih banyak mampu dilakukan Hamidin dalam tempoh enam tahun memimpin FAM tetapi seperti ingin dipercayai ramai, kedua-dua tangannya mungkin terikat. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.