`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 7, 2025

Tular tumbuk pemandu wanita, anggota tentera mengaku tak salah

 

gavel
Anggota tentera, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang wanita. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA
Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang wanita, baru-baru ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah menumbuk di bahagian kepala seorang wanita berusia 28 tahun di Taman Satria, Senawang, di sini, kira-kira 10.20 malam, 29 Mac lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan memohon tarikh sebutan semula.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Chrysandy Lai yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan anak guamnya menanggung dua anak masih kecil dan ibu bapa serta isteri.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula bagi serahan dokumen dan laporan perubatan penuh ditetapkan pada 19 Mei depan.

Media sebelum ini melaporkan satu video tular di TikTok menunjukkan wanita memandu Perodua Axia yang masih berada dalam kereta ditumbuk dua kali oleh seorang lelaki dekat Taipan Senawang.

Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan berang anaknya dilanggar ketika melintas jalan berhampiran bazar Aidilfitri kawasan terbabit. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.